Buletin TV3

Foto kredit Straits Times
SINGAPURA: Mahkamah di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat hari ke atas seorang wanita yang juga bekas guru prasekolah selepas didapati bersalah menendang seorang murid berusia empat tahun hingga menyebabkan lebam pada kakinya.
Ia selepas tertuduh Alamelu Paramaguru, 57, mengaku bersalah pada Julai lalu atas pertuduhan mendera kanak-kanak di bawah jagaannya itu.
Memetik laporan Straits Times, kejadian berlaku pada 2 April 2024 ketika tertuduh sedang mengendalikan murid-murid untuk waktu tidur tengah hari.
Alamelu yang sedang mengalihkan katil lipat ke tepi bilik darjah merasakan dirinya hampir tersadung oleh mangsa yang duduk di lantai.
Timbalan Pendakwa Raya Timotheus Koh memaklumkan, tertuduh kemudian menendang dengan kuat bahagian betis kanan mangsa sambil memarahinya.
Mangsa yang kesakitan kemudian mengadu kepada ibunya ketika dijemput pulang pada petang hari sama.
Ibu kanak-kanak itu mendapati terdapat kesan lebam pada kaki anaknya sebelum membuat laporan polis dan membawanya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak.
Pada peringkat awal siasatan, tertuduh tidak mengakui perbuatannya dengan mendakwa tidak mengingati kejadian itu, malah mengatakan kakinya mungkin secara tidak sedar terkena mangsa.
Namun, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi menunjukkan sebaliknya.
Hakim Daerah Koo Zhi Xuan ketika menjatuhkan hukuman berkata, tertuduh tidak mengaku pada awalnya dan menegaskan bahawa beliau bukanlah orang asing kepada mangsa.
Bagaimanapun Hakim berkata, beliau sedar Alamelu menghadapi kesukaran dengan persekitaran ketika menguruskan kelas yang terdiri daripada kira-kira 15 kanak-kanak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan