Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

DUDA dicekup khalwat kali kedua di rumah janda anak satu. FOTO ihsan JAINJ
Tangkak: Lelaki berstatus duda dan janda anak satu yang pernah didenda kerana berkhalwat tiga bulan lalu, sekali lagi ditahan selepas melakukan perkara sama di sebuah rumah dalam daerah ini, semalam.
Pasangan masing-masing berusia 30-an itu dicekup dalam serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), sekitar 12.30 tengah malam.
Menurut JAINJ, sebelum tangkapan dibuat, pihaknya mendapati teman lelaki kepada janda itu meletakkan kereta bawah pokok dengan kedudukan 200 meter dari rumah kekasihnya.
"Lelaki itu kemudiannya memasuki rumah wanita terbabit dan penguat kuasa JAINJ segera bertindak sebaik menerima aduan berkaitan tindakan pasangan itu.
"Sebaik pintu dibuka, pasangan ini tidak bercakap banyak kerana mereka mengenali penguat kuasa sama pernah menangkap mereka sebelum ini.
"Ini tangkapan kali kedua ke atas pasangan berkenaan selepas tiga bulan lalu mereka ditahan di rumah sama. Kali ini mereka merancang untuk bernikah dua bulan lagi dan proses permohonan sudah dibuat," katanya dalam kenyataan.
Katanya, penguat kuasa JAINJ pernah menasihatkan pasangan ini agar mereka bernikah secepat mungkin ketika tangkapan pertama.
"Ketika kesalahan pertama dilakukan, pasangan ini didenda RM2,800 seorang namun hukuman ini belum cukup untuk menginsafkan mereka.
"Penguat kuasa JAINJ pernah menasihatkan mereka ketika tangkapan pertama. Bagi kes tangkapan kedua ini, Mahkamah Syariah Tangkak membenarkan ikat jamin RM2,000 sementara menunggu tarikh perbicaraan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan