Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my
OKU bisu dan masalah pendengaran, Zulkifli Ainul Mokhsein menjual cempedak goreng dan sate bersama isterinya, Siti Nuratikah Mohd Suhaimi demi kelangsungan hidupnya yang menghidao barah limfoma. FOTO Ihsan Zulkifli Ainul Mokhsein
Johor Bahru: "Tolonglah bantu beli cempedak goreng dan sate yang saya jual kerana itu saja punca pendapatan ketika ini untuk sara hidup.
"Memang susah hidup saya sekarang kerana kadangkala ada orang beli, ada kalanya tiada. Macam mana nak cari duit kalau terus begitu?,"
Itu luahan Orang Kurang Upaya (OKU) bisu dan masalah pendengaran, Zulkifli Ainul Mokhsein, 37, yang buntu mengenangkan nasibnya selepas dimaklumkan doktor bahawa barah limfoma dihidapinya sebelum ini menyerang semula.
Lebih merunsingkannya apabila sudah menerima notis tuntutan selepas gagal membayar tunggakan sebanyak RM1,500 bagi rumah sewa didiami di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Setia Indah, di sini.
Katanya, bukan enggan membayar tunggakan itu namun pendapatan hasil niaga kecil-kecilan di Bukit Mutiara, Bandar Dato' Onn, di sini pada petang dan malam bersama isteri, Siti Nuratikah Mohd Suhaimi, 31, juga berstatus OKU bisu dan masalah pendengaran tidak seberapa.
Walaupun menerima bantuan bulanan daripada Baitulmal sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejumlah RM450, Zulkifli mengakui jumlah diterimanya itu masih tidak mencukupi.
"Selain duit makan dan keperluan kami lima beranak, saya juga perlu isi minyak kereta untuk ke hospital.
"Ulang alik hospital juga nak pakai duit malah kereta saya juga sudah uzur dan banyak kali rosak.
"Jadi memang runsing sangat fikirkan keadaan saya kini dan paling menakutkan jika diusir daripada rumah yang kini ada tunggakan.
"Mana kami anak beranak nak berteduh jika ia terjadi jadi saya merayu kepada sesiapa yang sudi untuk membantu,"katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menceritakan perkembangan terkini keadaannya, Zulkifli berkata, dia ke hospital untuk temujanji dengan doktor pagi tadi dan diberitahu sel barah sudah merebak ke tulang.
"Menurut doktor, saya perlukan ubat baru yang paling mahal sebelum boleh teruskan dengan rawatan kemoterapi dan ia perlu tunggu kelulusan dahulu daripada Baitulmal.
"Hasil keputusan PET Scan (Positron Emission Tomography) di
Institut Kanser Negara (IKN) beberapa bulan lalu juga agak teruk jadi tak tahu macam mana kemudiannya nanti," katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Zulkifli yang menderita akibat barah limfoma tahap empat dan pernah tiga kali diserang penyakit itu.
Zulkifli dulunya mencari rezeki sebagai penjual sate namun tidak dapat lagi bekerja sejak disahkan doktor menghidap penyakit itu kira-kira enam tahun lalu.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 101280031978 atas nama Zulkifli Ainul Mokhsein atau ke akaun isterinya iaitu Maybank bernombor 151285286604 atas nama Siti Nuratika Mohd Suhaimi atau menghubungi Zulkifli di talian 013-7428343.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan