"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakatan sulit Israel dengan negara Afrika

Agensi

Bailtulmaqdis: Israel didakwa mengadakan rundingan sulit dengan Republik Demokratik Congo (DRC), menggesa negara Afrika tengah itu menerima penduduk Palestin dari Gaza.

Times of Israel yang dipetik TRT World melaporkan, pegawai Israel berbincang dengan wakil rasmi DRC dan negara Afrika lain supaya menerima kemasukan rakyat Palestin.

"Congo nyatakan kesediaan untuk menerima pendatang (Palestin) dan kami sedang berbincang dengan yang lain (negara Afrika)," kata seorang pegawai kanan keselamatan Israel kepada portal berita itu.

Dalam pada itu, Menteri Perisikan Israel, Gila Gamliel berkata, selepas perang berakhir, pemerintahan Hamas akan runtuh dan tidak akan memimpin Palestin lagi.

"Tiada pihak berkuasa perbandaran dan orang awam akan bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan.

"Tidak akan ada pekerjaan dan 60 peratus daripada tanah pertanian Gaza akan menjadi zon penampan keselamatan," katanya.

Selasa lalu, Amerika Syarikat (AS) menolak kenyataan tidak bertanggungjawab menteri Israel mengenai pengusiran rakyat Palestin dari Gaza.

"Amerika Syarikat menolak kenyataan baru-baru ini daripada Menteri Israel, Bezalel Smotrich dan Itamar Ben Gvir yang menyokong penempatan semula penduduk Palestin di luar Gaza.

"Retorik ini menghasut dan tidak bertanggungjawab," kata jurucakap Jabatan Negara Matthew Miller dalam satu kenyataan.

Kedua-dua menteri itu dalam pelbagai majlis dilapor menggesa apa yang disifatkan mereka sebagai 'pemindahan sukarela' rakyat Palestin dari Gaza.

Menurut kementerian kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 22,313 penduduk Palestin terbunuh dan 57,296 cedera dalam serangan Isreal susulan serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober lalu.

Tiada ulasan: