"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seni, Budaya Dan Tok Guru Nik Aziz

Dr Hamzah Jaafar
Khabarnya Tok Guru Nik Aziz akan menonton tayangan filem ‘Ketika Cinta Bertasbih 2’ yang akan diadakan di Balai Islam, Lundang pada 28.2.2010 nanti. Kalau tidak kerana saya ada jemputan ceramah Maulidur Rasul di sebuah masjid di Kuantan pada 1.3.2010, nescaya saya jua akan ke sana untuk menontonnya. Bukankah seni boleh menghaluskan jiwa yang kasar. Bukankah jiwa kita semakin hari semakin kasar dan keras kecuali mereka yang memurnikannya dengan zikir dan sekali sekala menyiraminya dengan sesuatu yang ‘berseni’!!??

Seni ialah sesuatu yang indah dan halus. Memanfaatkan seni seperti bergurau senda dan berhibur dengan nyanyian termasuk menonton filem, boleh menghilangkan kepenatan dan kebosanan. Bukankah Rasulullah saw pernah membantu isteri kesayangannya Aisyah ra ketika hendak menonton aksi kebudayaan masyarakat Arab?? Cuma dulunya menonton secara 'live’ tetapi kini menonton di panggung wayang atau di dewan-dewan besar menerusi filem yang ditayangkan.

Apa pun yang pasti, Tok Guru Nik Aziz (TGNA) telah menjemput Mawi dan menyaksikan sendiri dengan berpakain jubah dan serban. Yang pasti, saya juga mempunyai ceritanya yang tersendiri mengenai Seni, Budaya dan TGNA. Yang pasti jiwa saya lebih suka beraksi dari berteori. Ramai orang suka berteori mengatakan Islam adalah syumul meliputi ibadah, ekonomi, budaya, seni dan politik tetapi kadang-kadang mereka sendiri tak mampu mengurus kesyumulan Islam itu, mengikut kadar kemampuan mereka. Bukan setakat tak mampu malah cepat pula menghukum ini haram dan ini tak betul dan ini pula tak Islamik. Bebeza dengan TGNA, yang membenar bahkan menyaksikan sendiri persembahan kebudayaan dan kesenian sesuai dengan penerangan dan ajaran dalam kuliahnya bahawa Islam adalah syumul.

Seingat saya,TGNA sendiri terpaksa mengadakan satu perjumpaan khas dengan tok-tok guru dan ulama di Kelantan ekoran tindakannya membenarkan Mawi membuat persembahan di Kelantan. Sanggahannya bukan hanya datang dari ulama biasa malah dari ulama dalam jamaah PAS sendiri. Bukankah ulama dan tok-tok guru itulah juga yang menjelaskan bahawa dalam Islam, ada seni dan budaya?

Apa pun yang jelas, saya amat yakin bahawa TGNA bukanlah kepingin sangat nak tengok Mawi dan M. Nasir menyanyi serta menonton tayangan filem ‘Ketika Cinta Bertasbih 2’. Kita tahu TGNA memang seorang yang berperibadi tinggi, ibadahnya kuat dan zikirnya banyak serta kerjanya sebagai MB Kelantan pun banyak yang perlu diselesaikan. Penting sangatkah hiburan dan tayangan filem bagi seorang yang bernama Tok Guru Nik Aziz yang juga seorang Menteri Besar. Mana mungkin TGNA mahu menyaksikan aksi yang dianggap melekakan itu. Mungkin TGNA boleh buat macam tok-tok guru atau ulama yang lain, yang hanya bersetuju dan membenarkan aktiviti hiburan termasuk tayangan filem tanpa pergi menyaksikan sendiri pertunjukan nyanyian atau tayangan filem. (Gambar di atas : Amy Search dengan rakannya bersama TGNA. Beliau juga pernah jemput TGNA ke restorannya di Wangsa Maju)

Sebenarnya apa yang TGNA ingin beritahu kepada masyarakat ialah hiburan, seni dan budaya tak salah pun dari sudut Islam. Lantas untuk mudah orang faham maka TGNA sendiri yang berada di hadapan pentas di mana Mawi, M. Nasir dan penyanyi jemputan yang lain, menyanyi. TGNA sendiri akan berada di depan layar menonton filem ‘Ketika Cinta Bertasbih 2’ dengan berpakaian jubah dan serban. Aksi TGNA ini sudah cukup untuk orang faham dengan sejelas-jelasnya bahawa memang benarlah Islam adalah agama yang syumul meliputi kesenian dan kebudayaan. (Gambar sebelah : TGNA dikunjungi oleh Kartika yang telah dijatuhkan hukuman sebat tetapi sehingga kini belum terlaksana)

Apabila orang melihat aksi TGNA ini maka orang melihat TGNA adalah seorang yang jujur dan benar dalam mempraktikkan ilmunya. Natijahnya orang merasa seronok dan sayang kepada Islam yang selama ini mereka merasa sempit dada dengan Islam yang diajar oleh kebanyakan ustaz atau ulama-ulama. Kenapa? Sebabnya serba serbi semuanya tak boleh. Akibatnya mereka tidak gembira dengan Islam tetapi mereka tetap setia dengan Islam.
Bila dah seronok dengan Islam yang dibawa oleh TGNA maka tak hairanlah bila ramai artis tersohor telah berjumpa dengan TGNA. Mereka rasa TGNA adalah kawan walaupun karekter mereka jauh berbeza dengan TGNA. Kawan yang boleh membimbing menuju ke jalan hidayah. Apabila pemimpin atau pendokong jamaah Islam berjaya menjadi kawan kepada orang-orang yang jauh dari Islam maka itu adalah satu kejayaan dalam dakwahnya. Alangkah bertuahnya Malaysia seandai ulama dan tok-tok guru berfikiran dan berwatak ‘syumul’ seperti TGNA. Setakat ini kita mempunyai ramai ulama’ dan tok-tok guru yang hanya bijak berbicara mengenai Islam yang ‘syumul’ semata-mata

Oleh itu bawalah Islam sesuai dengan keadaan masakini. Insya Allah, saya akan cerita pula mengenai Seni, Budaya, TGNA dan saya dalam posting akan datang..(Gambar sebelah kiri : Dato' Siti Nurhaliza mengunjungi TGNA)

Ini lagu Dato’ Siti Nurhaliza mengenai
Budi Bahasa Budaya Kita. Persoalannya apakah suara wanita itu aurat, akan saya bahas dalam posting akan datang atau pembaca boleh cari dalam temubual Wartawan Harakah dengan saya di ruangan polemik pada Tahun 2009.

Tiada ulasan: