"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi ingatkan kita semua akan jadi Cik Minah

Malaysiakini 

Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mengingatkan orang ramai berkaitan pembentukan Malaysia sebagai negara tua menjelang 2048.

Katanya, 22 tahun dari sekarang, seramai 14 peratus penduduk akan melepasi umur 65 tahun dan tidak bekerja, sekali gus memberi kesan besar terhadap ekonomi, kebajikan dan kelangsungan negara, terutamanya kehidupan rakyat.

Bekas timbalan presiden PKR itu memberi contoh berkaitan seorang penduduk di kawasan parlimennya yang dipanggil “Cik Minah”, warga emas 70 tahun yang tinggal sendirian dan tiada pendapatan.

“Dulu masa membesarkan anak, Cik Minah jual nasi lemak. Sekarang dah tua, anak-anak membantu sedikit sebanyak tetapi anak-anak pun hidup susah juga. 

“Duit yang anak-anak bagi itulah Cik Minah nak bayar sewa, elektrik, air dan sebagainya. Duit untuk makan memang sangat kesempitan,” katanya.

Ogos tahun lalu, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata Malaysia berada dalam fasa peralihan daripada negara menua kepada negara tua menjelang tahun 2048, apabila 14 peratus (5.88 juta) penduduk berumur 65 tahun ke atas.

Jumlah itu lebih dua kali ganda berbanding 2.7 juta penduduk berusia 65 tahun ke atas pada 2025.

Perubahan demografi itu dijangka memberi kesan besar terhadap sistem persaraan, kedudukan fiskal serta persediaan jangka panjang bagi memastikan kesejahteraan rakyat pada usia tua.

Menulis di media sosial, Rafizi berkata walaupun tiada pendapatan, Cik Minah tidak pernah mendapat bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah atau Sumbangan Asas Rahmah (Sara).

“Kami tolong daftarkan mana yang patut, dan bantu mana yang patut.

“Tapi cabaran warga emas seperti ini bukan unik kepada Cik Minah saja. Ada beratus ribu lagi warga emas dalam keadaan ini dan menjelang 2048, angka ini mencecah jutaan orang.

“Kita akan jadi macam Cik Minah dalam 20 tahun dari sekarang,” katanya.

Rafizi berkata keluhan itu harus diteliti supaya negara dapat digerakkan ke arah satu sistem dan pendekatan baru yang bersiap sedia menghadapi negara tua dalam 20 tahun akan datang.

Tiada ulasan: