"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Terima kasih pada 2 malaikat yang kejutkan kami’

Malaysiakini 

Cheok Foong Ling, isteri kepada anggota parlimen Beruas Ngeh Koo Ham, mengucapkan terima kasih kepada pasangan yang mengejutkan mereka dan memberitahu tentang kebakaran di rumahnya.

“Pasangan yang lalu di rumah saya dan bunyikan loceng ini dua malaikat saya,” Cheok dipetik sebagai berkata kepada China Press.

Dalam kebakaran hampir jam tiga pagi tadi, Cheok dan Ngeh  dilaporkan sedang tidur.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri pagi ini berkata polis sedang mengesan individu yang disyaki melontar bom petrol ke rumah Ngeh di Ayer Tawar dekat Ipoh awal pagi tadi.

Katanya kejadian itu menyebabkan kereta Mercedes Benz wakil rakyat DAP itu terbakar, serta merosakkan kereta Honda CR-V Toyota Hilux.

Kes disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan khianat dengan api.

Setakat ini belum jelas motif perbuatan itu.

Bagaimanapun, Ngeh sebelum ini terpalit dalam kontroversi selepas mencadangkan pakar perlembagaan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah.

Berdepan kritikan keras pengkritik, dia kemudian menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf.

Menjelaskan tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam, Ngeh berkata dia cuma mahu memastikan semua pandangan diambil kira kerana menjangkakan proses itu akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan. 

Dia juga katanya tidak tahu bahawa jawatankuasa khas tersebut telah dibentuk oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tiada ulasan: