"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

ASP, 6 polis disyaki terbabit peras ugut, cabul wanita ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pegawai polis berpangkat asisten superintendan (ASP) dan enam anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Cheras ditahan kerana disyaki terbabit kes pemerasan serta cabul semalam.

Polis turut menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes didakwa berlaku di sebuah kondominium di Cheras.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata seorang wanita 22 tahun membuat laporan 7 Okt lalu mendakwa diperas ugut untuk menyerahkan wang dan dicabul 1 Okt lalu.

Selepas menerima laporan mangsa, beliau berkata, polis menahan tiga lelaki, sebelum mereka direman tiga hari dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Susulan itu, kita menahan tujuh orang, iaitu seorang pegawai berpangkat ASP dan enam anggota, termasuk seorang anggota wanita berusia 30 hingga 50-an semalam, katanya menurut Harian Metro pada program Hari Sukan Negara Peringkat Kontinjen Kuala Lumpur.

Menurutnya, tujuh individu itu direman tiga hari hingga 14 Okt ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 dan 354 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, belum ada rampasan setakat ini dan pihaknya sedang menyiasat dakwaan wang dibayar melalui pemindahan dalam talian.

Katanya, polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan menyiasat sebab pengadu lewat membuat laporan.

Terdahulu, tular di Telegram dakwaan seorang wanita menjadi mangsa pemerasan dan cabul sekumpulan individu dalam serbuan di kondominium Cheras.

Wanita itu didakwa diugut sekumpulan anggota polis sebanyak RM150,000 yang dikurangkan kepada RM90,000 selepas menemui dadah dalam pemilikannya.

Mangsa dibebaskan selepas seorang lelaki membantu membayar RM10,000 dan perlu membuat bayaran semula secara berkala dengan kadar faedah.

Tiada ulasan: