"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Protes pengundi India mungkin tak ‘tumbangkan’ PH dalam PRK KKB

Chia Wan Rou

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpendapat sebarang tindakan protes daripada pengundi India tidak akan membawa kesan yang besar sehingga mendorong kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada PRK Kuala Kubu Baharu bulan depan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata komuniti India yang mewakili 18% pengundi boleh memilih untuk tidak keluar mengundi atau beralih sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN) sebagai “balasan” kemarahan mereka sejak PRU15.

“Hakikatnya ketidakpuasan hati itu masih ada dan sudah sampai di kemuncaknya, mungkin beri sedikit masalah kepada calon PH, namun tidak sampai memenangkan PN.

“Pengundi India belum sampai ke peringkat ‘kingmaker’ di kawasan DUN Kuala Kubu Baharu,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, ini kerana sokongan Cina yang mewakili 30% pengundi di kawasan itu mungkin masih utuh kepada PH selain ditambah sedikit undi ahli Umno.

Sementara itu, Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata gesaan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) untuk “memboikot” calon PH tidak mampu memecah undi dan seterusnya menyebabkan kekalahan parti itu.

“Sesiapa yang datang meletak calon (PRK KKB) dilihat sebagai ugutan yang kuat kerana berpengaruh menjejaskan keputusan undian 50:50 bagi kerusi berkenaan. Ini kerana sebarang pecahan undi akan menyebabkan yang sepatutnya menang jadi kalah.

“Namun gesaan itu sekadar gesaan..tidak akan memberi impak yang besar sangat..Biarpun Urimai ‘turun padang’ sendiri belum tentu dapat menarik undi daripada PH.

“Dengan kata senang, PH menang atau kalah tak akan disebabkan Urimai,” katanya.

Semalam, pengasas Urimai P Ramasamy berkata parti itu hanya akan menasihati pengundi agar tidak menyokong calon DAP PH pada PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei depan ekoran rasa tidak puas hati atas layanan kerajaan perpaduan terhadap masyarakat India.

Bagaimanapun beliau menegaskan parti itu tidak menyekat pengundi terbabit dalam amalan demokrasi, malah boleh membuat keputusan tanpa pengaruh memandangkan tiada hubungan rasmi mahupun tidak rasmi dengan pembangkang, PN.

Tiada ulasan: