Zolkharnain Abidin
SATU - Lim Guan Eng diserang oleh orang Melayu Umno dan orang yang mengaku Melayu dalam isu perarakan maulud. Melayu Umno di Perlis dan Pahang yang turut diperintah BN tidak pula menyerang kerajaan negeri mereka walau pun tiada perarakan maulud. Bukan baru tahun ini tetapi semenjak lama.
Alasan mereka, orang Melayu Pulau Pinang adalah minoriti. Jadi, perarakan maulud perlu diadakan untuk menaikkan semangat orang Melayu pulau itu supaya lebih kuat.
Sekali imbas alasan itu seakan betul. Tetapi semenjak sekian lama Melayu Pulau Pinang mengadakan perarakan, adakah Melayu di negeri itu semakin kuat? Rasanya tidak. Kedudukan Melayu di sana begitu begitu juga.
Justeru, mengapa Melayu Umno Pulau Pinang pertahankan sangat perarakan? Kerana Islam atau kerana Lim Guan Eng.
Kalau Ketua Menteri Pulau Pinang adalah Melayu, dan dia membatalkan upacara perarakan itu, rasanya orang Melayu Umno Pulau Pinang tidak marah.
Jadi mereka marah tiada perarakan itu bukan kerana perarakan itu tuntutan agama mereka tetapi kerana dia dibatalkan oleh Lim Guan Eng.
Melayu Umno pertahankan maulud bukan kerana agama tetapi kerana perkauman. Kerana Lim Guan Eng bukan Melayu.
DUA - Dr Aziz Bari kata, mengikut perlembagaan orang bukan Melayu boleh menjadi PM. Tambahnya, mungkin PM bukan Melayu lebih baik daripada Melayu. Contohnya, Lim Guan Eng yang dilihat lebih ikut buku dan lebih bekerja keras.
Percayalah, orang yang paling keras membantah pandangan pakar perlembagaan ini adalah orang Melayu Umno. Bagi mereka, hanya Melayu sahaja yang layak jadi PM biar pun Melayu itu korup atau lembik. Tak apa, asalkan Melayu.
Kalau Lim Guan Eng hebat setara mana pun dia tidak layak jadi PM, bukan kerana dia tidak bagus tetapi kerana dia bukan Melayu. Ditakdirkan Lim Guan Eng menerima Islam pun, dipercayai Melayu Umno tidak akan bersetuju.
Kenapa, kerana dia tidak bagus? Tidak, kerana dia bukan Melayu.
TIGA - Orang Melayu Umno marahkan Lim Guan Eng kerana kononnya dia mengutamakan Cina dan meminggirkan Melayu. Ya, Guan Eng memang Cina, dan kalau dia mengutamakan Cina, dia telah melakukan sesuatu yang betul.
Soalnya ialah, PM, TPM, sebahagian besar menteri adalah Melayu tetapi tidak membuat apa yang sepatutnya untuk orang Melayu.
Sepatutnya Melayu Umno marahkan menteri Melayu Umno yang tidak membela Melayu bukan marahkan Lim Guan Eng yang membela Cina.
Apakan daya, Lim Guan Eng adalah Cina dan dia dibenci oleh Melayu Umno hanya kerana dia Cina. Kalau dia Melayu bagaimana?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan