"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Air kumbahan limpahi hospital!

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
KEADAAN Hospital Nasser di Khan Younis, selatan Gaza yang mengalami kerosakan dan ditenggelami air kumbahan susulan serangan tentera Israel. FOTO Reuters
KEADAAN Hospital Nasser di Khan Younis, selatan Gaza yang mengalami kerosakan dan ditenggelami air kumbahan susulan serangan tentera Israel. FOTO Reuters
Kuala Lumpur: Bau busuk yang menusuk hidung menyelubungi setiap sudut Hospital Nasser di Khan Younis, selatan Gaza.

Lantai wad, bilik rawatan dan lorong laluan dipenuhi air kumbahan hitam pekat selepas saluran najis bawah tanah dimusnahkan melalui serangan terancang tentera Israel.

Pesakit yang tenat terpaksa berbaring di atas tilam nipis yang dibentang di lantai berair sambil lalat berterbangan di sekitar luka terbuka mereka.

"Kami bukan lagi bercakap tentang rawatan, kami bercakap tentang bertahan hidup," kata seorang jururawat sambil menahan sebak.

"Bau ini membuat kami mahu muntah, tetapi pesakit tidak ada pilihan. Mereka perlu tinggal di sini walaupun setiap saat meningkatkan risiko jangkitan," katanya.

Difahamkan limpahan air kumbahan dan banjir yang menenggelamkan bahagian dalam Hospital Nasser berlaku sejak kelmarin selepas kawasan sekitar pusat perubatan itu menjadi sasaran roket pesawat pejuang Israel.

Sementara itu Wakil Muslim Care Malaysia (MCM) di Gaza, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar berkata, pasukan penyelenggaraan tidak dibenarkan masuk untuk membaiki kerosakan saluran kumbahan hospital susulan sekatan ketat tentera Israel.

"Keadaan itu menyebabkan air kumbahan terus melimpah, menjadikan hospital yang sebelum ini menjadi pusat rujukan utama pesakit bertukar kepada zon wabak," katanya.

Menurutnya, separuh hospital di wilayah itu lumpuh sepenuhnya, manakala yang masih beroperasi bergelut dengan kekurangan ubat-ubatan, peralatan pembedahan dan bekalan air bersih.

"Sekatan sepenuhnya tentera Israel terhadap bekalan kemanusiaan sejak Mac lalu turut menyebabkan doktor dan jururawat sendiri menderita kekurangan zat makanan.

"Doktor dan jururawat terpaksa bekerja lebih 12 jam sehari susulan peningkatan mangsa serangan bom dan keganasan tentera Israel.

"Jumlah pesakit rakyat Palestin memuncak ke tahap tertinggi sejak Oktober 2023 menyebabkan unit kecemasan penuh sesak," katanya.

Menurutnya, ada mangsa kanak-kanak yang boleh dirawat namun meninggal dunia akibat kekurangan ubat-ubatan dan peralatan.

"Tanpa gencatan senjata segera dan akses penuh bantuan kemanusiaan, lebih ramai nyawa rakyat Palestin di Gaza akan melayang. Bukan kerana peluru atau bom Israel, tetapi kerana dunia membiarkan mereka mati perlahan-lahan dalam hospital yang dipenuhi air kumbahan.

"Setakat hari ini, seramai lebih 64,230 penduduk Gaza terkorban dan angka itu terus meningkat setiap hari," katanya.

Tiada ulasan: