"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua rentung kereta terbakar di Lebuhraya DUKE

Muhaamad Hafis Nawawi
Anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah kereta yang terbakar di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) susur keluar Jalan Kuching. – Foto ihsan Bomba
KUALA LUMPUR: Dua individu rentung, manakala seorang lagi terselamat selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) susur keluar Jalan Kuching, awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.20 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang serta BBP Sri Hartamas ke lokasi.

Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur, Mohd Fadzlil Jamaludin berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah kereta terbabas sebelum terbakar.

“Seramai tiga mangsa terbabit dalam kejadian itu. Dua mangsa rentung akibat tersepit dalam kereta yang terbakar, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan.

“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan kereta itu musnah 100 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang terselamat diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Punca kebakaran dan kemalangan masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM Kuala Lumpur bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Musuh negara: ‘Taiko’ seludup migran dicekup ketika mahu keluar negara

NORLIDA AKMAR IDROS
SEORANG lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, semalam.
BUKIT KAYU HITAM – Seorang lagi lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran warga China dicekup ketika cuba keluar dari negara ini di sini hari ini.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Menurut JIM Kedah, penahanan tersebut adalah hasil rentetan siasatan terperinci yang dijalankan berhubung kes penyeludupan seorang warga China melalui ICQS Bukit Kayu Hitam pada 30 Mac lalu.

“Hasil penelitian rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), risikan dan siasatan lanjut berjaya mengenal pasti penglibatan dua warganegara Malaysia yang disyaki bertindak sebagai penyeludup migran.

“Susulan itu, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Kedah telah mengambil tindakan memasukkan kedua-dua suspek ke dalam Senarai Syak Jabatan bagi tujuan pengesanan dan tindakan penguatkuasaan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, hasil tindakan tersebut, suspek pertama berjaya dikesan ketika memasuki negara melalui ICQS Padang Besar pada 24 April lalu sebelum ditahan dan diserahkan kepada Unit Penguat Kuasa ICQS Bukit Kayu Hitam.

“Penahanan suspek kedua pada semalam melengkapkan kejayaan pengesanan dan penahanan kedua-dua individu yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, suspek kedua direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” katanya. – KOSMO! ONLINE

PRN Johor: Senarai calon Bersama

Berikut senarai calon Bersama:

N14 Bukit Naning – Iskandar Md Alias
N29 Mahkota – Abd Hamid Ali
N40 Tiram – Harith Fakhrudin Abd Malek
N41 Puteri Wangsa – Nicholas Paul Vincent
N42 Johor Jaya – Lau Yi Leong
N43 Permas – Dr Zamil Najwah
N44 Larkin – Norsinah Abu
N45 Stulang – Stanley Tan
N46 Perling – Boo Wei Han
N47 Kempas – Salamahafifi Mohd Yusnaieny
N48 Skudai – Eugene Chua Meng Chong
N49 Kota Iskandar – Sahrudin Omar
N50 Bukit Permai – Muhammad Aidil Riduan Mohd Yusof
N51 Bukit Batu – Tamili Gopalakrishnan
N52 Senai – Tew Chian How

23 jam Rolex, 15 barang kemas adik ipar bekas PTD diisytihar harta kerajaan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sebanyak 23 jam tangan mewah jenama Rolex dan 15 barang kemas yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada adik ipar bekas panglima tentera darat (PTD), Muhammad Hafizuddeain Jantan, Nor Shahira Atirah Anuar @ Kamaruddin, hari ini secara rasmi menjadi harta kerajaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, berkata ia susulan selepas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rosli Ahmad memerintahkan supaya harta itu dilucut hak kepada kerajaan.

“Mahkamah telah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak harta itu, namun tiada pihak ketiga hadir ke mahkamah untuk menuntut harta tersebut,” katanya menurut Bernama selepas prosiding sebutan ditetapkan bagi kehadiran pihak ketiga.

Sementara itu, peguam Muhammad Kausar Mohd Khairi yang mewakili Nor Shahira Atirah mengesahkan perkara itu.

Pada prosiding sebelum ini, pihak SPRM memohon perintah mahkamah menyiarkan warta bagi memanggil mana-mana orang yang mempunyai kepentingan terhadap harta itu untuk hadir ke mahkamah, mengikut Seksyen 41(2) Akta SPRM 2009.

Pada 4 Mei lalu, pendakwa raya selaku pemohon memfailkan notis berkenaan terhadap Nor Shahira Atirah, memohon supaya 23 jam tangan mewah itu dan 15 barang kemas yang disita daripada responden dilucutkan hak kepada kerajaan.

Permohonan itu dibuat atas alasan pendakwa raya di bawah kuasa-kuasa yang diberi oleh Seksyen 41(1) Akta SPRM dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah berpuas hati bahawa harta alih yang disita oleh SPRM dilucutkan hak, iaitu tiada pendakwaan jenayah atas suatu kesalahan di bawah akta itu.

Dakwa pemohon, harta itu diperoleh hasil daripada atau berkaitan dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mana perginya penguatkuasa: Pendatang haram semakin merimaskan

Wartawan HM
am@hmetro.com.my
SEBUAH kedai etnik Rohingya di Batu 12, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat.
SEBUAH kedai etnik Rohingya di Batu 12, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat.
Hulu Langat: Kawasan Hulu Langat sepanjang laluan dari Batu 9, Cheras hingga ke Sungai Tekali dan Pangsun dikesan menjadi lokasi warga asing terutama Bangladesh, Aceh, Minangkabau, Pakistan, pelarian Rohingya menjalankan pelbagai kegiatan perniagaan hingga merimaskan lebih 60,000 penduduk kawasan itu.

Pelarian Rohingya ada yang menjalankan perniagaan kedai runcit bersaing dengan kedai Aceh, warga Pakistan membuka restoran dan bengkel kereta serta pasar raya dan perabot.

Warga Bangladesh pula mula menguasai bengkel membuat pagar rumah, aluminium tingkap, pintu pagar dan segala kerja berkaitan besi.

Warga Thailand yang menyalahguna guna Pas Lawatan Sosial (PLS) bekerja sebagai tukang masak atau pelayan serta akan pulang sebulan sekali untuk cop keluar dan masuk semula.

Melalui tinjauan dijalankan Harian Metro, semua perniagaan dijalankan tanpa ada rasa takut dikena tindakan pihak berkuasa termasuk Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Imigresen dan polis.

Ini kerana mereka yakin dengan kuasa wang yang dimiliki, penguat kuasa adalah dalam genggaman.

Pernah dulu dua kedai milik Rohingya dan kedai perabot terpakai Bangladesh disita MPKj, tetapi ia beroperasi semula semingga kemudian.

Budaya 'kawtim' boleh dilihat apabila pihak berkuasa akan singgah di kedai Bangladesh dan akan ada orang memberi serta menerima wang. Ini realiti dan ia diperhati serta sering dibincangkan orang tempatan ketika berbual di kedai kopi, surau atau masjid.

Penduduk, Abdul Halim Hashim, 47, yang tinggal di Kampung Sungai Serai berkata, kawasan itu mula didiami warga asing sejak 1990-an iaitu kemasukan warga Indonesia yang kini sudah bertapak dan ramai memiliki kad pengenalan merah.

Katanya, mereka masuk dengan bekerja sebagai tukang rumah atau kontrak.

"Lama-kelamaan komuniti itu mula menguasai ekonomi tempatan dengan membuka kedai dan warung makan," katanya yang mahu ketua kampung setiap kampung memantau kegiatan warga asing ini.

Seorang lagi penduduk, Rosinah Jalil, 56, berkata, kini pelarian Rohingya makin ramai selepas Covid-19.

"Mereka mula menyewa rumah penduduk tempatan yang kehilangan penyewa selepas kejadianbanjir besar melanda kawasan itu pada 2021.

"Warga Pakistan mula masuk pada 2023, mula buka restoran, pasar raya, bengkel kereta dan kedai perabot.

"Ada lima restoran atau kedai makan Pakistan, setiap malam akan kelihatan ramai warga itu berkumpul. Keadaan ini merimaskan penduduk, tetapi pihak berkuasa seolah-olah lepas tangan terutama MPkj," katanya.

Wayang orang politik: Hairan kenapa Pas masih bagi kerusi terbanyak walau tuduh Bersatu khianat?

SITI NUR ZAWANI
AMANAH menyatakan rasa hairan dengan tindakan Pas yang membenarkan Bersatu bertanding 16 kerusi di Johor di bawah Perikatan Nasional (PN), meskipun Pas sebelum ini mengemukakan pelbagai tuduhan serius terhadap rakan sekapalnya.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, ketika Pas mahu menamatkan kerjasama dengan Bersatu, pelbagai tuduhan dilemparkan antaranya mendakwa Bersatu mengkhianati Pas di Perlis, melanggar prinsip syariah dalam kerjasama politik dan tidak mempunyai kekuatan jentera yang sebenar.

Namun beliau hairan, mengapa Pas masih meminta ahli dan penyokong bekerja dan berkempen untuk memenangkan calon-calon Bersatu selepas semua tuduhan tersebut dilemparkan.

“Mengapa watikah calon-calon Bersatu masih ditandatangani oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas?

“Lebih pelik lagi, Pas diberikan 11 kerusi, MIPP diberikan 5 kerusi dan Parti Pejuang yang baru menyertai PN diberikan 1 kerusi. 

“Manakala Bersatu yang didakwa melanggar prinsip syariah dan merosakkan PN tetap menerima bahagian terbesar iaitu 16 kerusi.

“Ahli Pas dan rakyat Johor berhak bertanya adakah tuduhan Pas terhadap Bersatu benar-benar berasaskan prinsip? Atau sebenarnya ia hanya sebahagian daripada perebutan pengaruh dan kuasa dalam PN?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, jika Pas benar-benar yakin bahawa Bersatu telah mengkhianati perjuangan dan melanggar prinsip syariah, tindakan yang paling konsisten ialah menyingkirkan Bersatu daripada PN atau sekurang-kurangnya tidak memberikan laluan kepada mereka bertanding atas tiket gabungan tersebut.

Sebaliknya apa yang berlaku hari ini menunjukkan Pas masih bergantung kepada Bersatu untuk menghadapi pilihan raya, walaupun pada masa yang sama terus menuduh parti itu dengan pelbagai dakwaan yang berat.

Beliau mempersoal, bagaimana sebuah gabungan yang saling menuduh, saling menyalahkan dan saling meragui antara satu sama lain mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu mentadbir Johor dengan baik.

“Bagaimana sebuah gabungan yang gagal menyelesaikan krisis dalaman sendiri mahu menawarkan kestabilan kepada rakyat?

“Malangnya, apa yang sedang dipertontonkan oleh PN hari ini ialah gambaran sebuah gabungan yang semakin bercelaru, tidak sepakat dan gagal menjelaskan pendirian mereka sendiri kepada rakyat,” ujarnya.

Datuk disyaki ketua kongsi gelap diberkas

MOHD. FAHMI ISMAIL
Hussein menunjukkan barang rampasan pada sidang media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket dadah di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bergelar Datuk yang dipercayai mengetuai kumpulan kongsi gelap antara 291 individu diberkas dalam Op Gaurus yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Perak, Lembah Klang dan Johor, minggu lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia lingkungan 40-an itu disyaki menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah yang aktif di beberapa negeri berkenaan.

Menurutnya, operasi itu turut membongkar kegiatan sembilan ahli sindiket yang dipercayai memperoleh bekalan dadah secara pukal sebelum membungkus semula untuk diedarkan ke pusat-pusat hiburan.

“Sindiket ini dipercayai aktif beroperasi di sekitar Perak, Lembah Klang dan Johor sejak pertengahan tahun 2024,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk heroin, serbuk dan cecair MDMA, ketamin, pil ekstasi, pil Erimin 5 serta ganja dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM6.26 juta.

Selain dadah, katanya, polis turut menyita beberapa aset dipercayai hasil kegiatan sindiket, termasuk sebuah Nissan Sentra, Mazda, Maserati Ghibli, Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Mercedes-Benz C250, dua utas jam tangan Rolex serta wang tunai RM4,383.

“Kesemua individu yang ditahan berusia antara 19 hingga 74 tahun dan lima daripada mereka didapati positif pelbagai jenis dadah.

“Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tindakan pelucuthakan harta turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Juruukur sambilan mengaku tidak bersalah sebabkan 77 kucing mati, kebuluran

NURUL IZZATI ZAINI
Reo Jin, ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!
PETALING JAYA – Seorang juruukur sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kematian 41 ekor kucing dan membiarkan 36 ekor lagi dalam keadaan kebuluran.

Tertuduh, Lee Reo Jin, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa menyebabkan 36 ekor kucing hidup dalam keadaan yang boleh menyebabkan haiwan berkenaan mengalami kesakitan akibat kebuluran di sebuah unit pangsapuri di Subang Jaya pada Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Subseksyen 29(1)(p) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 maksimum atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Reo Jin sebagai pemilik kucing didakwa menyebabkan 41 ekor haiwan itu yang tidak berupaya untuk mati di lokasi dan tempoh yang sama.

Dia didakwa mengikut Subseksyen 29(1)(r) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang memperuntukkan hukuman sama iaitu denda antara RM20,000 hingga RM100,000 maksimum atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor Mohd. Sharif Sabran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd. Sharif menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan beserta seorang penjamin serta syarat tambahan pasport OKS perlu diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, OKS memohon agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan dirinya tidak mempunyai pendapatan yang tetap.

Hakim Noor Ruzilawati kemudiannya membenarkan wanita itu diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan, berserta seorang penjamin warganegara serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Makhamah menetapkan 7 Ogos depan bagi sebutan kes dan pelantikan peguam.

Terdahulu, muka depan Kosmo! melaporkan peng­huni sebuah pangsapuri di ­Subang Jaya, dikejutkan dengan penemuan sebanyak 41 bangkai kucing yang mereput dalam kediaman seorang wanita.

Lebih memilukan, 31 daripada bangkai haiwan itu ditemukan dalam keadaan berbungkus dengan plastik dan disimpan di dalam peti sejuk beku, manakala 10 lagi bangkai bersepah di ruang tamu dan sangkar.

Kesemua kucing malang itu dipercayai mati akibat tidak diberikan makanan secukupnya, manakala 36 ekor lain ditemukan masih hidup di dalam sangkar, tetapi dalam keadaan kurus dan tidak bermaya.

Kejadian itu terbongkar selepas sepasukan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor melakukan serbuan ke sebuah kediaman kira-kira pukul 4 petang, 13 Mac lalu susulan aduan orang ramai yang tidak tahan dengan bau busuk dari unit berkenaan.- KOSMO! ONLINE

Peneroka Felda antara ditahan korek bauksit hampir RM2 juta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bauksit seberat 10,000 tan bernilai hampir RM2 juta dirampas dalam serbuan di Felda Bukit Goh, Kuantan.

Sembilan warga asing termasuk peneroka Felda ditahan selepas disyaki melombong bauksit secara haram di kawasan yang asalnya dipajak kepada sebuah syarikat bagi kerja-kerja pembersihan dan tanam semula kelapa sawit.

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara, Ahmad Radzi Hussain, berkata dalam serbuan pada 11.30 pagi semalam, tiga lori tanah dan dua jengkaut turut disita.

“Semua individu gagal mengemukakan sebarang kelulusan atau dokumen aktiviti yang sedang dilakukan,”katanya menurut Kosmo.

Kes disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri 2001 dan Akta Imigresen 1959.

Ahmad Radzi berkata, semua tanah yang telah disiap dikorek dipercayai akan dihantar ke kilang memproses tanah di Gebeng, dekat Kuantan untuk diproses sebelum dihantar kepada pembeli.

“Hasil semakan mendapati aktiviti mengorek tanah tersebut tidak mempunyai sebarang lesen dan kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri Pahang.”

Kanak-kanak maut dipercayai terjatuh dari tingkat 24 kondominium

Zuhainy Zulkiffli
BAYAN LEPAS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di tingkat 24 sebuah kondominium di Teluk Kumbar, di sini, malam tadi.

Mangsa ditemukan orang awam kira-kira jam 11.30 malam di tingkat lima kondominium berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian itu.

Terdahulu, menerusi hantaran di Facebook, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz memaklumkan beliau berada di lokasi kejadian bagi memberi bantuan diperlukan.

“Saya berada di lokasi antara jam 12.15 tengah malam hingga jam 2 pagi selepas dimaklumkan kejadian membabitkan kanak-kanak itu yang dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 24.

“Moga mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran,” katanya dalam kenyataan itu.

Gelandangan warga asing baling bata, rosakkan kenderaan polis

MOHD. FAHMI ISMAIL

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki gelandangan warga asing berusia lingkungan 40-an ditahan selepas dipercayai membaling seketul bata sehingga merosakkan sebuah kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kejadian di hadapan sebuah hotel di Jalan Hang Lekiu, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira 11.57 malam itu, suspek berjaya ditahan sejurus selepas insiden dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nuzulan Mohd. Din berkata, suspek direman selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Jun bagi membantu siasatan.

“Suspek dipercayai membaling objek dipercayai bata ke arah kenderaan milik PDRM sehingga menyebabkan kerosakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang juga bukan warganegara dipercayai mengalami masalah kesihatan, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

Terengganu: 2 ditahan terbabit aktiviti pemindahan pasir silika secara haram

Nazdy Harun
Salah satu jengkaut yang dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara melalui Op Bersepadu Khazanah di Marang. – Foto PGA
MARANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara melalui Op Bersepadu Khazanah berjaya merampas dua jengkaut dan satu treler bernilai kira-kira RM1.8 juta, dipercayai digunakan dalam aktiviti pemindahan pasir silika secara haram.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, bertindak atas maklumat kira-kira jam 1 pagi tadi, anggota risik Ibu Pejabat Briged Tenggara, PGA Kuantan Pahang, membuat pemerhatian di kawasan Kampung Jambu Bongkok, dekat sini.

Menurutnya, ketika tinjauan, pihaknya terlihat dua lelaki berada di kawasan terbabit dan terdapat aktiviti pemindahan pasir yang disyaki pasir silika dengan menggunakan jengkaut ke dalam sebuah treler.

Katanya, pihaknya kemudian membuat serbuan sebelum meminta dokumen pengenalan diri daripada kedua-dua lelaki itu.

“Pasukan serbuan kemudian meminta pemandu jengkaut yang berusia 33 tahun untuk kemukakan sebarang dokumen atau lesen pemindahan pasir yang dilakukan, namun lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen atau lesen yang sah.

“Pemeriksaan di kawasan terbabit menemui peralatan untuk mengambil bahan mineral iaitu pasir silika,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menahan pemandu jengkaut dan pemandu treler berusia 37 tahun kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pemindahan pasir secara haram.

Menurutnya, kesemua barang kes diserahkan kepada Pejabat Tanah Marang untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Katanya, hasil serbuan pihaknya merampas dua jengkaut dan satu treler yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965.

Isteri parah ditetak suami disyaki cemburu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suri rumah parah ditetak suami menggunakan parang dalam kejadian dipercayai akibat cemburu, di sebuah rumah di Kampung Mangkupa, Kota Marudu, hari ini.

Mangsa dilaporkan mengalami 14 kesan luka termasuk pada leher, bawah dagu, kedua lengan dan tapak tangan, kening serta lutut kanan.

Ketua Polis Kota Marudu Simiun Lomudin, berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu 9.06 pagi sebelum laporan polis dibuat sebagai maklumat pertama.


“Kira-kira 8.30 pagi, mangsa keluar ke halaman rumah sebelum ditegur suspek agar tidak berbual dengan jiran lelaki. Mangsa menafikan dakwaan itu dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

“Saksi di dalam rumah melihat suspek mengambil parang dari dapur dan menuju ke arah mangsa sebelum merebahkan mangsa serta meletakkan parang di lehernya,” katanya menurut Berita Harian.

Katanya, saksi itu kemudian bertindak bersembunyi bersama anaknya dan hanya mendengar mangsa menjerit meminta pertolongan.

Simiun berkata, beberapa minit kemudian, jiran yang baru pulang dari ladang getah menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah di hadapan rumah jiran, sebelum menghubungi talian kecemasan 999.

Mangsa kini dalam keadaan stabil dan akan dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Bekas ADUN Layang-Layang umum keluar Umno, bertanding atas tiket Bersatu

Harapandaily
Bekas ADUN Layang-Layang, Abd Mutalip Abd Rahim mengumumkan keluar daripada Umno serta-merta dan menyertai Bersatu.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang medianya malam ini, yang kemudian memaklumkan bahawa beliau akan bertanding semula di kerusi berkenaan sebagai calon Perikatan Nasional (PN).

Abd Mutalip yang pernah berkhidmat sebagai Exco Kerajaan Negeri Johor dari 2013 hingga 2018 merupakan ADUN dua penggal di masing-masing menerusi PRN Johor ke-13 dan PRN Johor ke-15. Beliau turut

Katanya, keputusan untuk bertanding semula adalah atas permintaan pengundi yang mahu calon Melayu di DUN tersebut.

“Orang akan tanya apa yang terjadi sebenarnya di N27 Layang-Layang. Kalau kita lihat pengundi Melayu di situ ada lebih kurang hampir 60 peratus.

“Pengundi sering menanyakan soalan-soalan kenapa tidak ada calon daripada kalangan orang Melayu yang diletakkan oleh parti-parti yang bertanding.

“Jadi atas rasa tanggungjawab demi agama, bangsa dan juga pengundi yang mahu saya sekali lagi menjadi calon, saya ambil keputusan ini,” katanya hari ini.

Beliau pada masa sama berkata, keputusannya keluar dari Umno bukan disebabkan rasa kecewa atau permusuhan terhadap parti itu.

“Saya tiada isu dengan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Kami semua berkawan, tiada paksaan tiada rasa benci. Parti politik hanyalah platform untuk berkhidmat,” katanya. 

Terjun dari jejambat kerana elak pemeriksaan polis, seorang maut, seorang lagi patah kaki

Noor Hidayah Tanzizi
hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi patah kaki selepas dipercayai terjun dari jejambat di Pantai Dalam, di sini ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

Sumber berkata, kejadian berlaku ketika kereta dinaiki dua suspek itu bersama seorang lagi rakan mereka dikejar anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, malam tadi.

Difahamkan, kenderaan suspek dikejar sehingga ke kawasan Pantai Dalam di sini dan apabila tiba di lokasi, polis berjaya menahan seorang individu di dalam kereta, manakala dua lelaki dipercayai terjun dari jejambat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan kejadian itu.

Seorang penduduk kampung di Pulau Taliabu mati dibelit ular gergasi 7 meter

KOSMO
Mayat mangsa selepas digigit dan dibelit seekor ular sawa sepanjang tujuh meter di Pulau Taliabu baru-baru ini. - Istimewa
JAKARTA – Seorang penduduk kampung di Pulau Taliabu, wilayah Maluku Utara meninggal dunia akibat dibelit seekor ular sawa gergasi sepanjang 7 meter, lapor portal berita Halmahera Post. Rujukan Geografi

Ketua Polis Taliabu Timur, IPDA Imran Husaleka berkata, mangsa diserang ketika pergi ke kebun di Desa Ufung untuk mengambil duit milik saudaranya selepas pukul 6 pagi (waktu tempatan). 

“Ular ini menggigit kaki kiri mangsa sebelum membelit tubuhnya sehingga lemah. Dia ditemukan dalam keadaan dibelit oleh penduduk setempat dikenali sebagai Reju sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan). 

“Memandangkan ular sawa ini begitu besar, Reju meminta bantuan seorang pengawal keselamatan, Rusdi Sambono yang berada kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian,” kata Imran. 

Rusdi kemudian pergi ke Desa Ufung untuk mendapatkan bantuan penduduk. 

“Selepas mereka membunuh ular sawa gergasi ini, mayat mangsa dibawa ke Desa Padang dengan menaiki ambulans untuk bedah siasat sebelum dikebumikan oleh keluarganya,” tambah Imran. 

Beliau menggesa orang ramai untuk sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di kawasan hutan, terutamanya di lokasi menempatkan banyak hidupan liar. – AGENSI

Isham Jalil bakal masuk Pas? Terharu nama diangkat tanding di dua Parlimen ini

Harapandaily
Nama bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Abdul Jalil dilihat mula diangkat penyokong akar umbi Pas untuk bertanding di kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang.

Perkara itu tercetus selepas tular dua poster di media sosial yang memaparkan Isham sebagai calon berpotensi Pas bagi kerusi Putrajaya dan Shah Alam.

Mengulas perkara itu, Isham mengakui dia terharu dengan sokongan yang diberikan akar umbi dan beberapa pemimpin Pas yang mencadangkan namanya dalam sesi ceramah serta di media sosial.

“Saya amat terharu dan ingin ucap terima kasih kepada akar umbi dan pemimpin-pemimpin Pas yang telah mengusulkan supaya saya bertanding di Parlimen Shah Alam atau Parlimen Putrajaya.

“Terima kasih ke atas kepercayaan dan sokongan tuan-tuan dan puan-puan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sebelum ini, Isham pernah menyarankan agar parti-parti politik Melayu memberikan laluan kepada Pas untuk menerajui jawatan Perdana Menteri jika mahu mencapai agenda penyatuan ummah.

Kata Isham, Pas yang belum pernah memegang jawatan nombor satu negara itu wajar diberikan peluang berdasarkan rekod bersih parti terbesar di Malaysia ketika ini daripada isu rasuah.

Istiqamah membantu

Mengulas lanjut mengenai penyebaran poster itu, katanya, dia mengakui tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan pencalonannya di bawah tiket Pas dan menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada kepimpinan parti berkenaan.

Menurut Isham, apa juga keputusan yang dibuat, beliau akan terus istiqamah membantu perjuangan Pas demi melihat parti itu menerajui negara.

Bekas Pegawai Khas kepada Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Perdana Menteri itu turut mengulangi keyakinan bahawa Pas merupakan parti paling bersih daripada rasuah di negara ini dan perlu diberi peluang memimpin kerajaan Persekutuan.

“Saya akan terus usahakan sehingga Pas menerajui negara ini sebagai kerajaan dan Perdana Menteri untuk kita menyatukan ummah dan menghapuskan rasuah secara sebenar-benarnya.

“Pas adalah parti yang paling bersih dari rasuah di negara ini. Oleh sebab itu, tuan-tuan dan puan-puan perlu menerajui negara ini dan saya akan bantu tuan-tuan dan puan-puan ke arah itu,” katanya lagi.

Isham, 50, atau nama sebenarnya Hizatul Isham bin Abdul Jalil menambah jika orang-orang baik tidak menguasai politik, orang-orang jahat yang akan berkuasa.

Untuk rekod, Isham dipecat daripada Umno pada Disember 2023 selepas konflik terbuka dengan kepimpinan parti, khususnya Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kali pertama bertanding di P108 Shah Alam dalam pertandingan empat penjuru yang dimenangi Azli Yusof (PH-AMANAH) dengan mendapat 61,409 undi, Isham ketika itu mewakili BN kecundang apabila hanya mengaut 28,266 undi.

Jumlah undi diterima Isham itu lebih rendah berbanding Afif Bahardin (PN-Bersatu) 43,314 undi manakala Rafique Rashid (Pejuang) cuma memperoleh 2,781 undi.

Tragedi pulang dari kursus, guru wanita antara 2 maut nahas di Lenggong, lima rakan cedera

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
DUA termasuk seorang guru maut, manakala lima lagi guru cedera apabila MPV terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kuala Kangsar-Baling. FOTO Ihsan JBPM Perak
DUA termasuk seorang guru maut, manakala lima lagi guru cedera apabila MPV terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kuala Kangsar-Baling. FOTO Ihsan JBPM Perak
Lenggong: Lelaki dan seorang guru wanita maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kuala Kangsar-Baling berdekatan sebuah restoran, di sini, hari ini.

Mangsa maut dikenali Zuraida Abu Bakar, 47, yang menaiki MPV Honda Odyssey bersama lima guru lain yang turut cedera dalam kemalangan itu.

Sementara, seorang lelaki yang memandu kereta Toyota Vios, Melvindar Singh Gamum Singh, 41, turut maut di lokasi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.57 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong bergegas ke lokasi.

Katanya, nahas membabitkan Honda Odyssey dinaiki enam penumpang wanita yang kesemuanya adalah guru, serta Toyota Vios dipandu seorang lelaki.

"Kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kenderaan masing-masing disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

"Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang maut sebelum diserahkan kepada pihak polis.

"Mangsa yang cedera diserahkan pada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya." katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak menerusi hantaran Facebook hari ini turut mengucapkan takziah atas kematian Zuraida yang juga seorang guru di Kolej Vokasional Gerik.

Berdasarkan sebaran WhatsaApp yang tular, keenam-enam guru yang terbabit nahas itu baru pulang daripada menghadiri kursus.

Kedah: Polis siasat kes remaja dipukul dalam video tular

FMT Reporters

Ketua Polis Kota Setar, Syed Basri Syed Ali berkata siasatan dijalankan selepas bapa mangsa buat laporan polis.

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang remaja lelaki dipukul rakannya dalam satu kejadian di sebuah padang di Taman Uda di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
PETALING JAYA: Polis menerima laporan dan menyiasat kes seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dipukul dua rakan sekolahnya di sebuah padang di Taman Uda di Alor Setar, Kedah yang videonya tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Kota Setar, Syed Basri Syed Ali berkata, bapa mangsa membuat laporan polis pada 20 Jun lalu selepas dimaklumkan mengenai video tular berkenaan, lapor Sinar Harian.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang pada 16 Jun lalu dan rakaman video tersebut kemudiannya menjadi tular di media sosial.

“Mangsa dan kedua-dua suspek merupakan kenalan sejak darjah satu serta menetap di kawasan perumahan yang berhampiran. Mereka juga belajar di sekolah dan kelas yang sama,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa, salah seorang suspek bertindak memukul dan menendangnya kerana mendakwa mangsa mengganggu teman wanita suspek.

Syed Basri berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Baru-baru ini, tular satu video menunjukkan seorang remaja lelaki menendang rakannya yang sedang duduk di kerusi menyebabkan mangsa rebah ke tanah sebelum menendang mangsa sekali lagi.

Mayat lelaki separuh bogel di Alor Gajah, Melaka di tepi lebuh raya

AMRAN ALI
MAYAT seorang lelaki yang ditemukan dalam keadaan separuh bogel di Alor Gajah, Melaka, pagi tadi.
ALOR GAJAH – Orang ramai yang melalui Lebuh Raya Utara–Selatan (arah utara) di Kilometer 198.5 di sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan separuh bogel tertiarap di lorong kecemasan, pagi tadi.

Mayat lelaki dipercayai warga tempatan itu ditemui kira-kira pukul 6 pagi oleh orang awam sebelum kejadian dimaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak berbaju, manakala seluar dipakai terlondeh sehingga menampakkan bahagian punggung.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat, namun kita percaya lelaki itu warga tempatan.

“Mayat telah dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Menurut beliau, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian sama ada akibat kemalangan atau terdapat unsur jenayah, termasuk dibunuh.

“Setakat ini, kita masih menunggu laporan bedah siasat bagi tindakan lanjut siasatan serta usaha mengesan waris mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Rogol anak sampai hamil, bapa dipenjara 39 tahun, 10 sebatan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lelaki dipenjara 39 tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Jenayah Seksual Putrajaya atas tiga pertuduhan merogol anaknya sejak berusia 12 tahun sehingga hamil.

Hukuman diputuskan Hakim M Kunasundary terhadap tertuduh berusia 46 tahun itu, lapor Kosmo.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu awal 2024, hujung 2024, dan Jun lalu, antara 12 tengah malam sehingga 12 tengahari.

Mengikut fakta kes, kejadian rogol itu terbongkar selepas tertuduh membawa mangsa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan. Pemeriksaan doktor mendapati mangsa hamil enam minggu empat hari.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya V Suloshani, manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.

Dalam pada itu, Kunasundary menegaskan kesalahan dilakukan amat keji dan penderitaan dialami mangsa sejak berusia 12 tahun tidak boleh diketepikan.

“Dalam menjatuhkan hukuman ini, mahkamah sedar tertuduh telah mengaku bersalah pada tarikh pertama dihadapkan ke mahkamah.

“Namun, kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah satu kesalahan yan amat keji dan penderitaan yang dialami oleh seorang kanak-kanak sejak berumur 12 tahun tidak dapat diketepikan. Kelakuan tertuduh adalah ibarat haruan makan anak,” katanya.

Selain hukuman penjara dan sebatan, Kunasundary turut mengenakan perintah tambahan dengan mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang di penjara serta pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman.

Kanak-kanak 9 tahun maut selepas terjatuh ketika mandi

NURUL IZZATI ZAINI
Gambar yang dimuat naik ibu Allahyarham di Facebook.
KAJANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ketika sedang mandi di bilik air rumahnya di Taman Bukit Segar, Cheras dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.01 malam selepas mangsa disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Zon Merah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang apabila mangsa dipercayai terjatuh ketika mandi di bilik air rumahnya sehingga mengalami kecederaan.

“Mangsa kemudiannya dibawa oleh ahli keluarga ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital sama bagi tujuan bedah siasat dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selain diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Sebelum ini, tular di media sosial satu hantaran yang dimuat naik di akaun Thread @Dyra_zainal memaparkan dakwaan seorang kanak-kanak maut selepas dipercayai terjatuh ketika mandi sehingga sinki di bilik air pecah dan terkena bahagian leher mangsa.

Hantaran itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Sementara itu, ibu kepada kanak-kanak itu dalam satu hantaran di Facebook memuat naik beberapa keping gambar serta video memaparkan pemergian anak ketiga daripada enam beradik itu.

“Adrian dah pergi tinggalkan Umi selamanya. Maafkan Umi, sayang, Umi sayang Adrian. Adrian tunggu Umi dekat syurga ya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Akmal Saleh lapor polis Puad Zarkashi 'hina raja'

Malaysiakini

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menegaskan bahawa parti tersebut bukan milik "anak beranak" susulan dakwaan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan calon.

Katanya, dakwaan bekas anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno,  Mohd Puad Zarkashi bahawa Umno Johor tidak lagi memenuhi aspirasi golongan muda adalah tidak berasas sedangkan ramai calon muda diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

“Umno ini bukan parti anak beranak. Bila anak tidak dapat jadi calon, semua tidak betul pada Umno.

“Ramai lagi orang muda yang ada dan telah dipilih sebagai calon.

"Hanya kerana anak seseorang tidak dipilih sebagai calon, tidak bermakna parti ini tidak lagi mempunyai aspirasi untuk golongan muda," katanya dalam satu perkongsian video di Facebook hari ini.

Mengulas keputusan mantan speaker DUN Johor yang mengumumkan keluar daripada Umno selepas tidak berpuas hati dengan pemilihan calon BN semalam,  Akmal berkata, daripada 56 calon yang diumumkan semalam, BN Johor mempertaruhkan 13 calon berusia bawah 40 tahun.

Katanya, ia  sekali gus membuktikan komitmen parti untuk memberi ruang kepada generasi muda dalam kepimpinan negeri.

Laporan polis

Sehubungan itu, Akmal menyangkal dakwaan bahawa Umno Johor tidak memberi peluang kepada golongan muda.

“Tuduh Umno tidak ada inspirasi orang muda, sedangkan dulu Datuk (Mohd Puad) pun bertanding pada umur atas 60 tahun,” katanya.

Akmal berkata, Mohd Puad sebelum ini  sendiri menyatakan hasrat supaya lebih ramai calon muda diketengahkan dan perkara itu telah dilaksanakan.

"Jadi tidak wajar untuk mengatakan Umno Johor tidak mempunyai aspirasi orang muda hanya kerana permintaan tertentu tidak dapat dipenuhi," katanya.

Mengulas lanjut mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadap institusi raja dengan proses pemilihan calon sebagai tuduhan serius, Akmal berkata, Pemuda Umno akan membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.

"Tuduhan yang dilemparkan terhadap institusi raja adalah perkara yang sangat berat.

“Kita mahu perkara ini disiasat dan jika dakwaan itu tidak benar, tindakan sewajarnya perlu diambil," katanya.

Mohd Puad ketika mengumumkan keluar daripada Umno berkuat kuasa serta merta, mendakwa parti itu tidak lagi bebas membuat keputusan kerana ‘dikawal’ istana.

“Alasan utama saya keluar Umno ialah, Umno Johor tidak lagi bebas membuat keputusan. Umno Johor dikawal oleh Istana dalam membuat keputusan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menjelang PRN Johor: Puad Zarkashi umum keluar Umno

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi mengumumkan beliau keluar Umno serta merta berkuatkuasa hari ini.

Puad dalam satu kenyataan di Facebook berkata beliau membuat keputusan tersebut adalah kerana Umno Johor tidak lagi bebas membuat keputusan dan memudahkan untuk beliau berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti dari belakang.

“Tanpa berat hati, saya umum keluar Umno serta merta mulai hari ini. Oleh itu Umno tidak perlu bersusah payah memecat saya.

“Kini saya bebas mengkritik Umno satu wadah yang saya sayangi dan hormati untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya.

Perselisihan faham 2 penunggang motosikal cetus kemalangan

Amirul Aiman Hamsuddin
Tangkap layar video tular memaparkan sebuah motosikal merempuh belakang sebuah kereta di Kilometer 8 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, Ahad lalu -Foto tular
KUALA SELANGOR: Perselisihan faham antara dua penunggang motosikal dipercayai menjadi punca kemalangan yang mengakibatkan dua individu cedera di Kilometer 8 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Kejadian berkenaan tular selepas rakaman video berdurasi 12 saat memaparkan sebuah motosikal merempuh bahagian belakang sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.36 malam membabitkan dua motosikal Yamaha Y15ZR.

“Siasatan awal mendapati kereta Proton Iriz dipandu seorang wanita di lorong kiri dari Kuala Lumpur ke Kuala Selangor.

“Setibanya di lokasi, kenderaan itu dilanggar dari belakang oleh motosikal yang dinaiki seorang lelaki dan wanita,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, impak kemalangan mengakibatkan penunggang dan pembonceng cedera sebelum kedua-duanya dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan lanjut.

“Kemalangan ini berlaku susulan perselisihan faham antara kedua-dua penunggang ketika dalam perjalanan ke Kuala Selangor.

“Tindakan itu mengakibatkan motosikal mangsa hilang kawalan lalu melanggar belakang Proton Iriz yang berada di hadapannya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Sarjan Shamsudin Wahab di talian 012-6102473 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-3289 1222.

Suami bakar rumah pemberian mentua kerana gagal 'pujuk' isteri

KOSMO!
SEORANG lelaki bertindak membakar rumah pemberian mentua setelah bergaduh dengan isterinya. - dok. istimewa
JAKARTA – Akibat gagal mengawal kemarahan selepas bertengkar dengan isterinya, seorang lelaki di Sulawesi Selatan bertindak membakar rumah pemberian ibu dan bapa mentuanya hingga menjadi abu, lapor portal berita detikSulsel.

Suspek yang dikenali sebagai Yober Payung, dilaporkan mengalami gangguan emosi  ekoran gagal berkomunikasi dengan isterinya bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

Menurut polis , kejadian berlaku di Dusun Tongko Situru, Desa Tarabbi, dalam wilayah Luwu Timur kira-kira jam 8.30 malam (waktu tempatan), Sabtu lepas.

Pegawai Perhubungan Awam Polis Luwu Timur, Ipda Mustajuddin berkata, suspek dengan sengaja membakar kediaman tersebut yang merupakan aset milik keluarga mentuanya.

“Betul, rumah yang dibakar milik mentuanya yang  telah diserahkan kepada suspek dan isteri untuk dijadikan tempat tinggal mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Siasatan awal mendapati suspek pada mulanya datang ke rumah ibu bapa mentuanya bersama anaknya dengan niat baik untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian. 

Bagaimanapun, kehadiran suspek tidak mendapat respons yang baik daripada pihak isteri mahupun ibu mentuanya.

Kecewa kerana tidak menemui jalan keluar, suspek kemudian pulang ke rumah pemberian mentuanya yang terletak kira-kira 500 meter dari situ.

Setibanya di rumah, suspek sekali lagi cuba memujuk dan berkomunikasi dengan isterinya melalui aplikasi WhatsApp, namun gagal mencapai kata sepakat.

Kegagalan komunikasi tersebut akhirnya mencetuskan amarah suspek. 

Dalam keadaan emosi yang tidak stabil, suspek bertindak menyiram minyak tanah ke atas tilam di dalam rumah berkenaan lalu menyalakan api.

Selepas melihat api marak, suspek segera melarikan diri ke rumah ibu bapa kandungnya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian bagi menyembunyikan diri. – AGENSI

Lagi kes haruan makan anak

Bapa ditahan didakwa ‘noda’ anak kandung sejak 5 tahun lalu

MOHD. FAHMI ISMAIL

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan polis selepas disyaki merogol anak kandungnya yang kini berusia 17 tahun sehingga menyebabkan remaja itu hamil.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan pada 18 Jun lalu kira-kira pukul 9.07 malam daripada seorang pegawai perubatan.

Menurut beliau, mangsa yang berusia 17 tahun dilaporkan hamil sebelum memaklumkan bahawa dia dipaksa oleh suspek yang juga bapanya sendiri melakukan perhubungan seksual sejak berusia 12 tahun.

“Kejadian berlaku di Putrajaya dan suspek merupakan penganggur. Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek telah ditangkap pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan dan akan dituduh di Mahkamah Majistret Putrajaya esok. – KOSMO! ONLINE

Bela 436 ular sawa dalam rumah, lelaki dipenjara

Agensi
Kotak plastik yang ditemui di rumah Guo yang setiap satunya menempatkan seekor ular sawa. Foto tangkap layar tular
Kotak plastik yang ditemui di rumah Guo yang setiap satunya menempatkan seekor ular sawa. Foto tangkap layar tular
Taizhou, China: Seorang lelaki yang tinggal bersendirian di timur China dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah membiak lebih 300 ular sawa di dalam rumahnya, lapor South China Morning Post.

Kejadian mengejutkan itu didedahkan oleh media rasmi kerajaan, CCTV pada akhir Jun sebagai kes berkaitan jenayah yang mendatangkan kemudaratan serius terhadap hidupan liar yang jarang ditemui dan terancam.

Di China, ular sawa diklasifikasikan sebagai haiwan dilindungi Gred Dua dan undang-undang negara berkenaan melarang keras sebarang aktiviti membeli, menjual, membiak serta mengangkut spesies ini tanpa kebenaran rasmi daripada pihak berkuasa.

Kegiatan haram itu mula dikesan pihak polis selepas seorang warga emas di wilayah Zhejiang menemukan seekor ular besar di kaki sebuah gunung tempatan pada Mac 2024.

Warga emas berkenaan melaporkan penemuan itu kepada pihak berkuasa selepas mengesyaki reptilia berwarna kuning keperangan itu yang bersaiz sebesar lengan orang dewasa sebagai sesuatu yang luar biasa di kawasan berkenaan.

Pegawai polis mengesyaki ular itu melarikan diri daripada pembiaknya memandangkan ia bukan spesies asli di situ selain tabiat ular yang lazimnya tidak aktif di kawasan liar pada Mac.

Seorang pakar penjagaan ular profesional yang dirujuk oleh polis turut memberikan petunjuk penting bahawa ular sawa memerlukan persekitaran yang sentiasa panas dan lembap.

Keadaan itu menandakan pembiaknya berkemungkinan menggunakan jumlah tenaga elektrik yang besar bagi memastikan suhu kolam atau bilik kekal antara 20 hingga 30 darjah Celsius.

Polis kemudian menjalankan pemeriksaan terhadap penduduk berhampiran berdasarkan corak penggunaan elektrik mereka sebelum akhirnya berjaya mengenal pasti seorang lelaki tanpa pekerjaan bernama Guo sebagai suspek utama.

Hasil risikan mendapati seorang lelaki bernama Di kerap mengunjungi rumah Guo untuk menghantar bungkusan kurier yang mengandungi tikus putih kecil yang dibeli secara dalam talian.

Guo juga didapati pernah memuat naik beberapa gambar ular di media sosialnya manakala rekod transaksi turut menunjukkan Di pernah menjual dua ular sawa kepada individu lain pada harga 1,000 yuan (kira-kira RM650).

Mahkamah tempatan menjatuhkan hukuman penjara ke atas Guo, Di, dan pembekal ular Deng selepas kes itu terbongkar membabitkan 436 ular sawa yang dianggarkan bernilai lebih 30 juta yuan (kira-kira RM19.5 juta).

Dua anggota polis cedera diserang penagih dadah

Buletin TV3
Anggota polis yang cedera diserang penagih mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Selama, Perak.
KUALA LUMPUR: Dua anggota polis cedera parah selepas diserang menggunakan pisau oleh seorang suspek dipercayai penagih dadah di Selama, Perak, semalam.

Suspek kemudian melarikan diri ke kawasan hutan berdekatan.

Anggota polis sebelum itu menerima maklumat kehadiran seorang lelaki disyaki penagih dadah yang berada di sebuah pondok di kampung berkenaan.

Sejurus menghampiri pondok itu, suspek bertindak melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.

Salah seorang mangsa menahan suspek, namun berlaku pergelutan sebelum suspek dikatakan mengeluarkan sebilah pisau kecil dan menyerang anggota polis terbabit.

Akibat serangan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Selama untuk rawatan.

Polis melancarkan operasi mengesan suspek termasuk melaksanakan Op Tutup di semua laluan keluar masuk kawasan berkenaan.

‘Ada yang tidak kena’ – Puad bayang kemelut calon Umno PRN Johor

Malaysiakini

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, membayangkan berlaku kemelut dalam Umno Johor berhubung pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 dan bakal membuat satu pengumuman penting pada Sabtu ini.

Menurut penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit itu, dia merasakan ada yang “tidak kena” dengan Umno Johor selepas melihat senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding.

“Hari ini BN Johor akan umum senarai calon yang akan bertanding di PRN Johor 2026. Melihat senarai calon tersebut ada yang tidak kena kepada Umno Johor.

“Justeru saya akan membuat pengumuman penting pada 27 Jun ini. Perkembangan terkini Umno Johor merisaukan.

“Saya tidak akan menoleh belakang walaupun saya hanya insan kerdil,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan mengumumkan senarai nama calon yang akan mewakili gabungan berkenaan di kesemua 56 kerusi DUN Johor pada jam 2.30 petang ini.

Malah, menurut presiden Umno itu, BN akan terus mengekalkan konsep ‘wali’ dalam pemilihan calon, iaitu winnable (boleh menang), acceptable (diterima) dan likeable (disukai), selain menampilkan gabungan muka lama dan baharu.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata BN menampilkan gabungan antara pemegang jawatan sedia ada dengan muka baharu bagi mewarnai bakat kepimpinan di Johor.

Sebelum ini, Puad telah menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya kali ini.

Jelasnya, keputusan tersebut dibuat bagi memberi laluan kepada calon yang lebih muda dan berpendidikan. Bagaimanapun, Puad mendakwa saranan itu tidak diendahkan oleh kepimpinan parti.

"Saya telah mengumumkan melalui Facebook enam hari lalu bahawa saya tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit kerana faktor usia.

"Saya menegaskan, orang muda terlatih dan berpendidikan semestinya diberi peluang. Tetapi tidak diindahkan. Saya melakukan 'keberanian politik' untuk meneruskan perjuangan," katanya lagi.

Puad kali pertama dipilih menjadi calon Umno pada pilihan raya 2008 bagi kerusi Parlimen Batu Pahat yang dimenanginya. Bagaimanapun dia hanya berkhidmat selama satu penggal di Dewan Rakyat selepas tewas dalam pilihan raya 2013 kepada Mohd Idris Jusi daripada PKR.

Namun dia dipilih semula menganggotai Majlis Kerja Tertinggi Umno yang dianggotai 25 anggota pada akhir tahun tersebut. Puad digugurkan daripada menjadi calon oleh Umno dalam pilihan raya umum 2018.

Dia yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Jasa pada Mac 2015 tetapi meletak jawatan pada 25 April 2018 sebagai tanda protes kerana tidak dipilih menjadi calon BN.

Pada 2022, Puad diletakkan sebagai calon BN pada PRN Johor dan berjaya memenangi kerusi itu. Seterusnya, dia dilantik sebagai speaker DUN Johor.

Lokman Adam sahkan BN kerjasama dengan Pas di Johor

Harapandaily

Meskipun sebelum ini berulang kali mengatakan tidak mahu lagi “dipatuk ular pada tempat yang sama”, Umno kini memberi bayangan akan kembali bekerjasama dengan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam menyebut bahawa ini adalah kali kedua untuk Umno menjalinkan semula kerjasama dengan Pas

“Memang kita tak nafikanlah bahawa kita sekarang ini sudah….pastilah kita pernah kerjasama sekali, gagal. Ini adalah peluang kali kedua kita menjalinkan kerjasama dengan pihak yang sama iaitu Pas. Mungkin kali ini tambah 1 lagi entiti iaitu Parti Wawasan.

“Sudah pastilah Umno dengan pengalaman yang tak berapa cantik sebelum ini akan lebih berhati-hati. Kalau setakat kerjasama di Johor, Negeri Sembilan saya rasa tidak ada banyak masalah.

“Keraguan kita adalah kalau kita masuk pilihan raya, sekerat jalan parti-parti politik ini akan meninggalkan kita. Kita tak nak benda ini berlaku. Sebab itu kita ada kaedah tertentu yang harapnya dapat dipersetujui kedua-dua belah pihak.

“Semua orang akan terikat dengan perjanjian yang bakal dimeterai antara semua calon BN,” katanya dalam satu video dimuat naik beliau di Facebook.

Kenyataan terbaru pimpinan parti itu sekali gus mengesahkan bahawa bakal berlaku kerjasama antara Umno dan Pas di Johor.

Cinta, duit punca penuntut wanita dibunuh

MOHD YUNUS YAKKUB

SHAH ALAM – Pembunuhan seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sebuah kondominium di Bandar Sunway dekat sini semalam dipercayai berpunca daripada konflik hubungan dan masalah kewangan antara mangsa dengan teman lelakinya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki berusia 20an yang ditahan mempunyai hubungan rapat dengan mangsa dan kedua-duanya dipercayai tinggal bersama di kediaman berkenaan.

“Pada peringkat siasatan awal pihak polis berpendapat motif kejadian lebih kepada isu peribadi iaitu hati dan perasaan dan perbelanjaan harian melibatkan mangsa dan suspek.

“Kedua-dua mereka menjalinkan hubungan dan tinggal serumah,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Selangor.

Menurut beliau, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Katanya, pemeriksaan awal forensik mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan luaran pada badan, namun punca sebenar kematian hanya dapat disahkan selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.

“Buat masa ini saya tidak dapat mengulas lanjut mengenai kecederaan sama ada ditusuk atau ditikam kerana laporan penuh bedah siasat masih belum diperoleh,” ujarnya.

Shazeli berkata, suspek yang ditahan kini merupakan individu utama yang dipercayai terlibat dalam kes ini dan setakat ini tiada suspek lain dikenal pasti.

Namun katanya, siasatan masih diteruskan dan semua sudut akan diteliti.

“Keterangan telah diambil daripada jiran mangsa dan suspek tersebut. Siasatan juga masih dijalankan berapa lama mereka telah menuntut di IPTS dan jurusan yang diambil,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan seorang wanita warga asing ditemukan tidak bernyawa dengan beberapa kesan kecederaan pada badan dalam kejadian di sebuah kondominium di Bandar Sunway, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 20-an merupakan seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di daerah ini.

Susulan itu, seorang lelaki warga asing di lokasi yang sama bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Bergaduh berhampiran perhentian bas, 7 ditahan

Bernama

JASIN: Polis menahan enam lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang menyebabkan dua individu cedera dalam kejadian berhampiran sebuah perhentian bas di Jalan Gapam, Bemban, semalam.

Ketua Polis Jasin, Lee Robert berkata semua suspek berusia antara 20 hingga 29 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Melaka antara 3 petang hingga 6.50 petang semalam.

“Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan termasuk lima telefon bimbit, pakaian, kasut, selipar serta sebatang kayu berwarna coklat.

“Permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Jasin hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Lee berkata dua mangsa yang menerima rawatan di Hospital Melaka akibat kejadian itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Semalam, Lee dilaporkan berkata dua lelaki cedera parah selepas dipercayai dipukul dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan lelaki di tepi jalan berhampiran perhentian bas di Jalan Gapam.

Beliau dipetik sebagai berkata berkata dalam kejadian kira-kira 12.10 tengah malam itu, mangsa seorang penganggur berusia 21 tahun mengalami kecederaan serius pada kepala, manakala seorang lagi mangsa berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori mengalami pendarahan dalam otak selain patah tangan dan kaki kiri.

DAP sindir MB Johor tersilap serang parti sendiri berkait isu Felda

Malaysiakini

Pemuda DAP menyindir Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi terserang parti sendiri apabila mendakwa dihalang memasuki kawasan Felda, menjelang tempoh berkempen pilihan raya negeri Johor lagi beberapa hari.

Ketua pergerakan itu Woo Kah Leong berkata dia pelik membaca berita berkaitan kenyataan Onn yang juga “poster boy” BN di negeri itu.

“Siapakah menteri uruskan Felda dan Pengerusi Felda? Daripada parti sendiri kan?

“Bila dah tak ada pencapaian untuk dibangga-banggakan, serang DAP.

“Lepas tak tahu nak serang apa, serang sembarangan pula. Sampai serang parti sendiri.

“Memang betul cakap ‘poster boy bukan jaminan jadi MB’,” sindir Woo.

Semalam Onn mendakwa dia dihalang memasuki kawasan Felda bagi penyerahan geran hak milik kepada peneroka sempena Sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor baru-baru ini.

Katanya, situasi itu menyebabkan majlis yang sepatutnya dijadual berlangsung di Felda Ulu Belitong, Kluang pada 20 dan 21 Jun terpaksa ditukar ke Taman Sri Lambak, Kluang.

"Pertama kali dalam sejarah hidup saya di Johor, Menteri Besar tak dibenarkan masuk ke kawasan Felda," dia dipetik sebagai berkata.

Sekat saya, hina dan mengata…

Bagaimanapun, Onn berkata, dia memahami dan tidak menyalahkan pihak Felda yang menimbulkan kesulitan melaksanakan penyerahan itu.

"Saya nak bagi jaminan kepada ibu dan ayah yang hadir di dalam dewan ini, macam mana sekali pun saya ditekan, nak sekat saya, hina dan mengata, tidak sedikit pun mengurangkan dan melunturkan semangat berjuang demi warga Felda.

"Ramai di sini dizalimi dan insya-Allah, orang dizalimi, doanya makbul. Kita di Johor, kita ada cara Johor dan kita nak buat macam mana pun, kita tak ada hal.

"Lagi dia buat kita, lagi kita bangkit. Kerana apa? Kerana kita perjuangkan ialah agama, bangsa dan tanah air," katanya.

Zahid nafi

Terkini Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan terdapat halangan sebegitu.

"Saya tidak pernah mengarahkan atau menghalang Menteri Besar Johor untuk masuk ke dalam kawasan Felda," katanya ringkas.

Ahmad Zahid Hamidi
Sementara itu, menulis di media sosial, Woo membangkitkan persoalan sama ada menteri menguruskan Felda atau pengerusi Felda tidak ingin duduk semeja.

Felda dipengerusikan oleh bekas pemimpin Umno Ahmad Shabery Cheek.

BN akan bergerak solo dalam pilihan raya negeri Johor walaupun masih mendukung kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH), yang turut melibatkan DAP.

Dua parah, enam cedera kemalangan libat tujuh kenderaan di Gopeng

MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
KEMALANGAN membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 291, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara di Gopeng pada pukul 4.41 petang tadi menyebabkan dua parah dan enam cedera. - FOTO IHSAN JBPM PERAK
GOPENG – Dua parah dan enam cedera dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Kilometer 291, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara dekat sini pada pukul 4.41 petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah lori, dua buah van dan empat kereta.

Menurutnya, seorang lelaki dewasa dalam lori kontena cedera ringan, dua lelaki dewasa mengalami kecederaan parah dan seorang lelaki dewasa turut tercedera melibatkan sebuah van jenis Toyota Lite Ace.

“Sementara itu, dalam van Toyota Hiace, dua lelaki dewasa dan dua perempuan dewasa cedera sementara mereka yang berada dalam kenderaan masing-masing Honda HRV, Perodua Bezza, Perodua Axia dan Toyota Vios tidak mengalami sebarang kecederaan,’ katanya di sini hari ini.

Katanya, kesemua mangsa yang parah dan cedera ringan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk mendapat rawatan lanjut menggunakan ambulans.

Bomba mengunakan satu aliran salur bantu mula untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan dan tumpahan minyak pada permukaan jalan sehingga selesai. – KOSMO! ONLINE

Bas bawa 32 pelajar kolej terbabas, pemandu cedera

AZAHAR HASHIM
BAS membawa 32 pelajar sebuah kolej terbabas di Jalan Lebuh KTC, Kulim hari ini.
KULIM – Seramai 32 pelajar sebuah kolej terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan selepas bas yang mereka naiki terbabas dan memasuki laluan bertentangan di Jalan Lebuh KTC, di sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 pagi itu, pemandu bas berusia 43 tahun mengalami kecederaan di kepala dan dikejarkan ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, ketika kejadian bas berkenaan membawa seramai 32 pelajar Kolej KHTP Skill Centre sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu bas mengalami kecederaan di bahagian kepala dan telah dibawa ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan. Kesemua 32 pelajar yang berada di dalam bas tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, semua pelajar terbabit kemudiannya dihantar ke kolej menggunakan sebuah van dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE

Penuntut IPTS ditemukan mati dalam kondominium, 1 lelaki ditahan

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga asing ditemukan mati dengan beberapa kesan kecederaan pada tubuhnya di sebuah kondominium di Bandar Sunway, Petaling Jaya, dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, M Hussin Sollehuddin Zolkifly, berkata IPD Petaling Jaya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira 11.03 pagi.

Beliau berkata sepasukan polis yang bergegas ke lokasi kejadian menemukan mangsa dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa yang merupakan pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Petaling Jaya, berusia lingkungan 20-an.

“Tangkapan telah dilakukan terhadap seorang lelaki warga asing berumur anggaran 20-an di lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian turut merampas beberapa barang kes yang dipercayai boleh membantu siasatan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat yang dijangka dijalankan esok bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat ASP Surianti Lataera menerusi talian 013-3352547 atau hadir ke balai polis berhampiran.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis,” katanya.

Kedah: Polis siasat dakwaan dua warga emas di pusat jagaan cedera, diikat

Zuliaty Zulkiffli
POLIS melakukan pemeriksaan di sebuah pusat jagaan warga emas berikutan kejadian dua warga emas yang cedera dan lebam serta diikat pada katil. FOTO Ihsan Keluarga
SUNGAI PETANI: Polis sedang menyiasat dakwaan dua warga emas cedera didakwa diikat pada katil serta mengalami lebam, di sebuah pusat jagaan warga emas di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung dua laporan yang diterima pihaknya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

“Satu kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya manakala satu lagi masih dalam siasatan.

“Polis sedang mengumpul keterangan dan bukti bagi mengenal pasti kejadian sebenar,” katanya hari ini.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa mendakwa, ibunya yang berusia 76 tahun yang turut menghidap demensia dihantar ke pusat jagaan itu pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, dia dimaklumkan oleh pihak pengurusan wanita terbabit terjatuh dari katil sehari kemudian.

Katanya, ketika melawat mangsa, dia mendapati terdapat beberapa kesan lebam dan kecederaan pada badan ibunya.

“Dalam lawatan seterusnya, lebam pada badan ibu bukan sahaja tidak hilang, malah semakin bertambah.

“Kami juga pernah melihat tangan dan kaki ibu diikat pada palang katil besi.

“Pihak pusat jagaan memaklumkan tindakan itu dilakukan kerana ibu kerap bangun sendiri dari katil dan mereka mahu mengelakkan kemalangan,” katanya.

Individu terbabit mendakwa, disebabkan bimbang dengan keselamatan ibunya selain tidak mampu menjelaskan punca kecederaan dialami menyebabkan mereka sekeluarga mengambil keputusan membawa wanita itu keluar dari pusat jagaan berkenaan pada bulan yang sama.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli keluarga mangsa mendakwa, bapa saudaranya berusia 69 tahun yang ditempatkan di pusat jagaan sama pada September 2024 turut mengalami nasib yang sama.

Dakwanya, selepas beberapa bulan berada di pusat jagaan itu, mereka mendapati mangsa mempunyai banyak kesan lebam dan luka sebelum membawanya pulang ke rumah.

“Bapa saudara mendakwa pernah dipukul dan dicubit oleh penjaga selain diikat pada katil pada waktu malam.

“Disebabkan pengalaman itu, dia mengalami trauma dan sehingga kini masih menjalani rawatan serta mengambil ubat di bawah pemantauan doktor,” katanya.

Dalam pada itu, pengusaha pusat jagaan berkenaan menafikan berlaku sebarang penderaan terhadap penghuni.

Katanya, pusat jagaan itu sentiasa menerima kunjungan pelawat dan badan kebajikan yang boleh menjadi saksi bahawa kebajikan penghuni sentiasa dijaga.

“Tindakan mengikat penghuni tertentu hanya dilakukan secara berkala menggunakan kain selepas mendapat persetujuan keluarga.

“Ia terutama warga emas yang mempunyai masalah pergerakan tetapi sering cuba bangun sendiri sehingga berisiko terjatuh, ” katanya