Ili Aqilah
Di saat ada ahli politik yang dikurangkan hukuman walau belum sampai dua tahun di penjara, Intan Diana, 40, begitu marah apabila abangnya yang sudah meringkuk di penjara sejak 2001 belum berpeluang mendapat pertimbangan pengampunan diraja.
"Kami berasa marah. Bezanya adalah kami orang biasa. Jadi tiada orang yang melihat kes kami," keluhnya kepada Malaysiakini.
Intan berkata abangnya, yang tidak dinamakan kerana wanita itu risau kesan yang mungkin menimpa, dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan atas kesalahan berkaitan senjata api 23 tahun lalu.
Sepanjang menjalani hukuman, lelaki berusia 43 tahun itu menerima pelbagai anugerah kerana menjadi banduan contoh, serta mempelajari banyak kemahiran baru termasuk menjahit, kata Intan.
Pada 2020, pihak keluarga menulis surat kepada Lembaga Pengampunan namun tidak menerima sebarang maklum balas.
Intan berkata keluarganya membelanjakan ribuan ringgit, sehingga menggadaikan barang kemas dan menjual tanah, bagi menampung bayaran guaman untuk abangnya.
Dia benar-benar merasakan seorang "VIP" seperti ahli politik ada jalan pintas untuk mendapat pengampunan, berbanding banduan biasa.
"Tolong jangan ada 'double standard'. (Seolah-olah) jika anda 'somebady', anda sedikit istimewa," katanya lagi.
Intan merupakan antara ahli keluarga kepada ramai banduan yang sedang menunggu peluang kedua untuk mereka - sama ada pengampunan diraja mahupun pengurangan atau peringanan hukuman.
Malaysiakini menghubungi ahli keluarga mereka, serta aktivis dan peguam susulan keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara dan denda bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes rasuah SRC International.
Terdahulu, Lembaga pengampunan mengurangkan hukuman Najib daripada 12 tahun penjara kepada enam tahun, dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Demokrasi maksudnya kesaksamaan
Menurut Intan, abangnyalah yang menghubungkannya dengan kumpulan hak asasi manusia Suaram. Dia kemudian bertemu dengan pengurus programnya, Azura Nasron.
Azura telah mengendalikan banyak kes seumpama itu, dan mengimbas kembali betapa dia tidak menerima sebarang maklum balas daripada Lembaga Pengampunan berhubung satu lagi permohonan pengampunan diraja yang dibuat abang Intan pada 2022.
"Kami rasa sedih kerana sudah bertahun keluarga (banduan) melawan kes ini. Bapanya sudah meninggal dunia dan ibunya yang tua pula tak sihat.
"Mereka adalah keluarga B40 yang tinggal di PPR (Program Perumahan Rakyat)," katanya ketika dihubungi.
Menurut Azura, memandangkan kerajaan sedang menilai semula hukuman penjara seumur hidup dan hukuman mati, permohonan pengampunan banduan itu tidak akan dilayan kerana dia perlu menunggu - barangkali selama beberapa tahun lagi - untuk penetapan semula hukuman.
"Banduan itu perlu tunggu lama lagi kerana kerajaan akan mengutamakan banduan yang tua dan sakit," katanya lagi.
Justeru, dia berkata tidak adil untuk "ahli politik elit" yang dipenjara akibat rasuah diberi keutamaan.
"Ada ramai banduan yang telah dipenjara 20, 30 tahun yang lebih layak dapat pengampunan."
Menurut Azura, atas nama ketelusan, Najib sepatutnya "menunggu giliran", bukannya menggunakan kelebihan yang ada agar permohonannya dipercepatkan.
"Demokrasi bermakna semuanya sama di sisi undang-undang. Tapi di sini ada diskriminasi jelas antara 'elit' dan orang lain," katanya lagi.
Peguam Goh Cia Yee mempersoalkan mengapa semua individu yang dituduh tidak mendapat kelebihan sama seperti yang dinikmati 'golongan elit' dalam sistem keadilan jenayah.
Dia membangkitkan kes dua anak guamnya yang dipenjara atas kesalahan berkaitan dadah, yang menunggu lima tahun untuk perbicaraan dan rayuan mereka didengar.
"Seorang anak guam ditahan lima tahun lalu, disabit bersalah pada 2022, dan menunggu rayuan didengar tahun ini.
"seorang lagi ditahan lima tahun lalu atas kesalahan sama dan masih menunggu keputusan perbicaraan," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata masa menunggu menjadi lebih lama bagi kes yang tidak boleh diikat jamin.
Menurut Goh, antara sebab mengapa kes tertangguh adalah masa yang lama untuk analisis diselesaikan dan kes dipindah ke Mahkamah Tinggi.
Menjadikan kes Najib sebagai contoh, dia mengakui status seseorang individu dalam masyarakat boleh memberi kelebihan kepadanya dalam sistem keadilan jenayah.
"Layanan yang baik dan berperikemanusiaan adalah hak asasi, namun ada kala seolah-olah ia hanya diberikan bergantung kepada status anda dalam masyarakat," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan