"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bawa balik ‘pump gun’, 11 ‘pak guard’ bank ditahan

Bernama

SHAH ALAM: Polis menahan 11 pengawal keselamatan bank di Sabak Bernam dan Kuala Selangor pada 6 dan 7 Feb lalu kerana melanggar syarat lesen iaitu menyimpan senjata api di rumah.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata semua lelaki tempatan berusia lingkungan 25 hingga 53 tahun ditahan di rumah masing-masing hasil risikan dijalankan pihaknya.

Beliau berkata, sebanyak 11 laras senapang jenis “pump gun”, 55 butir peluru dan sebuah kereta turut dirampas.

“Semasa serbuan dijalankan, semua pengawal keselamatan itu telah tamat tugas di bank dan didapati menyimpan senjata api jenis ‘pump gun’ di rumah seperti meletakkan di bawah katil, tepi dan dalam almari pakaian serta dalam kereta,” katanya pada sidang media.

Menurutnya, siasatan mendapati pengawal keselamatan tersebut membawa senjata api balik ke rumah menggunakan motosikal dengan cara tidak selamat seperti menggalasnya di belakang, selain memaklumkan mereka diarahkan oleh syarikat untuk menyimpan senjata api di rumah selepas tamat kerja.

Kejadian itu, katanya berlarutan selama lebih kurang dua tahun dan hasil siasatan mendapati syarikat tersebut yang dilesenkan di Kuala Lumpur melakukan lima kesalahan sebelum ini sejak 2015.

Hussein berkata, semua pengawal keselamatan tersebut didapati melakukan kesalahan bawah Seksyen 8 (b) Akta Senjata 1960 kerana melanggar syarat lesen dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000.

Katanya, siasatan sedang dijalankan ke atas syarikat tersebut dan jika didapati melakukan kesalahan terbabit pihaknya akan menarik lesen yang diberikan.

Beliau turut mengingatkan semua syarikat yang memiliki senjata api untuk mematuhi syarat lesen bagi mengelakkan kejadian seperti samun menggunakan senjata api, pemerasan atau kejadian kehilangan senjata atau dicuri.

“Syarikat keselamatan tidak boleh mengambil mudah dalam aspek keselamatan senjata api seperti tidak membuka cawangan di kawasan tempat bertugas dan tidak membina bilik kebal senjata api hanya kerana untuk menjimatkan kos,” katanya.

Tiada ulasan: