"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PMX rai Tun Musa Hitam

Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my
Anwar meraikan Musa yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-90, hari ini. - Foto Facebook
Anwar meraikan Musa yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-90, hari ini. - Foto Facebook
JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan negarawan, Tun Musa Hitam, yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-90, hari ini.

Musa yang dilahirkan pada 18 April 1934 ialah Timbalan Perdana Menteri kelima negara dari 1981 hingga 1986 di bawah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada jam 12.10 tengah hari, sebelum mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor di Iskandar Puteri, di sini.

Anwar hadir ke jamuan makan tengah hari, yang turut meraikan ulang tahun, Musa yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan kepemimpinan negeri.

Anwar berkata, Musa ialah tokoh pemimpinan berprinsip dengan integriti yang sangat dihormati di negara ini.

"Menyambut dan meraikan tokoh dan juga negarawan Tun Musa Hitam bersama isteri hari ini di Johor Bahru. Tun Musa menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-90 hari ini. Alhamdulillah, orangnya masih bertokoh dan segak.

"Menghimbau sejarah, Tun Musa adalah mantan Timbalan Perdana Menteri yang juga sosok yang teguh dengan prinsip dan integriti, selain menjadi watak yang gigih meneguh perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

"Saya ucapkan selamat ulang tahun kelahiran buat Tun Musa Hitam. Semoga Tun terus sihat dan terus memainkan peranan menyemarak perpaduan dalam kalangan rakyat," katanya dalam muat naik di Facebook, hari ini.

Anwar dijadual menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 bersama Perdana Menteri di Angsana Johor Bahru Mall, bermula jam 5 petang hingga 7 malam ini.

Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 bersama Perdana Meteri diadakan di tujuh negeri bermula di Johor, hari ini.

Sekretariat majlis sambutan itu berkata, enam lagi Majlis Sambutan Aidilfitri 2024 dirancang diadakan di Sabah pada 20 April, diikuti Melaka (22 April), Kelantan (2 Mei), Kedah (4 Mei), Pulau Pinang (5 Mei) dan berakhir di Terengganu pada 9 Mei.

Tiada ulasan: