"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof: Keputusan kes Nik Elin v DUN Kelantan: Perspektif ahli legislatif

Harapandaily

Pas seharusnya menerangkan kepada pengikutnya dan umat Islam yang terkeliru dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan terhadap petisyen Nik Elin Zurina. Adalah lebih baik Pas bersikap jujur daripada menggunakan keputusan ini sebagai bahan politik yang menjejaskan keharmonian undang-undang negara.

Ramai di kalangan Ahli Parlimen Pas dan ADUN sepatutnya mengambil peranan menjelaskan bagaimana proses perundangan dibuat dan apakah bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan yang dalam lafaz sumpah setia semua Ahli Parlimen dan ADUN berjanji untuk mempertahankan.

Pas harus akur bahawa keputusan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah (I) Kelantan (EJSK) melambangkan kelemahan badan perundangan negeri Kelantan atau Dewan Undangn Negeri (DUN) yang tanpa teliti telah meluluskan beberapa peruntukan dalam EJSK yang jelas melampaui bidang kuasa perundangannya sebagaimana yang tercatit dalam penghakiman Ketua Hakim Negara.

Pas sepatutnya mengambil semangat keputusan dengan memperbaiki proses pembikinan undang-undang jenayah syariah dengan lebih teliti dan patut menerima nasihat dengan menghormati peruntukan kuasa yang ada pada DUN di mana setiap ADUN bersumpah untuk melindungi dan mempertahankannya semasa mereka dipilih oleh rakyat.

Lebih buruk Pas telah mengelirukan pengikutnya dan sebahagian umat Islam kononnya Mahkamah Syariah terancam dan dicabar. Ada yang mengatakan bahawa undang-undang Allah dibatalkan atas kehendak golongan liberal. Ini satu pembohongan yang boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian yang menjejaskan keharmonian negara sekaligus tidak menghormati Perlembagaan.

Takzir
Hakikatnya peruntukan dalam EJSK adalah dalam kategori takzir yang bukan hudud dan qisas. Undang-undang jenayah syariah sama dengan Undang-undang Jenayah Sivil di Persekutuan dari sudut ianya adalah takzir yang difikirkan sesuai oleh negara untuk menjaga maslahah keamanan rakyat dan negeri. Bezanya ialah punca kuasa Undang2 Jenayah Syariah (kecuali Wilayah Persekutuan) diperbuat dan digubalkan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
 
Takzir yang digubal oleh DUN Kelantan dibatalkan kerana DUN Kelantan telah melampaui batas kuasa yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dengan menggubal undang-undang yang bercanggah dengan peruntukan tersedia ada di peringkat Persekutuan.

Maknanya kesalahan jenayah yang dilakukan tetap terlaksana hukumannya dalam undang-undang persekutuan sebagai takzir. Bagaimana boleh dikatakan kononnya keputusan ini untuk menghapuskan undang-undang Islam? Takzir boleh dibatalkan jika undang-undang yang sama telah sedia wujud di Persekutuan bagi mengelakkan dua hukuman pada jenayah yang sama dikenakan kepada pesalah sebagai menghormati prinsip keadilan.

Peruntukan kuasa
Untuk menggubal undang-undang syariah, DUN tertakluk kuasanya yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Jadual ke 9 Perlembagaan Persekutuan menyenaraikan kuasa Parlimen dan badan perundangan negeri (DUN). Ia juga tertakluk kepada kuasa yang diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Hal demikian sepatutnya dalam pengetahuan semua ADUN PAS di Dewan Undangan Negeri Kelantan khususnya Speaker Dewan yang berperanan memastikan setiap enakmen tidak melampaui kuasa yang ada padanya. Pembatalan 16 peruntukan dalam EJSK adalah kegagalan ADUN Pas Kelantan untuk meneliti kesemua 18 peruntukan yang dipertikaikan.

Rakyat Kelantan perlu persoalkan siapa ADUN yang telah meluluskan EJSK ini dan siapa Speaker Dewan Kelantan yang mengendalikan sidang DUN ketika itu dan siapa penasihat undang-undang yang dirujuk waktu itu.

DUN Kelantan gagal
Secara moral perundangannya, pembatalan 16 peruntukan dalam EJSK oleh Mahkamah Persekutuan adalah kegagalan fungsi ADUN dan Speaker. Ia sekaligus mencalarkan imej Dewan Undangan Negeri kerana tidak menghormati bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepadanya.

Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9hb Feb 2024 adalah satu tamparan hebat kepada kerajaan negeri Kelantan dan betapa lemahnya kerajaan ini dalam menggubal undang-undang jenayah syariah. Negeri lain sepatutnya turut mengambil iktibar dalam keputusan ini supaya tidak lagi berlaku pelanggaran bidang kuasa di masa hadapan.

Peliknya Pas dalam hal ini menyalahkan pempetisyen, mengheret penyokong dan umat Islam yang terkeliru dengan fitnah “Mahkamah Syariah dicabar” dan terus mentakfirkan mereka yang berbeza pandangan dalam soal ini. Walhal keputusan Mahkamah Persekutuan jelas membuktikan kelemahan sendiri.

Ahli Parlimen Pas dan ADUN Pas dan semua komuniti legaslatif perlu sentiasa muhasabah diri sebagai meningkatkan peranan lebih berkesan sebagai wakil rakyat yang sebenar, jangan jadi bak kata pepatah “Buruk muka cermin dibelah”.

Tiada ulasan: