"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mayat wanita dalam kereta tiada unsur jenayah

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Rawang: Tiada unsur jenayah dikesan pada penemuan mayat wanita tempatan dalam kereta di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kundang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 33 tahun itu masih berpakaian ketika ditemui pada 11 pagi.

"Mangsa dalam keadaan bersandar pada kerusi pemandu dengan barang peribadinya masih ada di dalam kenderaan.

"Pemeriksaan tidak menemui kecederaan fizikal pada badan wanita berkenaan dan dia sudah meninggal dunia lebih 24 jam.

"Pengecaman mayat wanita itu dilakukan oleh adik serta rakannya di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Abang Kaderi berkata, polis menemui satu bekas diperbuat daripada tanah liat yang berisi arang yang sebahagiannya sudah terbakar di ruang kaki tempat duduk penumpang hadapan.

Menurutnya, mayat wanita itu dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan mati mengejut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Sarjan Zulkifli Nordin di talian 011-69728629 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222," katanya.

Tiada ulasan: