"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PM syukur Nadir, keluarga bersatu semula

Bernama
Free Malaysia Today
Free Malaysia Today
Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman (kanan) berkata Anwar Ibrahim adalah individu penting yang memainkan peranan utama dalam misi membawa keluar keluarganya dari Gaza. (Gambar Instagram)
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan kesyukurannya kerana Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dapat bersatu semula dengan keluarganya yang berjaya dibawa keluar dari Gaza.

Anwar dalam hantarannya di Facebook berkata, beliau turut menyatakan penghargaan kepada Presiden Mesir Abdel Fattah Al Sisi dan kerajaan Mesir atas kerjasama diberikan, dalam membawa keluarga Nadir keluar dari kawasan bergolak itu.

Terdahulu, Nadir dalam catatannya berkata Anwar merupakan individu penting, yang memainkan peranan utama dalam misi membawa keluar keluarganya dari Gaza, saat wilayah Palestin itu diserang tentera Israel.

Perkara itu dikongsikan Nadir dalam catatan “183 Hari Yang Panjang” menerusi hantaran di akaun Facebook serta Instragramnya, malam ini.

Nadir berkata, sehari sebelum Aidilfitri, beliau dihubungi Setiausaha Politik Perdana Menteri Farhan Fauzi, yang memintanya datang ke satu lokasi khas selain membenarkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Ahmad Sani Abdul Alim Araby, untuk turut sama ke lokasi itu.

“Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam ‘movie’.

“Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan,” kata Nadir.

Beliau menyifatkan misi membawa keluarganya dari Gaza itu sebagai “misi gila”, kerana bukan mudah untuk membawa keluar keluarganya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus di Gaza, selain ketegangan di sempadan yang berlanjutan.

“Namun secara senyap pemimpin negara (Anwar) menghubungi pihak sana. Ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain,” katanya.

Nadir juga berkata, proses misi berkenaan berjalan cepat, teratur dan lancar, walaupun dipenuhi dengan 1,001 cabaran tersirat.

“Kisahnya akan keluar satu demi satu, tetapi tak semua saya berhak untuk kongsikan. Tetapi watak utama dalam ‘misi gila’ ini ialah perdana menteri kita Anwar Ibrahim sendiri!,” katanya yang turut berharap rakyat Malaysia terus bersolidariti membela nasib Palestin.

“Untuk PMX (Anwar), PMO (Pejabat Perdana Menteri), (Dr) Sani dan semua pihak yang menjayakan usaha ini sama ada secara langsung mahupun mendoakan, kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga.

“Semoga Allah sahaja membalas jasa kalian semua, amin,” luahnya mengakhiri catatannya.

Semalam, beliau dilapor berkata bahawa situasi getir dihadapi anaknya yang mengalami komplikasi pernafasan dan terpaksa dikejarkan beberapa kali ke hospital di tengah malam, mendorong beliau untuk mengambil keputusan membawa keluarganya keluar dari Gaza.

Tiada ulasan: