Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

Jais Abdul Karim
Kuala Lumpur: Pembongkaran penyeludupan diesel bernilai RM2.33 bilion baru-baru ini dianggap satu bentuk pengkhianatan negara yang dilakukan secara sistemik dan terancang.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim menegaskan kes itu bukan sekadar aktiviti jenayah ekonomi biasa, tetapi bukti jelas wujudnya kelompangan besar dalam sistem kawalan subsidi negara yang kini menjadi 'lubuk emas' bagi sindiket antarabangsa.
"Ini adalah aset milik rakyat. Skala rampasan diesel ini terlalu besar hingga mencecah angka bilion ringgit.
"Persoalan paling utama, sudah berapa lama sindiket ini beroperasi sebelum ditumpaskan? Jika sekali tangkap nilainya sudah RM2.33 bilion, bayangkan berapa banyak lagi kekayaan rakyat Malaysia yang 'bocor' ke luar negara sebelum ini," katanya kepada Harian Metro.
Beliau mengulas kejayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Pulau Pinang mematahkan cubaan pemindahan kira-kira 700,000 liter diesel secara haram membabitkan dua kapal tangki di perairan Bagan Ajam, Pulau Pinang, Ahad lalu.
Aktiviti haram itu membabitkan pemindahan minyak diesel Euro 5 dengan anggaran 700,000 liter manakala keseluruhan rampasan minyak dianggarkan mencecah 800,000 liter.
Seramai 22 kru turut ditahan membabitkan warga Malaysia, Myanmar, Rusia, Filipina dan Indonesia di atas kedua-dua kapal berkenaan.
Jais menjelaskan bahawa diesel Euro 5 yang berkualiti tinggi dan diberi subsidi oleh kerajaan adalah untuk kegunaan rakyat termasuk bagi kegunaan nelayan dan sektor logistik.
"Tetapi, minyak ini dimanipulasi melalui rantaian bekalan yang licin. Sindiket ini menggunakan lori tangki yang diubah suai, stor haram berhampiran pelabuhan dan melakukan operasi pemindahan Ship-to-Ship (STS) di tengah laut.
"Ini bukan kerja individu secara kecil-kecilan. Ini adalah kegagalan kawalan yang serius. Di mana titik kebocorannya? Siapa yang menutup mata dan siapa yang memberi perlindungan?" soal beliau.
Beliau berkata, apa yang paling dikesalkan pihak MCW adalah pembabitan warga tempatan dalam kegiatan haram itu bersama kru warga asing dari Rusia, Myanmar, Indonesia dan Filipina.
"Apabila rakyat Malaysia sendiri sanggup menjadi dalang kepada sindiket antarabangsa untuk menyeludup hak rakyat sendiri demi keuntungan peribadi, itu adalah pengkhianatan paling pedih," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan