"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PM, Menteri Kewangan terbabit akan dipanggil Kes SPANCO

Harapandaily

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semua yang terbabit dalam membuat keputusan penganugerahan kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (SPANCO) sejak syarikat itu beroperasi pada 1990-an bagi membantu siasatan.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata ia termasuk Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu.

Menurutnya, keterangan daripada semua yang terbabit itu perlu bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

“Kita akan panggil sesiapa saja yang membuat keputusan pada masa itu yang memutuskan untuk memberi projek kepada SPANCO.

“Kita lihat sejarah penubuhan syarikat itu pada 1998 atau 1999.

“Jadi, sesiapa saja yang terbabit ketika itu termasuk Perdana Menteri dan Menteri Kewangan akan panggil untuk rekod kenyataan dan mengetahui apa yang mereka tahu berkenaan kes,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Cakna Rasuah Bersama Pengamal Media Sarawak, di Kuching, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri menyifatkan kontrak perolehan SPANCO hanya merugikan negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tahu kontrak terbabit juga tidak menyenangkan penjawat awam yang menggunakan kemudahan itu dan beliau tegas terhadap SPANCO itu sejak menjadi Menteri Kewangan.

Sebelum ini, SPRM dilapor menyiasat sebuah syarikat yang memperoleh kontrak membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan.

Susulan itu, beberapa saksi penting termasuk daripada agensi kerajaan dan individu daripada syarikat terbabit dilapor sudah dirakam keterangan.

SPANCO sebelum ini memperoleh kontrak membekal serta menguruskan ‘fleet’ kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

Bulan lalu, SPRM menyerbu kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah perolehan membekal dan mengurus ‘fleet’ kenderaan kerajaan Malaysia.

Serbuan yang merupakan hasil siasatan sejak Julai 2023 itu turut dilakukan terhadap beberapa syarikat berkaitan bagi melengkapkan siasatan SPRM.

Lebih 100 dokumen berkaitan akaun korporat dan peribadi dirampas, hasil serbuan di rumah ahli perniagaan yang rapat dengan bekas menteri, Tun Daim Zainuddin itu.

Tiada ulasan: