"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas guru agama ditemui rentung bawah timbunan zink

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
KEADAAN rumah terbakar di Parit Gaung. FOTO Alias Abd Rani
KEADAAN rumah terbakar di Parit Gaung. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: "Sehari sebelum kejadian, kami sempat melihat dia berjalan-jalan dekat pekan tapi arwah dikhabarkan sudah tiada," kata seorang penduduk susulan seorang warga emas ditemui rentung dalam kebakaran rumah di Parit Gaung, dekat Parit Sulong, semalam.

Mangsa Noorsiah Sahran, 78, yang juga bekas guru agama di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Sulaiman, di sini, meninggal dunia selepas rumahnya terbakar pada jam 5.45 pagi.

Allahyarham yang tinggal berseorangan di rumah pusakanya gagal menyelamatkan diri sebelum mayatnya ditemui bawah timbunan zink terbakar.

Penduduk, Faizah Wahab, 27, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas viral di media sosial.

"Semalam ada jumpa arwah dekat pekan Parit Sulong. Elok nampak arwah, tiba-tiba saya mendapat tahu, dia sudah meninggal dalam kebakaran," katanya ketika ditemui.

Difahamkan, mangsa tinggal berseorangan di rumah terbabit yang tiada bekalan elektrik dan juga air.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 9 pagi.

Beliau berkata, siasatan di lokasi sudah dilakukan membabitkan anggota dari Balai Polis Parit Sulong dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram dan Batu Pahat.

"Struktur rumah itu diperbuat daripada papan dengan lokasinya terpencil dari kawasan penduduk didapati terbakar sepenuhnya.

"Ketika pasukan penyelamat memadam api, terjumpa mayat sudah rentung bawah timbunan zink yang terbakar.

"Pemeriksaan mendapati mayat terbabit adalah warga emas (Noorsiah) yang tinggal berseorangan di rumah terbabit.

"Polis masih menjalankan siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi.

Tiada ulasan: