"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Banduan Pokok Sena mati selepas hukuman sebatan, NGO tuntut siasatan

Ili Aqilah

Suhakam mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kematian seorang banduan, yang didakwa berlaku selepas menjalani hukuman sebatan.

Suhakam ketika dihubungi mengesahkan laporan kematian lelaki yang ditahan di Penjara Pokok Sena, Kedah, itu telah dibuat semalam.

Menurut laporan yang dilihat Malaysiakini, keluarga banduan Zaidi Abd Hamid, dimaklumkan mengenai kematiannya pada 2 pagi Isnin (7 Okt) lalu.

Zaidi, 49, pada mulanya dijatuhi hukuman mati pada 2015.

Bagaimanapun, selepas pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia, hukumannya disemak semula pada 10 Sept dan ditukar kepada penjara selama 33 berserta 12 sebatan.

Penafian lawatan

Laporan itu mendakwa Zaidi mula mengalami pendarahan teruk seminggu selepas hukuman sebatan itu, yang mencemaskan keluarganya, terutama memandangkan dia mempunyai penyakit darah tinggi.

“Isteri Zaidi meminta untuk melawatnya pada 6 Okt lalu tetapi ditolak. Keluarganya sangat risau dengan keadaan Zaidi dan telah meminta pihak penjara menghantarnya ke hospital untuk rawatan perubatan yang sewajarnya.

“Malangnya, pada 7 Oktober kira-kira jam 9 pagi, keluarganya menerima berita kematian Zaidi pada hari yang sama,” kata laporan itu.

Sijil kematian Zaidi, yang juga dilihat oleh Malaysiakini, menyenaraikan punca kematian sebagai "sekuel septik kepada trauma daya tumpul ke kawasan gluteal."

Darah tinggi

Dia dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

Malaysiakini juga dimaklumkan bahawa Zaidi telah menerima ubat untuk tekanan darah tinggi dan diabetes semasa di penjara.

Ketika dihubungi, Dobby Chew, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan advokasi Right to Life, menggesa supaya bedah siasat dan siasatan menyeluruh dijalankan untuk menentukan sama ada keadaan kesihatan Zaidi menyumbang kepada kematiannya.

"Bagaimanapun, ini tidak mengubah hakikat bahawa dengan syarat-syarat sedia ada ini, dia sepatutnya tidak berhadapan dengan hukuman rotan kerana ia akan sentiasa membawa risiko lebih bahaya daripada apa yang dibenarkan di sisi undang-undang," katanya.

Chew seterusnya mempersoalkan kualiti sumber penjagaan kesihatan dalam sistem penjara, dan mendakwa bahawa kelewatan memberi rawatan perubatan berikutan hukuman sebatan itu mungkin menyebabkan kematian Zaidi.

“Dia (Zaidi) dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan mempunyai peluang untuk menebus dan hidup di luar penjara. Namun, dia dan keluarganya dinafikan perkara ini.

"Jika kerajaan tidak dapat memberi jaminan kepada mereka yang dikenakan sebatan itu bahawa mereka tidak akan mengalami komplikasi lanjut selain tujuan untuk mendatangkan kesakitan, maka hukuman ini tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada Kanun Keseksaan kita," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Penjara Pokok Sena dan sedang menunggu ulasan mereka.

Tiada ulasan: