"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Konvensyen Pakatan Rakyat Selangor 7 Mac

Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz
Sekalipun Barisan Nasional sejak berakhir pilihan raya umum lalu, bertubi-tubi menghalalkan serangan terhadap Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP di Selangor, satu konvensyen Pakatan Rakyat peringkat negeri bakal berlangsung pada 7 Mac ini.

Konvensyen sulung bertemakan ’Bermuafakat Menjunjung Amanah Rakyat’ itu bakal memperkasa dan memperkemas permuafakatan sedia ada antara parti gabungan dalam mendepani tohmahan Umno-BN.

Bercakap pada satu sidang media, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Konvensyen PR Selangor mewakili PKR, Syed Shahir Syed Mohamud berkata konvensyen itu adalah kesinambungan Konvensyen Pakatan Rakyat peringkat kebangsaan tahun lalu.

Konvensyen itu dapat memperkemas strategi Pakatan Rakyat Selangor untuk berdepan sekatan, halangan dan fitnah daripada Kerajaan Pusat Barisan Nasional di semua peringkat.

Ia bakal menjadi wadah menepis segala bentuk dakyah palsu kerajaan Umno BN yang tidak sudah-sudah memfitnah, kononnya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengalami masalah dalaman.

”Oleh sebab itu kita sedang menghadapi pelbagai halangan, serangan dan sabotaj di pelbagai pihak. Jadi konvensyen ini sebenarnya adalah untuk memperkemaskan dan memperkasakan di kalangan rakan-rakan dalam parti komponen tiga PR malah bersama-sama pihak lain yang bersimpati dan ingin melihat serta bekerjasama dalam melihat Selangor adalah negeri yang lebih baik dalam mentadbir oleh negeri-negeri yang bukan PR,” katanya.

Konvensyen bertempat di Dewan Jubli Perak di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mulai jam 8 pagi hingga 6 petang itu, dijangka dihadiri 1,500 perwakilan dari ketiga-tiga parti gabungan.

Pada konvensyen itu, beberapa kertas pembentangan dan perbahasan antara agenda yang bakal dijayakan Ahli-ahli Parlimen, Exco dan juga beberapa tokoh pimpinan parti.

Konvensyen itu, antara lain melibatkan perbincangan soal penambahbaikan pentadbiran, memperkemas hala tuju dan urusan negeri, selain pemerkasaan Pakatan Rakyat Selangor.

”Konvensyen ini adalah susulan kepada konvensyen yang dibuat oleh PR peringkat nasional yang diadakan pada penghujung tahun lepas 2009 dan saya kira ini di antara negeri julung-julung kali mengadakan konvensyen peringkat negeri selepas Perak,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Konvensyen PR Selangor mewakili DAP, Tony Pua berkata konvensyen ini mungkin yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 yang dijangka berlangsung tahun depan.

Beliau berharap pembentangan kertas kerja pada konvensyen kali ini dapat merangsang semangat ahli dan penyokong akar umbi untuk meneruskan agenda perubahan di negeri ini demi membela semua rakyat.

Sejak mengambil alih Selangor pada 2008, Umno BN cuba menghalang agenda perubahan yang dibawa kerajaan negeri dengan menggunakan pelbagai cara walaupun ia memberi manfaat kepada rakyat keseluruhan.
-tvselangor-

Tiada ulasan: