"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

DSP, inspektor antara 5 pegawai polis ditahan ketika sedang memproses minuman ketum

Reza A Hamid
WhatsApp-Image-2024-02-06-at-10
Sepasang uniform operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut dirampas
MELAKA – Dua pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) dan Inspektor antara enam lelaki ditahan bersama 5,200 mililiter (ml) cecair dipercayai air ketum di sebuah rumah di Alor Gajah di sini malam tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, serbuan ke atas semua suspek berusia antara 31 hingga 55 tahun kira-kira pukul 11.30 malam tadi dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Menurutnya, kesemua pegawai polis yang ditahan bertugas di Kontinjen Melaka selain seorang lelaki yang merupakan kontraktor berusia 44 tahun.

“Dua pegawai kanan polis ditahan adalah berpangkat DSP dan Inspektor masing-masing berusia 48 dan 36 tahun, manakala dua pegawai rendah adalah dua sarjan dan seorang Lans Koperal berusia 55, 34, dan 31 tahun.

“Turut ditahan adalah seorang lelaki berusia 44 tahun yang bekerja sebagai kontraktor beralamat di Taman Melaka Perdana, Alor Gajah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
WhatsApp-Image-2024-02-06-at-10
Polis turut merampas tiga botol lutsinar dipercayai berisi cecair ketum seberat dua liter, 1.9 liter dan 500 mililiter (ml) serta tiga bungkus plastik mengandungi 800 ml air ketum.
Tambahnya, ketika serbuan polis merampas tiga botol lutsinar dipercayai berisi cecair ketum seberat dua liter, 1.9 liter dan 500 mililiter (ml) serta tiga bungkus plastik mengandungi 800 ml air ketum.

“Turut dirampas sepasang uniform operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu besen berwarna hijau

“Perrmohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Alor Gajah hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (2) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 30 (5) akta sama,” tambahnya.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Zainol berkata, Polis Melaka akan memastikan kes disiasat secara telus dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang boleh memberikan implikasi negatif terhadap nama baik PDRM.

“Operasi sebegini akan terus dijalankan untuk membersihkan sebarang anasir-anasir yang tidak baik dari terus merebak.

“Pegawai polis yang menjadi gunting dalam lipatan sehingga menjejaskan kredibiliti serta keyakinan masyarakat kepada PDRM perlu diambil tindakan sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: