"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Misteri ‘mat rempit’ tak berkepala pintas kereta tengah malam

RIZAM ZAKARIYA
Ketika melalui laluan yang sunyi itu, Fairus yang memandu kereta tiba-tiba dikejutkan dengan cahaya lampu daripada beberapa motosikal di belakangnya. – Ilustrasi Shah Hasan
KITA sering dimomok-momokkan dengan pelbagai kisah seram dan misteri yang dikatakan terjadi di serata pelusuk di negara ini.

Sama ada ia benar-benar terjadi ataupun sekadar satu cerita rekaan, kejadian tersebut pasti akan menghantui fikiran dan terpahat di dalam ingatan mereka yang pernah mengalaminya.

Begitulah yang dirasai oleh Fairus (bukan nama sebenar) tatkala diminta bercerita mengenai pengalamannya berhadapan dengan kejadian seram dan misteri termasuk pada malam menjelang raya.

Membuka cerita, Fairus yang kini berusia 45 tahun dan menetap di Cheras, Selangor berkata, kisah tersebut berlaku kira-kira 20 tahun lalu ketika dia sedang dalam perjalanan untuk pulang ke kampung halamannya di Pahang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Ketika itu, saya bekerja di Kuala Lumpur dan disebabkan terpaksa bekerja hingga hari terakhir Ramadan, maka saya tiada pilihan melainkan perlu bertolak pulang ke kampung pada malam menjelang raya.

“Disebabkan ketika itu saya masih bujang, maka saya hanya bertolak untuk pulang ke kampung sekitar pukul 10 malam.

“Tambahan pula, jarak kampung halaman saya dari Kuala Lumpur hanyalah sekitar 200 kilometer yang mengambil masa kira-kira 2 jam 30 minit perjalanan,” katanya.

Menurut Fairus lagi, jangkaannya meleset apabila sebaik memasuki Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK), kenderaan masih lagi banyak menyebabkan dia turut terperangkap dalam kesesakan.

Jelasnya, kesesakan tersebut diburukkan lagi dengan adanya kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori yang terbalik dan menutupi jalan, menyebabkan arus kenderaan perlahan selain terpaksa dilencongkan ke laluan kontra.

Cerita Fairus lagi, setelah dua jam terperangkap di Lebuh Raya KLK dan mendapati laluan di Lebuh Raya Pantai Timur menuju ke Pahang turut mengalami kesesakan, dia mengambil keputusan untuk menggunakan jalan lama menghala ke bandar Temerloh.

Situasi yang berlaku itu menyebabkan dia berada lebih lama di atas jalan raya dan hari semakin melepasi tengah malam.

Sebaik hampir tiba di kampungnya, dia melencongkan kenderaannya dengan memasuki jalan pintas memandangkan jaraknya lebih dekat berbanding menggunakan laluan utama.

Tambahnya, jalan pintas tersebut agak luas dan selesa seperti laluan utama ke kampungnya, cuma ia agak sunyi dan gelap kerana tiada lampu jalan.

Sebaik memasuki jalan pintas tersebut kira-kira satu kilometer, kata Fairus, dia dapati hanya keretanya yang melaluinya tanpa ada sebarang kenderaan lain di belakang dan depan.

Dia tidak memikirkan apa-apa, sebaliknya hanya terus memandu untuk cepat tiba di kampung halamannya.

“Sebaik melepasi satu kawasan selekoh tajam dan menuju ke laluan lurus yang agak panjang, tiba-tiba saya terlihat ada cahaya lampu beberapa motosikal dari arah belakang yang melulu agak laju.

“Pada waktu itu, saya fikirkan ia mungkin sekumpulan penunggang motosikal yang memecut laju menyebabkan saya memperlahan kenderaan bagi memberi peluang mereka memintas.

“Sebaik motosikal pertama melintasi sisi kereta saya, alangkah terkejutnya apabila mendapati keadaan motosikal tersebut seakan-akan remuk di bahagian hadapan, manakala penunggangnya sedang berbaring ala ‘superman’ tanpa kepala.

“Keadaan semakin pelik dan seram apabila penunggang motosikal kedua dan ketiga pula turut melakukan aksi yang sama dengan keadaan badan masing-masing berlumuran darah, seakan-akan baru terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Cerita Fairus lagi, terkejut dengan apa yang disaksikannya, dia terus memperlahankan kenderaannya sambil mulutnya beristighfar dan membaca beberapa surah al-Quran bagi meredakan ketakutannya.

Lebih menakutkan katanya, apabila kelibat ketiga-tiga motosikal berkenaan tiba-tiba hilang dari pandangan dalam sekelip mata.

Tambahnya, tidak lama selepas itu, ada sebuah kenderaan lain memintasnya menyebabkan dia mengambil keputusan untuk mengekorinya bagi menghilangkan rasa takut.

“Keesokannya, sewaktu bertemu rakan-rakan sekampung untuk berhari raya, saya menceritakan pengalaman yang dialami tersebut.

“Menurut mereka, laluan tersebut sememangnya agak keras dan tidak digalakkan untuk melaluinya pada waktu lewat malam terutama berseorangan.

“Malah kata mereka, kejadian sama telah dialami oleh ramai pengguna jalan raya sebelum itu termasuk salah seorang daripada rakan saya itu.

“Ia mungkin disebabkan oleh roh sekumpulan mangsa kemalangan jalan raya yang tidak tenteram selepas terlibat dalam kemalangan maut ketika terlibat dalam lumba haram yang berlaku kira-kira 10 tahun yang lalu,” katanya.

Tambah Fairus, selepas kejadian tersebut, dia akan mengelak daripada menggunakan jalan pintas tersebut pada waktu malam terutama sekiranya bersorangan bagi mengelak kejadian seram tersebut berulang kembali.

Tiada ulasan: