"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganalisis mengesahkan ‘gelombang hijau’ mereda di Pelangai

Majoriti tipis, namun ‘gelombang hijau’ mereda di Pelangai, kata penganalisis

Faisal Asyraf

Calon BN Amizar Abu Adam memenangi kerusi DUN Pelangai Sabtu lepas dengan 7,324 undi, menewaskan calon PN dan calon bebas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Walaupun Perikatan Nasional (PN) mengurangkan majoriti dimenangi Barisan Nasional pada PRK Pelangai Sabtu lepas, penganalisis berpendapat “gelombang hijau” sokongan terhadap pembangkang mungkin telah mereda.

BN mengekalkan kedudukannya di Pelangai selepas Amizar Abu Adam meraih kemenangan menerusi 7,324 undi dalam persaingan tiga penjuru pada PRK. Beliau menang dengan majoriti 2,949 mengalahkan calon PN Kasim Samat dan calon bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

Kerusi Pelangai kosong susulan kematian Johari Harun dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, pada Ogos. Johari memenangi kerusi itu pada PRU15 November lepas dengan margin lebih besar, iaitu 4,048 undi.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya percaya sokongan terhadap PN baru-baru ini, yang digelar “gelombang hijau”, mungkin telah hilang momentum di Pelangai.

“Keseronokon dan momentum menyelubungi “gelombang hijau”, yang bermula pada PRU15 dan berterusan sehingga beberapa PRN selepas itu, dilihat semakin reda sejak PRK Pulai dan Simpang Jeram, malah lebih lagi di Pelangai,” katanya kepada FMT.

Beliau juga percaya kemenangan itu menunjukkan pengundi mempercayai keupayaan BN-Pakatan Harapan (PH) mentadbir Pahang, bawah pimpinan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu, penganalisis politik Sivamurugan Pandian bersetuju PN terlepas peluang mencetuskan semula “gelombang hijau” walaupun ramai pemimpinnya turun padang untuk memenangi hati peneroka Felda.

Katanya, PN perlu melaksanakan pascanilai untuk mencari jawapan mengapa ia gagal menarik sokongan kuat di Pelangai.

Sivamurugan berkata, kemenangan itu patut mengukuhkan keyakinan BN dalam pada spekulasi ia kehilangan penyokong kepada PN susulan beberapa keputusan pilihan raya yang mengecewakan.

BN harus meneliti strategi kemenangannya untuk digunakan sebagai templat bagi pilihan raya akan datang, katanya.

Mengulas sama ada penting majoriti BN berkurangan berbanding 2022, beliau berkata, bukan sesuatu yang pelik apabila margin lebih kecil diperoleh pada PRK, berbanding PRU, kerana penyokong parti penyandang mungkin lebih selesa lalu tidak keluar mengundi.

Tiada ulasan: