Shahbudin Husin
Ini ada satu cerita yang amat lucu dan sangat menggelikan hati di sebalik gembar-gembur yang sengaja dihebohkan kononnya akan berlaku pertukaran kerajaan tidak lama lagi.
Saya yang diceritakan mengenainya bukan saja turut berdekah-dekah, bahkan bila kemudian teringat semula cerita itu, saya tidak mampu mengelak daripada ketawa lagi.
Tengah menulis ini pun saya sebenarnya dalam keadaan sukar menahan diri daripada terus ketawa.
Kisahnya ialah mengenai gelagat pegawai dan orang kanan seorang pemimpin yang namanya disebut-sebut antara bakal menjadi Perdana Menteri jika pertukaran kerajaan berjaya dilakukan.
Mereka kini dikatakan sudah menempah baju Melayu hitam sebagai persediaan untuk mengiringi boss mereka ke Istana Negara bagi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Walaupun masih tidak pasti sama ada majlis angkat sumpah itu benar-benar menjadi kenyataan atau kekal sebagai khayalan, alasan yang diberi ialah supaya tidak susah di saat-saat akhir nanti.
Lagi pun, untuk ke Istana Negara mestilah dengan baju Melayu hitam yang baru ditempah, kata mereka.
Alasan lain yang diberi kenapa menempah baju baru ialah kerana baju Melayu hitam mereka yang sedia ada sudah agak sendat sikit.
Pada waktu yang sama, pegawai berkenaan juga difahamkan turut sudah menyediakan draf ucapan untuk boss mereka memberi ucapan sulung ke seluruh negara melalui siaran langsung televisyen selepas saja selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri itu nanti.
Kononnya, draf ucapan itu perlu disediakan sekarang sebagai persediaan awal serta untuk memperlihatkan boss mereka ternampak benar-benar bersedia untuk menerajui negara ini.
Kelakar dan sangat kelakar…
Soalnya, bila majlis angkat sumpah itu akan berlaku?
Sudah cukup jumlahkah untuk menukar kerajaan?
Silap-silap baju Melayu hitam itu akhirnya akan dipakai ketika Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi.
Mari ketawa lagi… kahkahkah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan