"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suspek belasah warga emas ditahan

FMT Reporters
Mangsa cedera di kepala, lebam mata kiri dan patah tulang pipi kiri serta patah tulang mata kiri.
PETALING JAYA: Seorang lelaki disyaki suspek kes buli jalan raya membabitkan warga emas di Taman Tasik Puchong Prima, Sepang, bulan lalu ditahan polis semalam.

Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusoff, berkata lelaki tempatan berusia 25 tahun yang juga peniaga ditahan pada 5 petang.

Katanya, permohonan reman suspek dibuat di Mahkamah Majistret Sepang bermula hari ini hingga Jumaat.

“Suspek mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan kesalahan bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK), 160 KK dan 39A Akta Dadah Berbahaya (ADB).

“Polis mengesahkan gambar seorang lelaki warga emas yang cedera dan tular di media sosial adalah benar dan masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ketika kejadian warga emas itu memandu kereta dari arah Brickfields ke Putra Perdana untuk bertemu rakan.

“Ketika berada di Puchong Prima pengadu dipukul kerana dikatakan tidak memberi lampu isyarat ketika membelok di simpang jalan. Suspek turut mengeluarkan perkataan kesat kepada mangsa.

“Selepas meneruskan perjalanan suspek terus mengekori mangsa dan ketika tiba di hadapan kedai bakeri di Putra Perdana kira-kira 1km dari lokasi sebelumnya, kenderaan mangsa disekat dan suspek sekali lagi menarik mangsa keluar dari kenderaan lalu menumbuk mata dan menendang badannya bertubi-tubi,” katanya.

Menurutnya, mangsa ditinggalkan di lokasi dan dibawa ke Hospital Serdang dengan ambulans untuk rawatan.

Mangsa cedera di kepala, lebam mata kiri dan patah tulang pipi kiri serta patah tulang mata kiri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 KK yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun dan denda.

Tiada ulasan: