"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid Hamidi belum sedia ‘peluk’ Pas

Masih simpan ‘DNA khianat! : Zahid belum sedia ‘peluk’ Pas
Harapandaily

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa peluang kerjasama politik antara Umno dan Pas masih sukar direalisasikan selagi parti Islam itu didakwa tidak berubah daripada sikap lama yang dianggap “mengkhianati” rakan politik.

Mengulas pelawaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang agar Umno kembali bekerjasama dengan Pas, Zahid berkata pengalaman lalu dalam Muafakat Nasional menjadi sebab utama beliau sukar mempercayai semula parti itu.

“Dulu saya yang memulakan Muafakat Nasional, tetapi ‘DNA’ mereka adalah khianat,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, sebarang kemungkinan kerjasama baharu hanya boleh dipertimbangkan sekiranya Pas benar-benar meninggalkan sikap tersebut.

“Kalau mereka menghilangkan rasa khianat dalam hati, mungkin kita boleh pertimbangkan.

“Tetapi kalau khianat itu masih terus ada, saya rasa elok kita lupakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Nancy Shukri.

Kenyataan Zahid itu hadir ketika hubungan Umno dan Pas kembali menjadi perhatian selepas Abdul Hadi mendakwa Umno tersilap memilih rakan politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Presiden Pas itu sebelum ini beberapa kali menggesa Umno kembali bekerjasama dengan Pas atas alasan penyatuan Melayu-Islam perlu diperkukuh bagi menghadapi landskap politik semasa.

Namun hubungan kedua-dua parti kekal dingin sejak keruntuhan Muafakat Nasional selepas Pas memilih bekerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Langkah Pas ketika itu dianggap Umno sebagai pengkhianatan terhadap persefahaman asal Muafakat Nasional yang dilancarkan pada 2019 bagi menyatukan dua parti terbesar Melayu tersebut.

Sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15, kepimpinan Umno dilihat semakin konsisten mempertahankan kerjasama dengan Pakatan Harapan walaupun terus diasak Pas dan PN yang cuba menarik semula sokongan akar umbi Melayu terhadap parti itu.

Tiada ulasan: