Fazli Ahmad

Dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima rasuah RM400,000 untuk membawa masuk warga asing tiba di KLIA tanpa melalui prosedur ditetapkan. FOTO NSTP
KUANTAN: Dua pegawai imigresen direman tujuh hari bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima rasuah RM400,000 untuk membawa masuk warga asing tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa melalui prosedur ditetapkan.
Majistret Wahidah Zainal Abidin membenarkan kedua-dua suspek direman hingga 26 Ogos ini selepas meneliti permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini, hari ini.
Sumber memaklumkan, dua suspek lelaki berusia 40-an terbabit ditahan serentak di Nilai, Negeri Sembilan dan Johor Bahru, Johor, Isnin lalu.
Menurutnya, suspek ditahan susulan operasi besar-besaran dilancarkan SPRM bagi membanteras sindiket ‘counter setting’ di KLIA1 dan KLIA2.
“Suspek dipercayai meraih wang rasuah ratusan ribu ringgit bagi melepaskan kumpulan warga asing tiba di KLIA tanpa melalui prosedur ditetapkan.
“Mereka dipercayai melakukan kegiatan itu antara 2022 dan 2024.
“Susulan penahanan dua pegawai terbabit, SPRM turut merampas sejumlah wang tunai dan membeku beberapa akaun bank mereka,” katanya.
Sumber berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan dan tidak menolak kemungkinan tangkapan susulan membabitkan rangkaian sindiket berkenaan akan dilakukan dalam tempoh terdekat.
Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua pegawai imigresen terbabit.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan