"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Dasar liberalisasi bakal jadikan Malaysia alami 'proses lelongan'

Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 27 Julai (Hrkh) - Malaysia bakal mengalami 'proses lelongan' sekiranya Dasar Liberalisasi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak menjadi amalan kononnya untuk menyelamatkan kedudukan ekonomi yang telah lama mengucup.

Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat, Haji Mohd Anuar Tahir ketika membentangkan pandanganya sempena Perhimpunan Pekerja 2009 dan Wacana Kebangsaan Kali Ke-4 di Dewan Komplek Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Kepala Batas semalam berkata, kemunculan syarikat atau pelabur luar dengan banyak memang baik untuk pembangunan ekonomi tetapi jika diberikan kebebasan ekuiti sehingga 70 peratus terutama dalam pasaran saham ia amat membahayakan.

"Malaysia dalam proses lelongan sekiranya Dasar Liberalisasi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri sempena 1 Malaysia terus menjadi amalan. Bukan apa saya kira bahaya sebab ia memberikan kebebasan kepada syarikat luar negara sehingga boleh memegang ekuiti sehingga 70 peratus," kata beliau.

Menurutnya lagi, sebelum ini ekuiti kepada syarikat luar hanya 49 peratus manakala syarikat tempatan masih memegang saham 51 peratus.

Justeru tambahnya, tindakan Kerajaan Malaysia dilihat lebih kepada memberikan keuntungan kepada syarikat luar dan jika silap langkah hasilnya amat memalukan.

Kita bimbang katanya, Malaysia salah fokus kerana matlamat sesebuah syarikat ialah keuntungan jika mereka terlalu mengejar keuntungan dan tersasar fokus pemerintah akan menanggung manakala rakyat terpaksa membayar kesalahan tersebut.

Contohnya Malaysia Airline System (MAS) sebuah syarikat milik kerajaan diserahkan kepada sebuah syarikat persendirian. Bila bermasalah ia diambil oleh kerajaan semula tetapi kos dan kesalahanya terpaksa ditanggung oleh rakyat.

"Kita tidak mahu keuntungan diperolehi oleh syarikat luar manakala kerugian rakyat yang tanggung," ujar beliau.

Hadir sama sebagai panel wacana bertemakan 'Selamatkan Pekerja Di Era Kemelesetan Ekonomi' dalam program anjuran Lajnah Pekerja dan Peneroka PAS Pusat, Lajnah Pekerja PAS Pulau Pinang, Lajnah Penerangan PAS Kepala Batas dan Kelab Amanah dan Rakan Industri Bersatu (KARIB) itu ialah Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mahamud dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.

Turut serta dalam program berkenaan ialah Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man dan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri, Ustaz Soid Mohd Amin.

Tiada ulasan: