"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis kesan kumpulan remaja pukul 4 pelajar di Tawau

Bernama

Polis Tawau berkata pelajar itu dipukul ketika jalan kaki ke Masjid Merotai Besar untuk menunaikan solat Jumaat.
Tangkap layar video tular memaparkan sekumpulan pelajar memukul empat rakan sekolah mereka di satu kawasan kebun sawit di Tawau, Sabah semalam.
TAWAU: Polis sedang mengesan sekumpulan pelajar sekolah yang dipercayai memukul seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di Jalan Sri Delima, Merotai Besar, di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Tawau Wilynton Enchana Watt berkata kejadian berlaku pada 12 tengah hari ketika mangsa bersama-sama tiga rakannya dalam perjalanan ke Masjid Merotai Besar untuk menunaikan solat sebelum dihampiri sekumpulan pelajar sekolah yang dikenalinya.

“Difahamkan, kumpulan pelajar ini bertanyakan tentang keberadaan dua individu, kemudian seorang daripadanya memukul mangsa dan beberapa lagi pelajar daripada kumpulan itu turut memukul mangsa.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan di bahagian muka, kepala, dada dan rusuk sebelum membuat laporan polis pada 8.09 malam dan dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut, tiga rakan mangsa turut dipukul,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Chong Fung Mee menerusi talian 013-8840013 atau hadir ke balai polis berdekatan,” katanya.

Wilynton berkata pihaknya memandang serius sebarang bentuk keganasan atau perbuatan samseng, khususnya melibatkan pelajar sekolah, dan orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang menjejaskan siasatan polis.

Kandungan tidak senonoh, ATM siasat video disyaki anggota Tentera Darat

HARRITH HISHAM
Tangkap layar video yang dimuat naik seorang individu sambil memakai uniform Tentera Darat.
PETALING JAYA – Angkatan Tentera (ATM) akan menjalankan siasatan berhubung video tular di media sosial yang didakwa dimuat naik oleh anggotanya dengan kandungan tidak senonoh.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai hantaran tersebut dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan tersebut.

“(Pihak ATM) akan jalankan siasatan lanjut,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai satu akaun TikTok didakwa milik seorang anggota Tentera Darat yang memuat naik video sambil memakai uniform.

Berdasarkan hantaran itu, video berkenaan disertakan dengan kapsyen yang disifatkan tidak senonoh, sekali gus mencetuskan kritikan terhadap imej ATM. – KOSMO! ONLINE

Bumbung pusat tuisyen runtuh 14 murid maut

Bernama

Mangsa yang maut berusia antara tujuh hingga 12 tahun manakala seorang guru wanita berusia 30 tahun turut cedera dalam kejadian di bandar Lahore.
Sekurang-kurangnya 14 murid maut manakala beberapa yang lain cedera selepas bumbung sebuah pusat tuisyen swasta runtuh di bandar Lahore, Pakistan. (Gambar AFP)
KARACHI: Sekurang-kurangnya 14 murid maut manakala beberapa yang lain cedera selepas bumbung sebuah pusat tuisyen swasta runtuh di bandar Lahore, timur laut Pakistan pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.

Ketika kejadian, antara 35 hingga 40 murid berada di pusat tuisyen di Kahna, sebuah kawasan pinggir bandar berpendapatan rendah di Lahore.

Menteri Kesihatan Wilayah Punjab, Khawaja Imran Nazir berkata lebih sedozen murid berjaya diselamatkan daripada timbunan runtuhan, manakala lima lagi sedang menerima rawatan di hospital.

Jurucakap Hospital Kahna mengesahkan bahawa 19 mangsa, kebanyakannya murid, dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan daripada jumlah itu, 14 disahkan meninggal dunia.

Mangsa yang maut berusia antara tujuh hingga 12 tahun. Seorang guru wanita berusia 30 tahun turut cedera.

Pihak berkuasa penyelamat percaya sekurang-kurangnya tujuh murid masih terperangkap di bawah timbunan runtuhan.

Rakaman yang disiarkan beberapa stesen penyiar tempatan menunjukkan anggota penyelamat menggunakan jentera ringan dalam operasi mencari dan menyelamat.

Polis telah menahan dua individu, termasuk pemilik pusat tuisyen berkenaan.

Kelantan: Pemandu maut, lori bawa muatan baja jatuh gaung

AIMUNI TUAN LAH
Keadaan lori dipandu mangsa yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 45 meter di Jambatan Pos Blau-Lojing dekat Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
GUA MUSANG – Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan berat membawa muatan baja yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam lebih 45 meter di Jambatan Pos Blau-Lojing dekat Jalan Gua Musang-Lojing di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.58 pagi.

Katanya, seramai sembilan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 98 kilometer dari balai.

“Pasukan operasi tiba di lokasi pada pukul 1.59 tengah hari sebelum mendapati sebuah lori 10 tan yang membawa muatan baja terjatuh ke dalam gaung berhampiran kebun dengan anggaran kedalaman lebih 45 meter.

“Operasi mengeluarkan mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an mengambil masa kira-kira tiga jam berikutan keadaan muka bumi yang curam selain mangsa tersepit di bawah sebatang pokok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Azrul Izzham memberitahu, anggota bomba menggunakan gergaji rantai bagi mengalihkan batang pokok yang menghempap mangsa.

Menurutnya, lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut punca kemalangan masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Terengganu: Mayat wanita dipercayai terjatuh dari jambatan ditemukan

Rosli Ilham
Pasukan penyelamat mengangkat mayat mangsa ditemui lemas hari ini.- Foto NSTP
DUNGUN: Mayat wanita yang dipercayai terjatuh dari jambatan di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) ditemukan pagi ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat berkata, mayat Nor Haslini Din, 47, yang mengalami masalah mental ditemukan pasukan penyelamat jam 10.30 pagi.

Menurutnya, mayat ditemukan dalam keadaan terapung dan tersangkut pada ranting pokok.

“Mangsa dilaporkan terjatuh dari jambatan pada ketinggian 45 meter, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

“Pasukan penyelamat yang menyambung operasi pencarian pagi ini akhirnya menemui mayat kira-kira 200 meter dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh,” katanya.

Ab Halim berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai 38 anggota daripada pelbagai agensi termasuk penduduk kampung.

“Mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Din Zakaria, 77, berkata, dia bersyukur mayat anak bongsunya itu ditemui dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu.

Menurutnya, dia sangat sedih kerana gagal menyelamatkan anaknya yang terjatuh dari jambatan yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah itu.

“Saya bergegas bila nampak anak terjatuh dari jambatan itu. Dia terkapai-kapai ketika dihanyutkan arus deras.

“Saya segera menghubungi pihak berkuasa memaklumkan kejadian itu untuk meminta bantuan,” katanya.

Polis kesan lelaki dipercayai liwat, cabul dua pelajar

Bernama

Polis sedang menjalankan siasatan dan mengesan seorang lelaki yang didakwa melakukan jenayah liwat dan cabul terhadap dua pelajar sebuah kolej di Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Sarudin Samah berkata pihaknya menerima laporan daripada dua remaja lelaki berusia 15 tahun yang juga pelajar sebuah kolej di sekitar Glenmarie, melibatkan seorang individu dipercayai pekerja kolej itu, semalam.

“Mangsa pertama mengatakan telah dicabul ketika berada di tandas asrama kolej, manakala seorang lagi mangsa mendakwa diliwat ketika berada di rumah suspek yang sama di Seksyen 18, di Shah Alam.

“Suspek telah dikenal pasti dan dipercayai warga tempatan berusia 30-an. Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau kesalahan amang seksual terhadap kanak-kanak. Usaha mengesan dan menahan suspek sedang giat dijalankan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sarudin berkata kes pertama disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala satu lagi kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Susulan itu, beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mohd Razi Sahari menerusi talian 019-5717076 dan Inspektor Muhamad Zamri Abdul Rahman melalui talian 0111-6652402.

- Bernama

Puad Zarkashi umum sokong calon PH di Rengit

Malaysiakini 

PRN JOHOR | Bekas Adun Rengit, Mohd Puad Zarkashi yang keluar dari Umno hari ini mengumumkan sokongan terbuka kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri.

Sokongan bekas speaker DUN Johor itu diumumkan menerusi poster kempen yang dimuat naik di Facebooknya, ketika bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu kini tidak lagi bersama parti berkenaan.

Melalui poster itu, Puad berkata pilihannya kali ini dibuat berdasarkan peribadi calon, bukan lagi atas faktor parti.

"Sekarang saya tidak berparti. Saya pilih calon kerana peribadi calon. Justeru saya pilih saudara Yazid kerana...," katanya.

Puad kemudian menyenaraikan lima alasan menyokong Mohamad Yazid, antaranya calon itu merupakan anak jati Rengit, menetap di kawasan berkenaan, mempunyai rumah di Rengit serta menjadi pengerusi sebuah surau di kawasan itu.

Poster berkenaan turut membawa slogan "Orang Rengit Jaga Rengit", selain memaparkan nombor calon dan lambang PH bagi menggesa pengundi memberikan sokongan kepada Mohamad Yazid.

Langkah Puad itu menambah warna kepada saingan di Rengit selepas dia sebelum ini mengumumkan keluar daripada Umno berkuat kuasa serta-merta.

Puad mendakwa Umno tidak lagi bebas membuat keputusan dan ‘dikawal’ pihak istana.

Puad: ‘Calon BN caca-marba’

Umno pula sebelum ini mendakwa tindakan Puad keluar parti ada kaitan dengan tuntutan peribadinya supaya anaknya dicalonkan menggantikan dia di Rengit tidak dipenuhi kepimpinan parti.

Kerusi N25 DUN Rengit menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohamed Yazid Bakri dari PH-Amanah, Syed Mohamad Syed Alwi dari PN-Bersatu dan Zaidi Japar dari BN-Umno, dengan jumlah pemilih berdaftar seramai 27,608 orang.

Terdahulu, Puad turut mengkritik senarai calon BN dan Umno pada PRN Johor kali ini, dengan mendakwa parti itu menampilkan ramai calon “caca-marba dan kitar semula” serta gagal mencerminkan aspirasi anak muda.

Dalam kenyataan selepas proses penamaan calon selesai, Puad berkata senarai calon Umno gagal memenuhi tuntutan generasi baru dalam parti tersebut.

Sebelum ini, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, menegaskan parti itu bukan milik "anak beranak" susulan dakwaan Puad yang tidak berpuas hati terhadap pemilihan calon.

Akmal berkata dakwaan Puad bahawa Umno Johor tidak lagi memenuhi aspirasi golongan muda adalah tidak berasas, memandangkan ramai calon muda diketengahkan BN pada PRN Johor kali ini.

Bagaimanapun, Puad mempersoalkan keputusan Umno menampilkan semula beberapa nama lama, termasuk Abdul Halim Suleiman di Tiram, Dr Adham Baba, Samsolbari Jamali, Alwiyah Talib, Azhar Ibrahim, Zaidi Jaafar dan Youzaimi Yusof.

Menurut Puad, sebahagian calon terbabit pernah kalah dalam pilihan raya sebelum ini, selain ada yang sudah lama menjadi wakil rakyat atau baru menyertai semula Umno.

Dalam reaksi balas, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin mempertahankan keputusan BN menampilkan gabungan calon berpengalaman dan muka baru pada PRN Johor.

Menurut Khaled, pendekatan itu paling sesuai dalam suasana politik dan pentadbiran yang semakin mencabar.

Dia berkata dakwaan bahawa BN terlalu banyak mengetengahkan calon “kitar semula” tidak wajar dilihat secara mudah, sebaliknya perlu difahami dalam konteks keperluan memastikan kesinambungan kepimpinan serta pengalaman dalam mentadbir negeri.

Khaled turut berkata menurunkan semua calon baru dalam pilihan raya kali ini boleh menjadi langkah berisiko kerana kerajaan negeri memerlukan barisan pemimpin yang mampu terus bekerja sebaik diberi mandat.

Mahfuz Omar: Dulu kami dipanggil jebon kerana halang Pas-Umno, hari ini siapa jebon yang sebenar?

Harapandaily

DATUK MAHFUZ OMAR

Selama 34 tahun saya berada dalam Pas. Saya pernah memimpin Pemuda Pas, menjadi Ketua Penerangan dan Naib Presiden. 

Saya naik pentas siang malam, berceramah melawan Umno dan meminta orang kampung menderma atas nama perjuangan Islam.

Apabila kami mula nampak Pas sedang dibawa perlahan-lahan menuju Umno kami tegur. 

Kami bantah kerana kami tidak mahu perjuangan yang dibina puluhan tahun akhirnya diserah begitu sahaja kepada parti yang selama ini diminta ahli Pas lawan.

Pemimpin Pas tidak menjawab perkara yang kami bangkitkan. Mereka pilih jalan paling mudah. 

Mereka panggil kami jebon, burukkan nama kami dan tanam kebencian dalam kalangan ahli supaya penjelasan kami tidak lagi mahu didengar.

Kami difitnah bukan kerana mengkhianati Pas. Kami difitnah kerana cuba menghalang Pas daripada mengkhianati perjuangannya sendiri. Kami baru menghalang pintu menuju Umno pun sudah dihukum sebagai pengkhianat.

Saya tidak salahkan ahli Pas yang pernah memanggil kami jebon. Mereka percaya kepada cerita yang dibawa oleh pemimpin. Kami pun dahulu percaya kepada pemimpin. Bezanya, kami nampak lebih awal ke mana Pas sedang dibawa.

Hari ini Pas sendiri sudah berdiri di depan pintu yang sama. Dahulu, baru nampak bayang Umno pun kami dihina dan dibuang. 

Hari ini apabila Pas sendiri mahu membuka jalan kepada Umno, tiba-tiba perkara yang sama diberi nama penyatuan ummah.

Kalau strategi politik sudah berubah, cakaplah strategi sudah berubah. Jangan ketika mahu melawan Umno, ia dicat sebagai perjuangan Islam. 

Apabila mahu bersama Umno keputusan yang bertentangan itu juga dicat dengan agama. Agama bukan getah yang boleh ditarik ke kiri dan ke kanan mengikut kehendak politik.

Kalau bersama Umno hari ini dianggap betul, pemimpin Pas wajib menjawab apakah dosa kami dahulu sehingga dihina, difitnah dan digelar Jebon kerana cuba menghalang perkara yang sama. 

Jangan kata keputusan dahulu betul dan keputusan hari ini pun betul. Dua jalan yang bertentangan tidak boleh kedua-duanya dihukum sebagai perjuangan Islam hanya kerana pemimpin yang berkata demikian.

Sebab itu saya melihat corak yang sama sedang berulang terhadap Bersatu. Dahulu kami diburukkan sebelum ditinggalkan. 

Hari ini Bersatu pula diburukkan apabila dianggap menghalang kehendak politik Pas. Rosakkan nama kawan dahulu, selepas itu mudahlah hendak meninggalkannya.

Jangan kata kami keluar kerana kecewa tidak mendapat jawatan. Kalau jawatan yang saya kejar, jalan paling mudah ialah diam, angguk dan kekal dalam Pas. 

Saya memilih keluar kerana saya tidak sanggup mengiyakan perkara yang saya percaya salah.

Saya tidak minta sesiapa percaya kepada saya hanya kerana nama saya Mahfuz Omar. Lihat sendiri perjalanan kami. Lihat juga perjalanan Pas. Apa yang kami beri amaran dahulu, hari ini sedang berlaku satu demi satu di depan mata ahli Pas sendiri. Pas sedang menjual undi ahlinya kepada Umno.

Kami tidak meninggalkan perjuangan. Tapi kami enggan mengikut apabila perjuangan itu mula dikhianati oleh pemimpinnya sendiri.

Kami yang menghalang Pas dibawa kepada Umno dipanggil jebon. Hari ini Pas sendiri membuka jalan kepada Umno. Maka sebelum menuduh orang lain, jawab dahulu: Siapa sebenarnya yang meninggalkan perjuangan, dan siapa jebon yang sebenar?

Israel didakwa rancang bunuh perunding Iran ketika rundingan gencatan senjata berlangsung

Buletin TV3
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibaf (kiri), dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi. – Foto AFP
WASHINGTON: Israel didakwa merancang untuk membunuh perunding utama Iran ketika rundingan gencatan senjata berlangsung pada musim bunga lalu, menurut seorang pegawai Amerika Syarikat (AS), lapor The New York Times.

Laporan itu menyebut kebimbangan Washington tertumpu kepada Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dan Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibaf, yang dipercayai menjadi sasaran sekitar April ketika rundingan semakin rancak.

Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump dilaporkan sangat bimbang sehingga meminta negara-negara di rantau itu memberi amaran kepada Tehran mengenai kemungkinan serangan terhadap kedua-dua pegawai berkenaan.

AS juga menggesa Israel supaya tidak meneruskan rancangan itu selepas menerima maklumat bahawa Qalibaf berada dalam senarai sasaran.

Iran pula dilaporkan meminta jaminan melalui perantara Pakistan dan Qatar bahawa delegasi mereka tidak akan disasarkan semasa rundingan diplomatik berlangsung.

Dalam satu insiden pada April, penerbangan pulang Qalibaf dari Islamabad dilencongkan ke Mashhad selepas pasukan keselamatan Iran mengesan dua jet Israel memasuki ruang udara negara itu.

Walaupun begitu, kedua-dua Qalibaf dan Araghchi meneruskan lawatan diplomatik ke Qatar dan Switzerland pada Mei bagi rundingan damai.

Kedutaan Israel di Washington enggan mengulas dakwaan berkenaan, manakala motif Israel dikatakan tidak mahu perang dihentikan dan sebaliknya mahu meneruskan tekanan ketenteraan terhadap Iran dan Hizbullah di Lubnan.

Laporan itu turut menyebut perbezaan pendirian antara AS dan Israel, dengan Washington lebih cenderung kepada usaha damai sementara Israel dilihat lebih berhati-hati terhadap gencatan senjata.

Seorang pegawai AS berkata rundingan antara kedua-dua pihak masih diteruskan dan Presiden JD Vance mahu proses damai itu berjalan seperti dirancang.

Qalibaf dilaporkan hampir maut dua kali sejak 2025 dalam insiden konflik berasingan, termasuk ketika beliau diselamatkan dari runtuhan.

Kedua-dua pemimpin Iran itu sebelum ini dilaporkan berada dalam senarai sasaran Israel sejak Mac, namun dikeluarkan selepas desakan AS apabila rundingan bermula. – AGENSI

Kelantan: 13 PATI ditahan masuk Malaysia guna lorong tikus

NURUL IZZATI ZAINI
Antara PATI yang ditahan selepas cuba memasuki Malaysia menggunakan jalan tikus di sekitar Kota Bharu, Kelantan. Foto JIM.
PETALING JAYA – Cubaan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyelinap masuk ke negara ini melalui laluan haram atau lorong tikus di sempadan Kelantan gagal selepas mereka diberkas Jabatan Imigresen (JIM), semalam.

Lebih membimbangkan, siasatan awal mendapati terdapat antara mereka yang ditahan dipercayai pernah disenarai hitam daripada memasuki Malaysia, namun masih cuba menggunakan laluan tidak diwartakan bagi mengelak pemeriksaan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi khas bermula pukul 5.10 pagi itu dijalankan di dua lokasi sekitar Kota Bharu, Kelantan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya.

Menurut beliau, operasi berkenaan melibatkan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama JIM Kelantan serta kerjasama strategik Unit Risik Marin, MO PPM W3 Pengkalan Kubor, Tumpat.

“Berdasarkan maklumat awam serta risikan yang dijalankan, pasukan operasi menyerbu lokasi pertama di sekitar terminal bas dan menahan lapan lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki serta seorang wanita warga Indonesia.

“Di lokasi kedua iaitu sekitar kawasan perumahan, pasukan operasi berjaya menahan seorang wanita warga Myanmar walaupun suspek cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, kesemua individu yang ditahan berusia lingkungan 22 hingga 55 tahun, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 13 orang.

Katanya, pemeriksaan lanjut turut membawa kepada rampasan lapan pasport Bangladesh dan Indonesia serta sebuah kenderaan jenis Proton Preve yang dipercayai digunakan bagi memudahkan pergerakan warga asing terbabit.

“Siasatan awal mendapati terdapat antara mereka yang ditahan dipercayai disenarai hitam daripada memasuki Malaysia, namun bertindak menggunakan laluan yang tidak diwartakan bagi mengelakkan pemeriksaan imigresen.

“Kesemua warga asing tersebut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam masa sama, Zakaria menegaskan JIM akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan bagi mengekang sebarang cubaan kemasukan warga asing secara tidak sah, termasuk melalui laluan tikus di kawasan sempadan.

“JIM akan terus komited dalam membanteras sebarang aktiviti penyeludupan migran dan akan mempergiatkan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan, kedaulatan serta kesejahteraan negara terus terpelihara,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Politik baharu Umno ‘setia-kawan sambil boleh-lawan’

Tajuddin Rasdi

Politik adalah suatu kerja efisien atau kerja durjana.

Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada Umno di atas pendidikan politik yang saya dapat dari parti veteran itu. Parti itu mengajar saya, seorang profesor universiti awam dan swasta bahawa sesebuah parti politik boleh berkawan dalam sebahagian situasi kerja sambil bermusuh dengan parti ‘kawan’ itu pada situasi kerja lain.

Barulah saya faham bahawa Akmal Saleh boleh terjerit-jerit maki hamun DAP tetapi orang besar Umno duduk diam macam tak setuju tetapi rupa-rupanya taktik politik kayu dua. Macam kita lafaz cinta kepada isteri tetapi dengan girlfriend kita peluk cium lebih lagi. Sekarang Umno telah expand the body of knowledge and practice of Malaysian politics!

Umno sambil duduk semeja di pejabat perdana menteri minum teh tarik tetapi waktu sama anak buah di Johor declare pilihan raya dan nak bertanding solo. Anak buah di Johor dah cakap tak mahu kongsi Johor dengan sesiapa pun. Jadi PH rupanya dah jadi musuh yang mungkin kena baca Qunut Nazilah. Tetapi teh tarik tetap order kat pejabat PM. Nak buat teruk lagi Onn Hafiz Ghazi si ketua anak buah di Johor anggap DAP macam kucing kurap agaknya sebab dia tak nak duduk semeja. Apa makna ni?

Saya kira ini signal. Bukan saja kepada presiden Umno semacam pijak kepala tetapi semboyan perang untuk berpecah dengan PH.

Umno Negeri Sembilan pula tarik sokongan dari kerajaan Madani. Ada cerita Umno dah nak submit SD bersama PN untuk buat kerajaan tetapi menteri besar counter dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri. Jadi Umno dah menunjukkan ia sanggup bekerjasama dengan musuhnya, Perikatan Nasional.

Ada lagi cerita ‘setia-kawan sambil boleh-lawan’. Tup-tup Umno cari isteri kedua iaitu PAS, parti yang ada banyak fatwa tentang kerjasama politik. Tak lama dulu haram undi Umno tetapi sekarang undi Umno semacam wajib pula, kalau ikut kenyataan Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man. Satu soalan saya kalau PH bertembung dengan Bersatu dan Umno, apa macam? Pengikut PAS wajib undi Umno atau Bersatu? Bukankah PAS dah bercerai dengan Bersatu?

Kalau penyokong PAS asyik undi Umno, siapa nak undi MIPP? Tun Mahathir dah bagi isyarat Melayu patut undi Melayu. Hadi dah bagi isyarat kekalkan kepimipinan Melayu-Islam. Nak berijtihad macam mana lagi? Wow, hebat fatwa PAS dan hebat lagi MoU jenis Umno ini.

Dalam episode PRN Johor ini saya juga belajar yang kalau nak jadi ahli politik muka kena tebal seinci atau dua inci. Apa yang dikatakan simpulan bahasa Melayu sebagai muka tembok mungkin bermakna tembok kayu, tetapi Umno mempunyai muka tembok reinforced concrete. Ahli politik boleh minum teh tarik dengan satu kawan tetapi boleh juga minum teh halia, teh O, teh limau dan teh asam jawa dengan sepuluh kawan politik lain at the same time.

Parti Bersama Malaysia tak mahu berkawan dengan sesiapa pun. Rafizi Ramli patut belajar daripada Umno kalau nak menang bahawa you can make friends with anyone including your enemies while still berkawan dengan your present friend.

Maka itu, sebagai ahli akademik, saya namakan kaedah Umno ini sebagai ‘politik muka tebal’ sebab untuk berjaya mesti tak malu bekerjasama dengan sesiapa any time any place, and at the same time boleh lawan kawan parti itu. Sebelum menang pilihan raya maka sesebuah parti politik perlu buat apa saja, kerjasama dengan sesiapa saja, janji parti itu boleh menang. Bila dah menang kita buka cerita lain lah pula.

Politik adalah suatu kerja efisien atau kerja durjana. Kedua-dua istilah tersebut tidak ada nilai apa pun dalam pilihan raya dan juga mengurus kerajaan. Ketaatan atau loyalty is the least valued currency dalam konteks politik Malaysia. Anything can happen, will happen and is already happening pun.

Syabas Umno, hidup dulu, kini dan forever pun tak apa.

PAS ‘licik’ dengan Bersatu di PRN Johor

FMT Reporters

PETALING JAYA: Penganalisis politik percaya PAS belum memutuskan sepenuhnya kerjasama dengan Bersatu kerana parti itu dilihat cuba bertindak strategik menguruskan hubungan tersebut demi memaksimumkan keuntungan pilihan raya mereka.

Naib Presiden Bersekutu The Asia Group, Asrul Sani, berkata setakat ini tindakan PAS seolah membayangkan mereka tidak terburu-buru melakukan perpisahan organisasi secara menyeluruh dengan Bersatu, parti yang turut bersama mengasaskan Perikatan Nasional (PN).

“PAS sedang memisahkan retorik daripada strategi pilihan raya. Mereka mahukan faedah politik daripada menjarakkan diri dengan Bersatu tanpa perlu menanggung sepenuhnya kesan pilihan raya akibat perpecahan mutlak.

“PAS kini menjadi kuasa dominan dalam PN dengan jentera, keahlian, dan operasi pilihan raya yang lebih kuat, terutama di kawasan kubu kuat Melayu. Nilai Bersatu pula lebih terarah kemampuannya menarik segmen masyarakat Melayu yang mungkin menyokong PN, namun tidak selesa mengundi PAS secara langsung.

“Itu menjadikan Bersatu masih berguna di beberapa kerusi walaupun hubungan mereka semakin tegang,” katanya kepada FMT.

Mengambil kira dua parti itu bertanding atas tiket PN di Johor, Asrul berkata, mengekalkan Bersatu sebagai sekutu di atas kertas turut memberi ruang kepada PAS merundingkan semula hubungan itu selepas PRN, sementara mengejar penjajaran berbeza menjelang PRU.

Asrul berkata, ia berupa langkah lebih strategik PAS, sambil menambah parti dipimpin Hadi Awang sejak 2002 itu, sentiasa menganggap pakatan sebagai satu alat, bukannya satu pegangan.

Pada akhir mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada Isnin lalu, PAS mengumumkan tidak membuat sebarang keputusan mengenai Bersatu, bertentangan jangkaan awal bahawa parti akan memutuskan mahu menyokong komponen PN itu atau tidak pada PRN Johor.

Sebaliknya, PAS sekadar menyatakan akan ‘mempertahankan kuasa politik Melayu-Islam’ pada PRN tersebut, sambil menyeru pengundi tidak menyokong Pakatan Harapan (PH).

‘Belang sebenar terbongkar lepas PRN Johor’

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata Johor hubungan PAS dan Bersatu di Johor dianggap sesuatu sukar dilihat berlaku, memandangkan Bersatu mempunyai kekuatan lebih besar di kawasan Selatan.

Mengambil kira fakta Johor merupakan negeri asal Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, di mana negeri itu pernah diterajuinya selama sembilan tahun sebagai menteri besar, Oh berkata, PAS jauh lebih bergantung kepada sokongan Bersatu di Johor, berbanding di negeri lain.

“Jadi, demi memaksimumkan peluang untuk menang, PAS tidak mampu menimbulkan kemarahan Bersatu buat masa ini. Apabila PRN Johor tamat, baharulah tindakan lebih agresif mungkin diambil dan PAS akan benar-benar menunjukkan belangnya kepada Bersatu.”

Dalam pada itu, Asrul berkata, tindakan memutuskan hubungan sepenuhnya dengan Bersatu membawa risiko pemecahan undi Melayu, yang akhirnya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) atau PH.

Namun, beliau berkata, ujian utama kepada hubungan PAS-Bersatu adalah PRN Negeri Sembilan, di mana Parti Wawasan Negara (Wawasan) pimpinan Hamzah Zainudin berhasrat membuat kemunculan sulung.

“Andai Wawasan boleh meraih undi mencukupi untuk PN dengan sokongan PAS, Bersatu berisiko tidak lagi diperlukan dalam ekosistem pembangkang.

“Tetapi, jika Bersatu kekal relevan pada pilihan raya dan bersaing sengit tanpa sokongan PAS, PAS mungkin masih perlu menguruskan hubungan itu di sebalik keretakan yang berlaku,” katanya.

Lelaki maut ditikam rakan selepas bertengkar ketika mabuk

Juwan Riduan
Pasukan forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian kes tikam hingga mati di belakang bilik pameran kenderaan di Ir
KOTA KONABALU: Pertengkaran ketika mabuk selepas minum minuman keras membawa padah apabila seorang lelaki warga asing maut ditikam empat kali oleh rakannya di sebuah tapak pembinaan di belakang bilik pameran kenderaan di Iramanis, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 34 tahun dipercayai sempat berjalan sebelum ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah lubang pembetung berhampiran lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, maklumat diterima pada jam 1.40 pagi sebelum laporan polis dibuat pada jam 2.23 pagi.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dan suspek lelaki berusia 36 tahun keluar ke Penampang pada sebelah pagi untuk minum minuman keras sebelum kedua-duanya pulang ke rumah kongsi jam 11 malam.

“Siasatan mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek yang dipercayai berpunca daripada salah faham ketika mereka dalam keadaan mabuk.

“Mangsa dipercayai terlebih dahulu memukul suspek menggunakan kayu di bahagian kepala sebelum suspek bertindak balas dengan menikam mangsa sebanyak empat kali menggunakan pisau pemotong sayur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian melarikan diri, manakala mangsa yang cedera parah dipercayai sempat berjalan sebelum ditemukan di dalam lubang pembetung berhampiran lokasi kejadian.

Beliau berkata, pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah sudah menjalankan pemeriksaan di lokasi, manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Usaha mengesan dan menangkap suspek serta merampas senjata yang digunakan sedang giat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan (ASP) Syed Abdul Rahman Syed Mohsin di talian 012-310 6882 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Lapan sami Buddha terkorban lori pikap rempuh kumpulan penziarah keagamaan

Bernama
Lapan sami Buddha terkorban manakala 14 yang lain cedera selepas sebuah lori pikap yang dipandu oleh seorang remaja bawah umur merempuh sekumpulan sami yang sedang dalam perjalanan keagamaan di Wilayah Mukdahan, timur laut Thailand pada Khamis. - Foto REUTERS
BANGKOK: Lapan sami Buddha terkorban manakala 14 yang lain cedera selepas sebuah lori pikap yang dipandu oleh seorang remaja bawah umur merempuh sekumpulan sami yang sedang dalam perjalanan keagamaan di Wilayah Mukdahan, timur laut Thailand pada Khamis.

Pihak berkuasa Mukdahan memaklumkan bahawa kumpulan sami berkenaan sedang berjalan kaki untuk ke Daerah Nam Khun di wilayah jiran, Ubon Ratchathani apabila kemalangan itu berlaku, mengorbankan lima sami di tempat kejadian manakala tiga lagi yang cedera parah meninggal dunia di hospital. 

Ketua Kesihatan Awam Wilayah Mukdahan Dr Narong Chankaew berkata empat mangsa mengalami cedera parah manakala 10 lagi mengalami cedera ringan.

Beliau berkata secara keseluruhan seramai 23 pesakit yang terdiri daripada 22 sami dan seorang orang awam telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Gabenor Mukdahan Warayan Boonnarat berkata siasatan awal mendapati kumpulan sami berkenaan memulakan perjalanan kira-kira 11 pagi dan berjalan menentang arus trafik di Jalan Ban Na Si Nuan di Daerah Mueang, selaras dengan amalan keselamatan pejalan kaki.

Warayan berkata saksi memaklumkan pihak berkuasa bahawa lori pikap berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

Lima sami yang berada di kedudukan paling hadapan sempat mengelak kenderaan itu, namun ia merempuh baki kumpulan sami lain yang sedang berjalan kira-kira dua meter dari pinggir jalan.

Komander Polis Wilayah Mukdahan Mejar Jeneral Polis Phairoj Thaiputra berkata pemandu kenderaan itu, yang berusia di bawah 15 tahun, telah ditahan.

Beliau berkata penyiasat sedang mengumpul bukti dan menyoal siasat ibu bapa pemandu terbabit bagi menentukan punca sebenar kemalangan, sambil menambah tindakan undang-undang akan diambil sewajarnya.

"Polis juga sedang mempertimbangkan sama ada ibu bapa remaja itu boleh berdepan pertuduhan cuai kerana membenarkan pemandu bawah umur menggunakan kenderaan berkenaan," katanya.

Susulan kemalangan itu, Hospital Mukdahan telah merayu sumbangan darah daripada orang ramai bagi membantu rawatan mangsa yang cedera.

-- BERNAMA 

Pasangan kekasih dirotan 21 kali gara-gara bercium dalam video TikTok

KOSMO!
SEKUMPULAN wanita melihat sepasang kekasih menjalani hukuman rotan di Banda Aceh hari ini. – AFP
JAKARTA – Pihak berkuasa  Aceh merotan  secara terbuka  sepasang kekasih  hari ini,  seperti yang disaksikan wartawan AFP, selepas mereka  bercium dalam rakaman  video yang dimuat naik  di media sosial.

Lelaki dan wanita  yang umur mereka tidak didedahkan itu masing-masing menerima 21 sebatan rotan di sebuah taman awam di ibu kota wilayah Aceh, Banda Aceh.

Berpuluh-puluh orang  menyaksikan hukuman rotan itu, dengan segelintir daripada mereka meminta pegawai yang melaksanakan hukuman supaya ‘mengenakan sebatan dengan lebih kuat’, demikian  menurut pemerhatian wartawan AFP.

Pasangan itu dilaporkan kepada pihak berkuasa selepas mereka dilihat bercium semasa siaran langsung di aplikasi video TikTok. Insiden itu mengundang siasatan sehingga membawa kepada hukuman mereka, kata ketua polis syariah Banda Aceh,  Muhammad Rizal, kepada pemberita hari ini.

“Mereka jelas melanggar syariat Islam,” kata Rizal  sambil menambah, ini kali pertama di wilayah Aceh di mana orang ramai dihukum kerana melanggar undang-undang syariah melalui media sosial.

Tindakan kemesraan fizikal seperti bercium, berpelukan atau bersentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram  adalah dilarang di Aceh, satu-satunya wilayah di Indonesia yang menguatkuasakan versi undang-undang Islam. – AFP

Kelantan: Remaja maut dihempap pokok kelapa ketika ribut

ROHANA MOHD. NAWI
Keadaan mangsa selepas dihempap sebatang pokok kelapa dalam kejadian ribut di Kampung Permatang Pasir, Gunong dekat Bachok, hari ini. Foto IHSAN PENDUDUK
BACHOK – Seorang remaja maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang mereka naiki dihempap sebatang pokok kelapa reput ketika kejadian ribut di Kampung Permatang Pasir, Gunong di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Nik Mohd. Haikal Abdul Rahim, 17, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss, meninggal dunia di lokasi kejadian dan rakannya, Ahmad Iqbal Mukmin, 17, dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian selepas mengalami kecederaan parah pada kepala selain badan.

Seorang penduduk, Nor Azman Mohamad, 52, berkata, mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Bukit Cendol, Gunong di sini selepas berjumpa dengan rakannya.

Katanya, dia menerima maklumat mengenai kejadian itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati Nik Mohd. Haikal sudah meninggal dunia.

“Sebatang pokok kelapa yang reput tumbang akibat dibadai ribut sebelum menghempap motosikal dinaiki kedua-dua remaja itu.

“Ahmad Iqbal yang merupakan rakan mangsa dikatakan masih menggunakan tongkat apabila terlibat kemalangan jalan raya sebelum ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu. – KOSMO! ONLINE

Ketua Pemuda Umno ‘kantoi’ bab KDNK, saiz ekonomi dan pertumbuhan pun tak reti beza

Harapandaily

HARRIS NASRIL

“Nak jadikan Johor macam Selangor dan Pulau Pinang ni macam pelik pula. KDNK Johor nombor satu, 8 peratus. Kenapa nak jadikan tangga kedua atau ketiga?”

Itu soalan Dr. Akmal dalam satu video yang dimuat naik di Facebook beliau pagi tadi.

Beliau mengulas kenyataan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Senggarang, Onn Abu Bakar. Jangan keliru dengan Datuk Onn Hafiz pula, ya.

Sebelum ini, Onn Abu Bakar dilaporkan berkata, dengan pengalaman yang ada di Selangor dan Pulau Pinang, beliau yakin PH mampu membantu membangunkan Johor dengan lebih baik daripada keadaan sekarang.

Jadi, betulkah dakwaan Dr. Akmal itu?

Betulkah KDNK Johor lebih tinggi daripada Selangor dan Pulau Pinang?

Jawapannya mudah. Tidak benar.

Dr. Akmal sebenarnya tersilap. Barangkali beliau keliru antara nilai KDNK (keluaran dalam negara kasar) dengan kadar pertumbuhan KDNK.

Mari kita rujuk semula kenyataan DOSM semalam.

“Semua negeri mencatat pertumbuhan ekonomi positif pada 2025, dengan Johor 8.0%, Pulau Pinang 7.3%, Selangor 6.3% dan Perak 5.7%, mengatasi kadar pertumbuhan nasional 5.2%.”

Melalui kenyataan itu, MB Johor Onn Hafiz juga mengeluarkan satu jadual semalam dengan memetik angka pertumbuhan negeri-negeri tersebut. (Jadual ini yang disertakan dalam video Yb Akmal)

“Syukur Alhamdulillah. Johor terus mencatat satu lagi pencapaian memberangsangkan apabila merekodkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia bagi tahun 2025, iaitu 8.0 peratus, mengatasi kadar nasional sebanyak 5.2 peratus,” kata Onn Hafiz di Facebook beliau.

Nampaknya Onn Hafiz pun faham.

Yang disebut ialah pertumbuhan KDNK, bukan nilai KDNK.

Tetapi entah macam mana, apabila dipetik oleh Dr. Akmal, “pertumbuhan KDNK nombor satu” terus bertukar menjadi “KDNK Johor nombor satu”.

Itu dua benda berbeza.

Jauh lebih besar

Nak bagi mudah faham, nilai KDNK ini macam jumlah gaji pokok. Pertumbuhan KDNK pula macam peratus kenaikan gaji.

Gaji pokok Selangor masih jauh lebih besar.

Menurut data DOSM, nilai KDNK Selangor ialah yang tertinggi di Malaysia, mencecah RM460.1 bilion.

Selepas itu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan RM265.1 bilion. Johor pula berada di tangga ketiga dengan nilai RM170.9 bilion.

Maksudnya, saiz ekonomi Selangor hampir tiga kali ganda lebih besar daripada Johor.

Cuma pada tahun tersebut, Johor mencatatkan kadar pertumbuhan paling tinggi, iaitu 8.0%.

Dalam bahasa kampung, Johor bukan “gaji paling besar”. Johor cuma “kenaikan gaji paling tinggi” untuk tahun itu.

Jadi, apabila Dr. Akmal kata KDNK Johor sudah nombor satu, kemudian bertanya kenapa mahu jadikan Johor tangga kedua atau ketiga, hujah itu memang kurang tepat dari sudut fakta ekonomi.

Johor memang sedang berkembang laju. Itu bagus. Itu kita akui.

Tetapi jangan pula pertumbuhan 8.0% itu dibaca seolah-olah saiz ekonomi Johor sudah mengatasi Selangor.

Sebagai Ketua Pemuda Umno, Exco Negeri dan pemimpin muda yang selalu bercakap soal fakta, mungkin Dr. Akmal boleh semak semula nasihat yang beliau sebut pada akhir video beliau tadi:

“Sebelum kita buat kenyataan tu, buatlah berdasarkan fakta. Keluarkanlah fakta, baru rakyat boleh lihat kita ni bijak.” – YB Akmal.

Jadi, sekarang bagaimana? Tak pasti jangan kongsi kah? Nampak bijak kah kalau begini?

Penganggur rogol budak 8 tahun, beri RM3 untuk tutup mulut

Bernama

Seorang penganggur dihukum penjara 10 tahun serta dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, tahun lepas.

Hakim Mohd Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Hilmee Kusnan, 49, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas kedua-dua pertuduhan pada hari pertama perbicaraan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 10 tahun dan dikenakan satu sebatan bagi kesalahan merogol, manakala empat tahun penjara serta satu sebatan bagi kesalahan amang seksual fizikal.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 5 Sept 2025.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling selama dua tahun sepanjang tempoh pemenjaraan serta berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman.

Mengikut pertuduhan, Hilmee didakwa merogol kanak-kanak perempuan itu yang berusia lapan tahun di sebuah flat di Cheras di Kuala Lumpur pada 10.30 pagi, 4 Sept 2025.

Dia didakwa mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(2)(e) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan.

Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dikatakan berjalan pulang ke rumah selepas membeli pisang goreng di gerai berhampiran sebelum memasuki lif bersama tertuduh yang tidak dikenalinya.

Tertuduh kemudian menarik tangan mangsa dan membawanya masuk ke rumah sebelum melakukan perbuatan berkenaan.

Selepas kejadian itu, tertuduh menyuruh mangsa pulang ke rumah dan memberi amaran supaya tidak menceritakan perkara tersebut kepada sesiapa, selain memberikan wang RM3 kepada mangsa.

Mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada rakannya, sebelum perkara berkenaan disampaikan kepada ibu rakannya dan seterusnya dimaklumkan kepada ibu mangsa. Ibu mangsa kemudian membawa kanak-kanak itu ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias memohon hukuman berat dengan mengambil kira trauma dialami mangsa selain kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Sementara itu, peguam bela Dr Mohamad Ismail Yunus merayu hukuman minimum dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan menghidap penyakit kencing manis.

- Bernama

Terengganu: Abang didakwa rogol adik kandung berusia 16 tahun

Malaysiakini

Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik kandungnya yang berusia 16 tahun pada Januari dan Jun lepas.

Tertuduh yang berusia 25 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, pekerja kedai perkakasan itu didakwa merogol adik kandungnya yang perhubungan mereka tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama atau adat untuk berkahwin.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira 11 malam di Kampung Titian Baru, di Kuala Terengganu pada Januari lepas.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 kali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah sebagai abang kandung didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama pada kira-kira 9 malam, 21 Jun lepas di lokasi sama.

Perbuatan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, selain hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun serta sebatan tidak kurang dua kali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 2 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asymawi Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

- Bernama

Bra, seluar dalam emas, wang RM232 juta ditemukan di rumah ahli politik

KOSMO!
PAKAIAN dalam emas turut dirampas dalam serbuan. - RU News
BAGHDAD – Satu serbuan besar-besaran antirasuah di Iraq membongkar penemuan harta luar biasa, termasuk pakaian dalam yang diperbuat daripada emas, lapor portal berita News Az.

Serbuan itu juga mengakibatkan penahanan 47 individu berprofil tinggi, termasuk ahli parlimen, pegawai kanan, dan penjawat awam. 

Operasi berisiko tinggi itu, yang dilancarkan di bawah arahan kerajaan Perdana Menteri Ali Al-Zeidi, telah mencetuskan kejutan dalam landskap politik negara berkenaan. 

Menurut laporan media daripada haberler.com dan beberapa agensi lain, pasukan keselamatan yang melaksanakan waran geledah di rumah ahli parlimen Hind Al-Abbasi dan telah menemui harta kekayaan yang amat mengejutkan. 

Rampasan yang didakwa itu merangkumi wang tunai sebanyak AS$57 juta (RM232 juta), 27 kilogram emas tulen, dan beberapa helai pakaian dalam yang diperbuat daripada emas. 

Walaupun Hind Al-Abbasi disenaraikan secara rasmi sebagai ahli parlimen di laman web rasmi badan perundangan tersebut, pihak berkuasa Iraq masih belum mengesahkan butiran sensasi yang spesifik ini secara rasmi, lapor News.Az memetik RU News.

Serbuan tersebut dijalankan oleh pasukan keselamatan di Baghdad dan beberapa wilayah lain, menyasarkan penjawat awam yang disyaki terlibat dalam rasuah sistemik dan penyalahgunaan dana awam secara meluas.

Sementara itu,  Ali Al-Zeidi menegaskan kembali pendirian pentadbirannya mengenai perkara itu, dengan menyatakan bahawa kerajaan tetap bertekad sepenuhnya untuk meneruskan perjuangan menentang rasuah tanpa sebarang kompromi. 

Beliau menegaskan bahawa siasatan yang sedang dijalankan ini adalah sangat dinamik dan boleh berkembang untuk menyasarkan lebih banyak suspek dalam beberapa hari mendatang. – AGENSI

Trump bakal 'hadiahkan' pengampunan pada Jho Low?

Malaysiakini

Ahli perniagaan buruan pihak berkuasa pelbagai negara, Jho Low, mungkin menjadi seorang antara 250 individu yang dijadualkan menerima pengampunan daripada Presiden AS, Donald Trump, sempena hari kemerdekaan ke-250 negara itu pada 4 Julai.

Menurut laporan The Atlantic, Pras Michel dari kumpulan muzik Fugees juga sedang dipertimbangkan untuk mendapatkan pengampunan berkenaan.

Michel disabitkan kesalahan berkomplot dengan Low dan seorang pegawai kerajaan China untuk mengatur kempen melobi yang bertujuan menghentikan siasatan jenayah AS terhadap skandal 1MDB selepas dana tersebut telah disalahgunakan.

The Atlantic menyatakan wakil Low – atau nama sebenarnya Low Taek Jho – tidak memberi maklum balas terhadap permintaan untuk memberi komen.

“Rumah Putih sedang membincangkan kemungkinan pengumuman pengampunan presiden sebagai inti pati sambutan separuh lima abad negara pada hujung minggu 4 Julai, menurut 14 orang yang biasa dengan perbualan tersebut.

“Idea itu telah digambarkan sebagai '250 pengampunan selama 250 tahun',” lapor media itu.

The Atlantic juga melaporkan penasihat Trump masih berbelah bahagi sama ada mahu mengeluarkan pengampunan besar-besaran untuk memperingati ulang tahun kemerdekaan AS adalah idea yang baik atau tidak.

“Seorang penasihat berkata terdapat tinjauan pendapat yang mencadangkan pengampunan besar-besaran boleh memberi manfaat kepada presiden, tetapi sebarang tindakan tidak mungkin berlaku menjelang Hari Kemerdekaan.

“Penyokong rancangan itu mengatakan bahawa ia akan menggariskan autoriti tunggal presiden dan mengukuhkan imej yang telah lama beliau usahakan: ‘Trump yang penyayang’,” tambahnya.

Terserah kepada AS tentukan

Laporan itu menyatakan kemungkinan pengampunan besar-besaran telah mencetuskan gelombang melobi dan membuat perjanjian antarabangsa, dengan jarak yang sedikit sahaja dengan presiden menjadi boleh dimonetisasi.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Putrajaya tidak akan memfailkan bantahan terhadap permohonan Low untuk mendapatkan pengampunan daripada Trump.

Katanya walaupun Malaysia tidak menyokong percubaan Low, terserah kepada Washington untuk membuat keputusan dan “bukan isu” kepada Putrajaya.

“Kami tidak menyokong laluan itu. Tetapi sudah tentu, ia adalah urusan AS, urusan mereka sendiri," katanya.

Perdana Menteri menambah dia tidak mengetahui tentang permohonan pengampunan tersebut, namun menekankan Low masih perlu menghadapi sistem keadilan di Malaysia.

Low dituduh mendalangi skandal yang menggelapkan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (kira-kira RM17.7 bilion) dana 1MDB, bersama dua bekas pegawai bank dari Goldman Sachs.

Pada 13 Mei, The Wall Street Journal melaporkan permohonan pengampunan Low kepada Trump " selepas hukuman selesai" belum diputuskan.

Pada tahun 2024, Low mencapai penyelesaian dengan Jabatan Kehakiman AS untuk memulangkan AS$100 juta yang dituntut dalam saman pelucutan hak sivil.

Skandal 1MDB juga membawa kepada sabitan dan pemenjaraan bekas perdana menteri Najib Razak – yang juga memohon pengampunan di Malaysia.

Kelantan: 5 warga China cedera kereta jatuh gaung di Machang

Bernama

Semua mangsa yang berusia antara 40 hingga 66 tahun dikejarkan ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Polis berkata kereta dinaiki mangsa dipercayai memasuki satu tapak projek yang masih dalam pembinaan dan belum dibuka kepada orang ramai. (Gambar JBPM)
KOTA BHARU: Lima warga China termasuk dua wanita cedera selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di tapak projek pembinaan di KM 41, Jalan Kota Bharu–Kuala Krai dekat Machang, malam tadi.

Ketua Polis Machang Azuhar Md Nor berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu daripada orang awam kira-kira 12.01 tengah malam.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 11.50 malam membabitkan sebuah Toyota Prius yang dipandu lelaki warga China berusia 66 tahun bersama-sama empat lagi penumpang senegara.

“Semua mereka dalam perjalanan dari Temangan, Machang menuju ke Tok Bali, Pasir Puteh dengan berpandukan aplikasi peta navigasi.

“Kenderaan itu dipercayai memasuki kawasan tapak projek culvert yang masih dalam pembinaan dan belum dibuka kepada orang awam sebelum terjatuh ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan.

Azuhar berkata semua mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 40 hingga 66 tahun dikejarkan ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Beliau turut menasihati semua pengguna jalan raya supaya sentiasa peka terhadap papan tanda amaran, kon dan penghadang di kawasan kerja pembinaan serta tidak bergantung sepenuhnya pada aplikasi navigasi, khususnya pada waktu malam, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Terengganu: Pekerja kedai perkakasan didakwa ‘sentuh’ adik kandung

NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
Seorang pekerja kedai perkasasan (tengah) didakwa merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik perempuannya di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
KUALA TERENGGANU – Seorang pekerja kedai perkakasan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik perempuan kandungnya berusia 16 tahun sejak awal tahun ini.

Tertuduh berusia 25 tahun membuat pengakuan tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol adik perempuan kandungnya di sebuah rumah di daerah ini pada pukul 11 malam, Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun serta sebatan minimum 10 kali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang merupakan abang kandung mangsa juga didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan itu pada pukul 9 malam, 21 Jun lalu.

Lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 25 tahun dan sebatan minimum dua kali jika sabit kesalahan.

Mahkamah memenuhi saranan pihak pendakwaan agar tertuduh tidak dibebaskan dengan wang jaminan demi memastikan keselamatan mangsa yang juga adik kandungnya.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Ogos depan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asymawi Ghazali – KOSMO! ONLINE

Penjaga gol Palestin mati ditembak tentera Israel

Bernama-Anadolu
story-image
Penjaga gol Palestin, Saleem Al-Ashqar terbunuh awal minggu ini di Gaza dalam serangan tentera Israel, lapor Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA).

PFA memaklumkan Al-Ashqar terbunuh akibat tembakan yang dilepaskan oleh tentera pendudukan Israel.

Menurut persatuan itu, beliau merupakan antara ratusan penggiat sukan Palestin yang terkorban, termasuk lebih 1,000 atlet Palestin, sejak Oktober 2023.

Al-Ashqar mendirikan rumah tangga lima bulan lalu dan isterinya kini sedang hamil anak pertama mereka.

Pemergiannya mencetuskan gelombang kesedihan dalam kalangan ahli keluarga, rakan sepasukan serta komuniti sukan Palestin dan antarabangsa.

"Kami amat berdukacita atas pemergian tragis penjaga gol Palestin berusia 32 tahun, Salim Al-Ashqar.

"Beliau terbunuh di tangan tentera Israel. Kami amat sedih melihat insiden seumpama ini terus berlaku dan menyeru agar keadilan serta keamanan ditegakkan," menurut kelab bola sepak Chile, Deportivo Palestino pada Rabu.

- Bernama-Anadolu

7 anggota sindiket curi lori ditahan

Noor Hidayah Tanzizi

KUALA LUMPUR: Sindiket curi lori bonded yang aktif beroperasi di empat negeri membabitkan kerugian kira-kira RM1.23 juta berjaya ditumpaskan polis dengan penahanan tujuh lelaki dalam Op Lejang Lori Bonded, bulan lalu.

Kesemua warga tempatan berusia antara 32 tahun hingga 48 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di beberapa lokasi berasingan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada 22 Jun hingga 28 Jun lalu.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kejayaan itu hasil risikan yang dijalankan empat bulan bermula Mac lalu hingga bulan lalu dan sindiket berkenaan dikenal pasti aktif beroperasi di Selangor, Johor, Melaka dan Kuala Lumpur.

Katanya, siasatan awal mendapati seorang suspek yang ditahan adalah dalang utama sindiket yang berperanan sebagai orang tengah untuk mencari ‘striker’ (pencuri), pengendali stor haram, mekanik, transporter dan pembeli komponen lori curi.

“Sindiket itu disyaki terbabit dalam lebih kurang 18 kes kecurian lori bonded yang dilaporkan di Johor, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur dengan anggaran kerugian berjumlah RM1,230,000,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Katanya, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan dalang utama berperanan menerima tempahan daripada pemilik bengkel sebelum mengarahkan suspek (striker) mencuri model lori yang dikehendaki dan membawa lori yang dicuri ke stor atau bengkel haram untuk dileraikan.

Menurutnya, sindiket akan menjual komponen dan kepala lori secara berasingan dengan harga di bawah nilai pasaran dan iklan penjualan komponen dibuat melalui platform media sosial.

“Setiap suspek akan dibayar mengikut jenis kepala lori yang dicuri dengan anggaran bayaran antara RM15,000 hingga RM18,000,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merampas lima lori, masing-masing sebuah kereta dan motosikal, beberapa peralatan pemotong lori, seunit jammer, dua unit axle lori dan seunit kotak stereng.

Selain itu turut dirampas pelbagai dokumen syarikat dan resit pembayaran dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket itu dan keseluruhan nilai rampasan itu dianggarkan RM400,000.

Katanya, semua individu yang ditahan sudah ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut dan setakat ini sebanyak 13 akaun bank dengan nilai RM280,836.10 sudah dibekukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001.

Dalam pada itu, Kumar berkata, pemilik lori dan pengusaha syarikat logistik dinasihatkan memastikan kenderaan dilengkapi sistem keselamatan dan pemantauan GPS yang sentiasa berfungsi serta diparkir di kawasan selamat.

Katanya, pemilik bengkel diingatkan supaya tidak membeli komponen kenderaan tanpa dokumen pemilikan yang sah atau yang ditawarkan di bawah harga pasaran.

Katanya, orang ramai diseru menyalurkan maklumat kepada polis bagi membanteras kegiatan curi lori, manakala tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan yang terbabit kegiatan itu serta rangkaian penerima dan pembeli komponen kenderaan curi.

Tokoh sastera terpalit dakwaan gangguan seksual

Puteri Nordahlilah Azmi

Seorang tokoh sastera terpalit dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa penulis wanita.

Dia antara didakwa sering menghujani mangsa dengan pelbagai mesej manja, memberi grafik lambang dan kata-kata cinta serta menggambarkan ciuman seperti “muah”.

Tidak tahan dengan gangguan itu, dua penulis muda tampil membuat laporan polis, iaitu penulis Sarah Ross dan Maghfirah TMZ, serta berkongsi pengalaman di media sosial.

Menerusi hantaran di media sosial pada Jumaat, Sarah Ross mendakwa kejadian itu berlaku beberapa tahun lalu, namun dia memilih untuk berdiam diri kerana enggan memanjangkan isu.

Pada peringkat awal, dia menyangka mesej-mesej yang diterima mungkin dihantar oleh akaun palsu.

Bagaimanapun, selepas membuat semakan terhadap akaun Facebook individu terbabit, dia percaya akaun itu adalah milik sebenar pelaku.

Berdasarkan perkongsiannya, terdapat beberapa penulis wanita lain yang turut mendakwa menerima mesej berbaur seksual daripada sasterawan negeri itu.

Sarah kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Baru, Melaka pada 28 Jun lalu. 

Dia juga berharap lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.

“Semoga semua mangsa berani tampil untuk buat laporan polis. Jangan membudayakan perlakuan membuli mangsa. Anda bukan mangsa, anda tak tahu tekanan emosi dan trauma yang dilalui mangsa.

“Jangan jadi hakim menuding jari kepada mangsa. Hulurkan empati, bukan sindiran atau menyalahkan,” katanya.
Sementara Maghfirah pula membuat laporan polis pada 29 Jun tetapi tidak mendedahkan kandungannya.

“Gangguan seksual di media sosial dan grooming (pengantunan) secara seksual adalah jenayah berat, bukan gosip murahan.

“Mangsa ada yang terjejas kesihatan mental dan menghadapi trauma sepanjang hidup.

“Mungkin yang terkena orang lain bukan anda, tetapi jangan jadikan ini sebagai tiket untuk menjadi penyokong bagi kelakuan tidak senonoh dan jijik ini,” katanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, kedua-dua penulis muda itu enggan mendedahkan butiran lanjut buat masa ini, selain daripada yang dikongsi di media sosial.

Persatuan penulis kecam: ‘Dunia sastera sepatutnya ruang selamat’

Sementara itu, sebuah persatuan penulis tampil menggesa siasatan menyeluruh dan tindakan tegas terhadap pelaku.

Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) menyifatkan dakwaan tersebut sebagai serius kerana melibatkan individu yang selama ini diangkat sebagai tokoh sastera, pejuang sastera dan pembimbing bengkel penulisan.

Kavyan yang diasaskan oleh penulis terkenal Uthaya Sankar SB menyatakan sokongan terhadap keberanian Sarah Ross dan Maghfirah TMZ yang tampil membuat laporan polis. 

“Dunia sastera kebangsaan sepatutnya menjadi ruang selamat untuk sesiapa sahaja melibatkan diri tanpa perlu bimbang kemungkinan ada pihak cuba mengambil kesempatan, termasuk melakukan amang seksual dan gangguan seksual,” kata Kavyan.
Uthaya Sankar SB
Dia juga mendakwa terdapat segelintir warga sastera yang meminta mangsa supaya tidak mendedahkan perlakuan individu terbabit atas alasan menjaga nama baik dunia sastera.

“Pandangan, pendirian dan nasihat seperti ini sebenarnya memenangkan pemangsa kerana meminta mangsa berdiam diri,” menurut kenyataan itu lagi.

Tokoh sastera itu ketika dihubungi Malaysiakini semalam menafikan dakwaan itu dan berkata dia tidak tahu apa-apa mengenai tuduhan yang dibangkitkan.

DBP pandang serius, serah pada pihak berkuasa

Sementara itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam kenyataannya hari ini berkata mereka memandang serius sebarang dakwaan yang boleh menjejaskan kesejahteraan individu serta keharmonian dalam komuniti sastera. 

“Sehubungan dengan itu, DBP menyerahkan sepenuhnya perkara ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang,” kata badan itu.

DBP juga menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai dan keputusan dibuat oleh pihak yang berkuasa.

“Sebagai institusi yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa dan sastera, DBP akan terus berusaha memelihara ekosistem kesusasteraan yang berteraskan nilai integriti, profesionalisme, saling menghormati dan rasa tanggungjawab,” katanya.

Lebih 1,000 kematian dikaitkan suhu panas melampaudi Sepanyol pada Jun

Bernama
Pada 23 Jun, purata suhu 24 jam di seluruh Sepanyol mencapai 29.6 darjah Celsius, manakala purata suhu maksimum di semenanjung Sepanyol ialah 38.2 darjah Celsius, menyamai rekod yang ditetapkan pada 2025. - Reuters
MADRID: Sistem Pemantauan Kematian Harian (MoMo) Sepanyol, yang diselaraskan oleh Pusat Epidemiologi Kebangsaan Institut Kesihatan Carlos III, menganggarkan 1,029 kematian berpunca daripada suhu tinggi pada Jun, iaitu Jun kedua paling panas dalam sejarah negara itu, lapor Xinhua.

Angka itu termasuk individu yang maut secara langsung akibat strok haba serta mereka yang keadaan kesihatan mereka merosot sehingga tahap maut.

Menurut pengiraan DatosRTVE berdasarkan data sementara yang disusun oleh Agensi Meteorologi Negeri Sepanyol (AEMET), purata suhu 24 jam di semenanjung Sepanyol pada Jun ialah 24.9 darjah Celsius, kedua tertinggi sejak rekod bermula pada 1961, hanya melepasi Jun 2025, apabila purata mencapai 25.2 darjah Celsius.

Jun 2026 juga menyaksikan hari Jun paling panas dalam sejarah Sepanyol. Pada 23 Jun, purata suhu 24 jam di seluruh Sepanyol mencapai 29.6 darjah Celsius, manakala purata suhu maksimum di semenanjung Sepanyol ialah 38.2 darjah Celsius, menyamai rekod yang ditetapkan pada 2025.

Dari 20 hingga 24 Jun, stesen cuaca AEMET merekodkan 316 rekod suhu tempatan sementara, termasuk 148 untuk suhu maksimum dan 168 untuk suhu minimum tertinggi.

Pada 23 Jun, 35.7 juta orang -- sekitar 73 peratus penduduk Sepanyol -- terdedah kepada beberapa tahap risiko kesihatan akibat suhu tinggi, menurut pengiraan DatosRTVE berdasarkan makluman Meteosalud Kementerian Kesihatan dan data penduduk daripada Institut Statistik Negara.

-- BERNAMA-XINHUA

Rogol adik ipar 11 tahun, lelaki warga asing mengaku bersalah

Abdul Rahemang Taiming
Tertuduh, lelaki warga asing, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau, atas kesalahan merogol adik iparnya. – Foto NSTP
TAWAU: Seorang lelaki warga asing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol adik iparnya yang juga kanak-kanak perempuan bawah umur di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan perkampungan atas air di Semporna, Mei tahun lalu.

Tertuduh berusia 25 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, membuat pengakuan itu pada prosiding di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun dan enam bulan yang tidak bersekolah di rumah tertuduh kira-kira jam 2 pagi, pada 2 Mei tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(2(e) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur sebelum menyedari badannya ditindih oleh seseorang sebelum tertuduh bertindak melakukan perbuatan terkutuk itu.

Mangsa sebelum itu tinggal bersama ibunya di Kunak sebelum dibawa ke Semporna untuk tinggal bersama kakaknya yang sedang sarat hamil anak ketiga.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, tidak menawarkan sebarang jaminan dan Mahkamah menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan dan laporan Asid Deoksiribonukleik (DNA) mangsa.

Mahkamah turut dimaklumkan tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara lima bulan di bawah Akta Imigresen selepas didapati memasuki negara ini tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.