"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja 16 tahun antara 2 maut kereta terjunam gaung

Nor Azizah Mokhtar
am@hmetro.com.my
KEADAAN kenderaan yang remuk selepas terjunam ke dalam gaung di Kilometer 301.2 Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban, awal pagi tadi. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN kenderaan yang remuk selepas terjunam ke dalam gaung di Kilometer 301.2 Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban, awal pagi tadi. FOTO Ihsan Polis
Kuala Lumpur: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun antara dua mangsa yang maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kilometer 301.2 Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban, arah ke ibu negara, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 1.45 pagi apabila kereta dinaiki empat individu itu hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi jalan.

Menurutnya, akibat kemalangan itu pemandu, iaitu seorang lelaki tempatan pekerja swasta berusia 23 tahun dan penumpang remaja lelaki berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Dua lagi penumpang yang masing-masing lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an mengalami kecederaan pada kaki dan tangan.

"Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika disabitkan kesalahan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Narolhisyam Endi, di talian 019-5897115 bagi membantu siasatan.

"Pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Tiada ulasan: