"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Orang muda mati mengejut semakin meningkat

Harapandaily

Kematian mengejut dalam kalangan orang muda iaitu golongan berusia 40 tahun dan ke bawah di negara ini semakin meningkat.

Pengasas Pusat Kesejahteraan Heart Bit E-ECP, Dr S Denesh, berkata, Sindrom Kematian Mengejut Golongan Dewasa (SADS) bagi populasi tersebut antaranya akibat serangan jantung dan strok.

Menurutnya, SADS mungkin disebabkan oleh kejutan terhadap sistem kardiovaskular berpunca daripada peningkatan mendadak aktiviti fizikal selepas tidak melakukannya dalam tempoh yang panjang semasa perintah kawalan pergerakan apabila negara dilanda pandemik Covid-19.

“Aktiviti senaman fizikal dalam kalangan penduduk kita ketika itu amat kurang.

“Apabila perintah itu ditarik balik, ramai antara kita yang terlalu cepat dan agresif melakukan senaman sehingga menyebabkan kes SADS meningkat.

“Apabila anda tidak melakukan senaman dalam tempoh yang sebegitu lama, ia akan menyebabkan sedikit kejutan terhadap tubuh (jika seseorang itu secara tiba-tiba melakukan senaman secara intensif),” katanya dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.

Beliau berkata, tahap tekanan yang tinggi, tidur tidak cukup dan sejarah penyakit jantung turut menyumbang kepada faktor berlakunya SADS.

Sehubungan itu, Dr S Denesh berkata, langkah pencegahan seperti pengubahsuaian gaya hidup dan diet perlu dilakukan.

“Kita juga harus belajar cara untuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kerana ia boleh meningkatkan kadar survival bagi mereka yang terkena serangan jantung.

“Adalah penting untuk kita mengenal pasti simptom-simptomnya dan melakukan CPR dengan segera jika seseorang itu tidak bernafas,” katanya.

Tiada ulasan: