"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Abang Jo mahu Anwar kekal PM

FMT Reporters
Premier Sarawak Abang Johari Openg, berkata Anwar Ibrahim perlu kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat tempoh penggal Parlimen. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg mahu Anwar Ibrahim dikekalkan sebagai perdana menteri hingga tamat tempoh penggal Parlimen.

Premier Sarawak itu berkata, mengikut sistem demokrasi, ketentuan siapa menerajui kerajaan haruslah melalui pilihan raya.

Beliau berkata sokongan kepada Anwar juga penting agar wujud kestabilan bagi membolehkan kerajaan persekutuan mentadbir dengan lebih fokus.

“Jika perdana menteri sudah ada di sana, biarkanlah sampai habis kerana ketentuan kerajaan mengikut demokrasi adalah apabila pilihan raya diadakan maka keputusannya itu kekal sampai habis…kalau (kita tukar perdana menteri) tengah jalan, akan jadi satu situasi yang tidak menentu dan yang menjadi mangsa adalah rakyat,” katanya menurut Bernama pada sesi Townhall 7 Tahun Bersama YAB Premier Sarawak, di Kuching.

Abang Johari juga menyeru semua ahli politik agar meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan sendiri.

“Kami di Sarawak berkehendakkan negara Malaysia yang kuat… kita lihat jiran kita sudah ke depan… Indonesia sudah membangun tetapi pemimpin kita masih main politik. Bagi Sarawak, kita sokong kestabilan politik,” katanya.

GPS menyumbang 22 kerusi Parlimen dalam pembentukan kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, dan beberapa parti kecil lain.

Pada 5 Jan, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata partinya sedia menunggu perubahan kerajaan melalui “proses demokrasi dan raja berperlembagaan”.

Mengulas “Langkah Dubai” dalam kolum Harakah Daily, Ahli Parlimen Marang itu berkata, semua parti politik mahu menjadi kerajaan, bukannya pembangkang sepanjang masa.

Spekulasi “Langkah Dubai” timbul susulan perbincangan didakwa antara pemimpin pembangkang dan wakil kerajaan tertentu ketika lawatan mereka ke Emiriah Arab Bersatu, baru-baru ini.

Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada “ejen” untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan mereka kepada pembangkang dan membentuk kerajaan baharu.

Pemimpin kerajaan, termasuk Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof menolak “Langkah Dubai” dengan berkata usaha menggulingkan kerajaan perpaduan membuang masa.

Tiada ulasan: