"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Aneh' ada pihak pertahan perasuah berpuluh bilion wang negara - Anwar

Amir Mamat
am@hmetro.com.my

Ayer Keroh: Datuk Seri Anwar Ibrahim merasa 'aneh' apabila ada pihak yang menyalah serta menyindir kerajaan kerana mengambil tindakan terhadap golongan 'maha kaya' yang perasuah.

Kata Perdana Menteri, ramai yang mengeluh apabila tindakan pendakwaan dikenakan kepada individu tertentu yang didapati mengumpul kekayaan yang dikatakan berbilion ringgit.

"Masih ada yang pertahankan (perasuah), saya rasa aneh bagaimana boleh kita pertahankan kerana orang itu kononnya sudah tua atau kes sudah lama, (sebenarnya) dia (mereka) tak kira sama ada berbilion ringgit yang diambil.

"Polis (berpangkat) sarjan kalau ditangkap ambil (rasuah) RM500 didakwa, di kampung kalau curi motosikal didakwa dan dipenjara, (tidak kira) sama ada dia sakit atau di hospital atau kena pukul, dia tidak kira.

"Tetapi bila kita ambil tindakan pada golongan perasuah besar negara itu, timbul kenyataan-kenyataan mengapa dendam, mengapa zalim, mengapa tak mengira umur... saya (merasa) aneh," katanya ketika menyampaikan amanat kepada penjawat awam Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar berkata, beliau sangat menyanjungi serta berbangga kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertindak tegas terhadap perasuah tanpa mengira kedudukan.

"Saya nak sebut, saya percaya dan bangga pada badan penguatkuasaan, baik SPRM, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) atau PDRM (Polis Diraja Malaysia) kerana tegas dan bertindak profesional terhadap golongan yang diketahui 'merompak' kekayaan berpuluh bilion dari negara ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sedang menanggung sejumlah hutang terkumpul mencecah RM1.5 trilion menyebabkan perbelanjaan tidak boleh sewenangnya namun jika terlalu cermat, bimbang menjejaskan bidang pendidikan, penduduk miskin serta kesihatan sehingga memaksa kerajaan merangka ekonomi dengan begitu cermat.

"Sebab itu saya kata, biar ada satu mesej jelas apa pun mahu disergah, mahu disinggung, saya tidak peduli. Saya mohon penjawat awam, termasuk di Melaka faham, dalam kesempatan yang ada, biar kita beri mesej jelas pada negara ini dan pimpinan kini dan akan datang, gunalah kebijaksanaan gunalah kuasa sebaiknya.

"Sebaik saja kamu `punggah' kekayaan negeri untuk kepentingan peribadi atau keluarga, kami tetap bertindak, tangkap dan dakwa kamu, barulah kita boleh jamin keselamatan negara pada masa akan datang," katanya.

Tiada ulasan: