"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Politik Malaysia: Kuasa ketiga tak akan kemana

‘Kuasa ketiga’ tak cukup kuat raih sokongan, kata penganalisis

Lynelle Tham

PETALING JAYA: Peralihan undi “kuasa ketiga” sukar berlaku walaupun mengambil kira keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan separuh hukuman penjara terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak, kata penganalisis.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, bagaimanapun tidak menolak pengundi Pakatan Harapan (PH) mungkin merasakan gabungan itu tersasar daripada prinsip reformasi.

“Saya ragu-ragu mereka sanggup mengundi Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada FMT.

“Undi Melayu mungkin selesa kepada PN kerana mereka telah menolak Barisan Nasional (BN), namun yang lain mungkin tidak selesa dengan PN.”

Namun, beliau berkata, ia tidak semestinya diterjemah dalam bentuk sokongan kepada kuasa ketiga atau entiti politik yang tidak mempunyai rekod.

“Saya fikir pengundi kita cukup pragmatik dan realistik. Akhirnya, mereka mahu orang yang boleh buat kerja.

“Jadi, jika seseorang itu sudah membantu tambah baik kawasan diwakili atau sekali pun di peringkat nasional, ia cukup penting,” katanya.

Sokongan kepada kuasa ketiga mula meraih momentum selepas Muda menarik sokongan terhadap kerajaan, pada September 2023. Parti berasaskan orang muda itu hanya menang satu kerusi pada PRU15.

Cakap-cakap berkait kuasa ketiga mula mendapat tempat dalam media sosial selepas Lembaga Pengampunan tersebut pada Jumaat mengurangkan hukuman penjara Najib kepada enam tahun berbanding 12 tahun, dan denda dikurangkan kepada RM50 juta berbanding RM210 juta.

James Chin dari University of Tasmania, juga mempersoal peralihan undi kepada kuasa ketiga, sambil menyifatkan sistem dua parti di negara ini sebagai kekangan besar.

“Sebelum ini (PRU15), ada empat kumpulan besar bersaing: PH, BN, PN, dan Blok Borneo (Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah),” katanya.

“Selepas keputusan pilihan raya, kita menyaksikan dua kumpulan besar: PH-BN dan PN. Jadi, terlalu sukar untuk kuasa ketiga muncul.”

Chin berkata, cakap-cakap berkait kuasa ketiga hanya sementara kerana rasa tidak puas hati terhadap pengurangan hukuman dan denda itu.

Katanya, sentimen itu akan menurun tidak lama lagi.

Tiada ulasan: