"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Dua anggota polis ditahan, positif dadah

HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Dua anggota polis ditahan kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah menerusi Ops Tapis Bersepadu dan Ops Bersepadu Sempadan bermula 1 April hingga Selasa.

Ketua Polis Negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kedua-dua anggota merupakan 1,072 individu yang ditahan menerusi operasi tersebut.

"Kita tahan kedua-dua mereka ini pada 4 dan 5 April menerusi operasi berasingan.

"Serbuan pertama pada 4 April, kita telah tahan suspek di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.

"Suspek ditahan pada jam 10.30 malam dan saringan mendapati anggota berusia 36 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, pada 5 April, pihaknya telah menahan seorang lagi anggota polis di hadapan sebuah rumah di Kampung Tanjung Baru, Mukim Rahmat, Lubok Setol, Rantau Panjang.

Katanya, turut ditahan dua lagi lelaki dan pemeriksaan di kawasan serbuan telah membawa kepada penemuan pil yaba seberat 8.003 gram.

Muhamad Zaki memberitahu, pemeriksaan ke atas sebuah motosikal jenis Honda RS milik salah seorang daripada suspek telah menjumpai 42.08 gram pil yaba.

Ujar beliau, saringan air kencing yang dijalankan ke atas kesemua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Salah seorang daripada suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

"Sepanjang operasi ini juga, kita turut menahan dua lagi penjawat awam yang terlibat dengan dadah masing-masing di Kampung Berangan Pondok, Tumpat dan Kampung Loak, Bekelam, Bachok," katanya.

Tiada ulasan: