"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan pengislaman wanita Sabah tak sah

Predeep Nambiar

GEORGE TOWN: Seorang wanita Katolik yang menukar agamanya kepada Islam empat tahun lalu diisytihar sebagai tidak sah oleh Mahkamah Tinggi.

Wanita berusia 21 tahun yang berasal dari Sabah itu memeluk agama Islam pada 2020 ketika berusia 17 tahun untuk berkahwin dengan teman lelakinya yang beragama Islam, tetapi mereka bercerai beberapa bulan kemudian.

Hakim Quay Chew Soon dalam keputusannya berkata, pertukaran agama itu bertentangan dengan undang-undang Islam Pulau Pinang yang memerlukan kebenaran kedua-dua ibu bapa sekiranya kanak-kanak bawah umur mahu memeluk agama Islam.

Quay berkata, kerana wanita itu masih di bawah umur ketika itu dan tiada kebenaran ibu bapa menyebabkan pertukaran agamanya tidak sah sejak awal.

“Beliau di bawah umur 18 tahun ketika menukar agama. Ini adalah penting. Saya membenarkan pengisytiharan yang dimohon,” katanya.

Quay juga mengisytiharkan pertukaran agama wanita itu yang didaftarkan di pendaftar mualaf Pulau Pinang pada 11 Jun 2020 sebagai tidak sah.

Beliau juga mengeluarkan arahan certiorari untuk membatalkan sijil pertukaran agama Islam dan semua dokumen berkaitan.

Quay juga mengarahkan maklumat wanita itu di dalam pendaftar muallaf Pulau Pinang dikeluarkan dan mengisytiharkan wanita itu kekal sebagai pengikut kepercayaan Katolik.

Tiada sebarang arahan berkaitan kos dikeluarkan mahkamah.

Menurut semakan kehakiman yang difailkan, pelayan berusia 21 tahun dari Keningau itu mendakwa beliau memeluk agama Islam di pejabat Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa di Jalan Argyll pada 11 Jun 2020, ketika berusia 17 tahun.

Ibu bapa wanita itu, petani di Keningau, memfailkan afidavit menegaskan bahawa anak mereka mengamalkan ajaran Katolik dan dibaptiskan di Gereja St Francis Xavier di Keningau pada 2005. Katanya, mereka tidak pernah memberi kebenaran kepada anak mereka untuk memeluk Islam.

Wanita itu menamakan Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan pendaftar muallaf Pulau Pinang sebagai responden dalam semakan kehakiman itu.

Dia diwakili peguam Shamsher Singh Thind dan J Gunamalar manakala MAINPP diwakili Abd Daud Abd Rahim dan Dayang Roziekah Ussin.

Pendaftar mualaf Pulau Pinang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Naizatul Zima Tajudin dan Charanjit Mahinder Singh.

Tiada ulasan: