"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penduduk terkejut rumah ‘ditelan’ Sungai Ketil

NORLIA RAMLI
HAMINAH (dua dari kiri) melihat sebahagian rumahnya yang runtuh akibat hakisan tebing Sungai Ketil di Tanjung Pari di Baling baru-baru ini.
BALING – Seorang mangsa banjir terkejut apabila bilik tidur dan dapur rumah kakaknya roboh ‘ditelan’ Sungai Ketil dalam banjir kilat di Kampung Batu 60, Tanjung Pari, baru-baru ini.

Khatijah Ngah, 59, berkata, rumah kakak sulungnya, Haminah Ngah, 66, berada di tebing Sungai Ketil yang jaraknya kira-kira dua meter sahaja.

“Dua kali banjir yang berlaku sebelum ini telah menghakis tebing sungai di tepi rumah kakak. Hakisan itu berlaku sedikit demi sedikit apabila air sungai deras dan hujan lebat turun setiap hari.

“Ketika banjir pada 8 Oktober lalu, saya dan anak-anak serta cucu berpindah ke rumah jiran di seberang jalan, kemudian dalam pukul 7 pagi saya pulang ke rumah setelah banjir surut,” kata­nya di sini semalam.

Katanya, sebelum kejadian runtuhan itu, dia melihat tiang rumah kakaknya telah tergantung dan tebing sungai telah terhakis sedikit demi sedikit.

“Tiba-tiba sebahagian rumah terus runtuh ke dalam sungai. Saya tidak berani masuk ke dalam rumah itu untuk menyelamatkan barang-barang menyebabkan ada antaranya telah hanyut bersama air sungai yang deras.

“Sebelum kejadian itu, hujan lebat sekitar pukul 8 malam tanpa henti menyebabkan paras air sungai naik mendadak. Kemudian kira-kira pukul 2 pagi air sungai mula menerpa masuk ke dalam rumahnya hingga ke paras pinggang,” katanya.

Ujarnya, dia dan anak-anak cuba mengemas dan menyelamat barang-barang yang hampir ditenggelami air tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana air menerpa masuk terlalu laju.

“Saya mohon pihak berwajib lakukan sesuatu untuk mengelakkan tebing sungai itu terus runtuh, saya bimbang jika tidak diambil tindakan segera, hakisan ini akan merebak ke kawasan rumah saya dan sebuah lagi rumah berhampiran yang jaraknya kira-kira 20 meter,” katanya.

Sementara itu, anak Haminah, Mohd. Nazri Che Neh, 48, berkata, rumah ibunya itu telah di­sewakan kepada sepasang suami isteri yang bekerja di kawasan pembalakan.

“Nasib baik mereka tiada di rumah ketika kejadian kerana masih berada kawasan pembalakan. Sebelum kejadian, seminggu lalu air sungai telah menghakis tebing rumah, hanya lebih kurang dua meter dari tiang rumah dan dua batang pokok yang agak besar yang menahan tebing sungai telah tumbang.

“Mungkin sebab itu, air su­ngai yang deras dan banyak telah menyebabkan hakisan tebing menjadi semakin serius,” katanya.

Katanya, punca banjir kali ini bermula di Kampung Teluk Rambung apabila berlakunya kepala air yang agak serius dan terus merebak ke kawasan itu.

Ujarnya, mungkin dua pokok yang terbalik merentangi sungai ini telah menyebabkan hakisan berlaku. -KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: