"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Polis lepas lima das tembakan amaran kereta lari sekatan polis

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
KERETA Proton Perdana yang ditahan polis kerana dalam dipercayai membawa Pati. FOTO Ihsan Polis
KERETA Proton Perdana yang ditahan polis kerana dalam dipercayai membawa Pati. FOTO Ihsan Polis
Baling: Polis terpaksa melepaskan lima das tembakan amaran terhadap sebuah kereta yang dinaiki enam individu termasuk tiga wanita yang memecut laju ketika pemeriksaan polis dalam sekatan jalan raya di Sungai Lebey, Gerik, Perak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku ketika anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik menerima maklumat daripada anggota bertugas di lokasi kejadian pada 4 pagi yang memaklumkan sebuah kereta jenis Proton Perdana dalam keadaan mencurigakan dan memecut laju ketika melalui sekatan polis.

Beliau berkata, berikutan itu anggota peronda MPV Gerik kemudian menjalankan 'Op Kesan' di kawasan sekitar lokasi terbabit dan menemui kenderaan itu di sebuah stesen minyak di Kuala Rui, Gerik.

"Ketika hendak diperiksa, pemandu kereta terus memecut laju sehingga memasuki daerah Baling.

"Berikutan itu, anggota MPV polis terbabit meminta bantuan peronda MPV Baling.

"Kenderaan yang dipandu suspek dalam keadaan merbahaya dan boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya dari arah bertentangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, bagi mengelakkan kereta suspek melanggar kenderaan lain, anggota polis MPV Gerik memberi amaran melalui alat pembesar suara kenderaan sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun, katanya, pemandu kereta enggan memberhentikan kenderaan menyebabkan anggota polis peronda terpaksa melepaskan tembakan amaran ke arah tayar kereta suspek.

"Lima das tembakan dilepaskan yang mana dua daripadanya terkena bahagian bonet kereta manakala tiga lagi tersasar.

"Namun kenderaan suspek masih memecut laju sehingga terbabas di atas Jambatan Kuala Pegang, dekat sini," katanya.

Shamsudin berkata, dua daripada suspek yang dipercayai pemandu dan penumpang hadapan kereta berjaya melarikan diri di bawah jambatan sebelum menghilangkan diri.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan suspek menemui seorang lelaki dan tiga wanita warga asing berusia antara 23 hingga 39 tahun.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua mereka tidak mempunyai dokumen lengkap atau dokumen perjalanan yang sah.

"Kesemua tangkapan serta kereta terbabit dirampas dan dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling untuk siasatan lanjut.

"Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini." katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) serta Seksyen 6(1) 1959/63 yang disiasat oleh IPD Gerik.

Bagaimanapun, seorang daripada suspek iaitu warga tempatan berusia 30-an yang melarikan diri berjaya ditahan pada 3 petang hari ini.

Shamsudin berkata, seorang lelaki suspek dipercayai masih bebas.

Katanya, pihaknya juga akan menyiasat tembakan yang dilepaskan anggota polis terbabit sama ada mengikut prosedur yang ditetapkan sewaktu tindakan dilakukan.

"Sehubungan itu pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman dan kredibiliti mana-mana pihak termasuk siasatan yang masih dijalankan," katanya.

Tiada ulasan: