"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inspektor, sarjan tak mengaku samun RM5,150

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pegawai polis berpangkat inspektor bersama seorang sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu tuduhan kes samun membabitkan kerugian bernilai RM5,150, minggu lepas.

Mohd Hafiz Mohd Tamin, 42, yang berpangkat Asisten Superintendan, dan Mohd Izuddin Mohd Ariffin, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri, menurut Bernama.

Kedua-dua tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu itu didakwa melakukan pemerasan terhadap Mohd Muhaimin Jasmani, 34, dengan mendatangkan ketakutan kepada mangsa pada 1 Feb lepas di dalam kenderaan polis, di sebuah stesen minyak di Wakaf Tembesu, di sini.

Mangsa yang ketakutan terpaksa menyerahkan wang RM5,000 yang dikeluarkan dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di stesen minyak tersebut sebagai balasan agar tidak dikenakan tindakan undang-undang oleh tertuduh.

Sementara itu, Mohd Izuddin turut didakwa atas kesalahan sama kerana memaksa mangsa menyerahkan wang tunai RM150 di seberang jalan kedai serbaneka di Bukit Bayas, pada jam 8.40 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan Mohd Izuddin diikat jamin RM5,000 bagi pertuduhan pertama dan RM4,000 bagi pertuduhan kedua dengan seorang penjamin, manakala Mohd Hafiz dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 juga dengan seorang penjamin.

Mereka yang diwakili peguam Ahmad Adha Amir Yasser turut perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap 1 dan 15 hari bulan sebagai syarat jaminan, selain diarahkan tidak mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri, Ahmad Rashdi Engku Abdillah dan Timbalan Pendakwa Raya, Nuraisyah Mohamad.

Mahkamah menetapkan 28 Feb ini bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tiada ulasan: