"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Puluhan ribu pelawat Malaysia sumbang 2 bilion baht kepada ekonomi Hatyai

Bernama
Thailand dilaporkan menyambut 27.25 juta pelancong setakat 24 Dis lepas, dengan rakyat Malaysia mendahului senarai seramai 4.43 juta. (Gambar Facebook)
BANGKOK: Pelawat dari Malaysia ke Hatyai, bandar raya di selatan Thailand yang meriah, meningkat dua kali ganda kepada 20,000 orang setiap hari pada musim Krismas dan cuti hujung tahun, menyumbang lebih 2 bilion baht kepada ekonomi tempatan.

Presiden Persatuan Hotel-Hotel Songkhla Hatyai Sitthipong Sitthiprapha berkata, daya tarikan Hatyai bagi rakyat Malaysia termasuk aneka pilihan makanan yang enak, akses yang mudah dan pilihan penginapan pada harga berpatutan.

Beliau berkata, Hatyai telah mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi kegemaran bagi pelancong yang mahukan percutian yang menarik dan mesra bajet.

Katanya, kebiasaannya, Hatyai menikmati aliran stabil kira-kira 5,000 pelawat dari Malaysia setiap hari, meningkat dua kali ganda kepada hampir 10,000 pada hujung minggu.

“Hatyai mengalami peningkatan yang ‘menggembirakan’ dalam bilangan pengunjung dari Malaysia sepanjang musim cuti hujung tahun,” katanya.

“Pada hujung minggu musim puncak (Krismas dan Tahun Baharu), Hatyai menerima purata 20,000 pelawat Malaysia setiap hari, manakala pada hari biasa, kira-kira 10,000.

“Semasa sambutan Krismas dan Tahun Baharu, perbelanjaan purata pelancong Malaysia bagi setiap perjalanan mencecah 10,000 baht setiap orang, dianggarkan menyumbang kira-kira 2 bilion baht kepada ekonomi Hatyai.”

Menurut Sitthipong, hotel-hotel di Hatyai menyaksikan lonjakan permintaan yang tidak pernah dilihat sebelum ini, dengan penginapan di pusat bandar, kawasan popular bagi pelancong Malaysia, penuh ditempah semasa kemuncak minggu percutian.

Beliau berkata, Hatyai kini mempunyai kira-kira 20,000 bilik, termasuk 8,000 hingga 12,000 yang tertumpu di pusat bandar.

Kementerian Pelancongan dan Sukan berkata, Thailand menyambut 27.25 juta pelancong setakat 24 Dis lepas, dengan rakyat Malaysia mendahului senarai dengan 4.43 juta, diikuti oleh China (3.41 juta); Korea Selatan (1.6 juta); India (1.58 juta) dan Rusia (1.42 juta),

Tiada ulasan: