"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dirempuh SUV, 3 penuntut UiTM Dungun maut, seorang cedera parah

FMT Reporters

Salah satu motosikal ditunggang mangsa terseret hampir 60m dalam kejadian di Jalan Pantai Sura itu.
Tiga penuntut UiTM Dungun disahkan maut di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggangi dan dibonceng mereka dirempuh sebuah Honda CRV di Jalan Pantai Sura, Dungun, malam ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut manakala seorang lagi parah setelah dirempuh oleh sebuah kenderaan di jalan berhadapan kampus itu.

Nahas membabitkan dua motosikal, yang dinaiki penuntut-penuntut tersebut, dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu seorang wanita.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Sharizal Shamsudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.26 malam dan 10 anggota kemudian digerakkan ke lokasi nahas di Jalan Pantai Sura.

Katanya, laporan awal mendapati nahas itu melibatkan sebuah Honda CRV dan motosikal jenis Yamaha LC135 dan Yamaha Y15 yang ditunggang mangsa berusia lingkungan 20-an.

“Kereta itu merempuh kedua-dua motosikal dari arah belakang ketika dalam perjalanan ke universiti. Satu daripada motosikal itu terseret hampir 60m.

“Kedua-dua penunggang dan pembonceng Yamaha LC135 maut manakala seorang yang menaiki Yamaha Y15 cedera dan seorang lagi meninggal dunia.

Semua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, disahkan petugas perubatan, katanya, lapor Bernama.

Sharizal berkata, pemandu wanita terbabit, yang menunjukkan tanda-tanda mempunyai masalah mental, difahamkan telah dibawa ke balai polis untuk dirakam keterangan.

Sementara itu, UiTM Cawangan Terengganu dalam kenyataan dikeluarkan malam ini mengesahkan nahas yang berlaku melibatkan empat penuntutnya.

Mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada Khairil Anwar Jamaludin, Muhammad Akmal Md Tukirin dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, manakala Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan cedera parah dan kini dirawat di Hospital Dungun.

“Pihak universiti berdukacita atas kejadian yang berlaku dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan semoga Allah permudahkan urusan keluarga mangsa, katanya menambah, pihak universiti turut menyediakan bantuan dan sokongan yang diperlukan keluarga mangsa.

Tiada ulasan: