"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu tanah: 30 Orang Asli berdemo di Gombak

Sekumpulan 30 Orang Asli menyertai perhimpunan di depan hospital Orang Asli Gombak tengahari ini kerana membantah apa yang mereka dakwa salah guna kuasa oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) yang melibatkan pendaftaran tanah mereka.

Dalam satu petisyen yang berkaitan daftar tanah masyarakat Orang Asli, mereka mendakwa telah mendapat maklumat bahawa tanah saka dan tanah rayau mereka tidak akan diberi milik kepada mereka selepas ini.

Mereka turut membawa poster yang antaranya berbunyi "Kembalikan hak kami" dan 'Jangan rampas hak kami".

Perhimpunan itu diketuai Sokyen Man, 40, yang mendakwa mewakili penduduk kampung tersebut. Mereka kemudiannya mengutip tandatangan penduduk kawasan penempatan Orang Asli di situ bagi menyokong petisyen tersebut.

Petisyen itu, katanya, akan diserahkan kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Orang Asli.

Dalam petisyen tersebut juga, mereka mendakwa berlaku penganiayaan terhadap kakitangan Orang Asli yang berkhidmat dengan jabatan tersebut.

Sokyen berkata, mereka membuat petisyen itu berdasarkan enam laporan polis yang dibuat sebelum ini oleh penduduk kampung terlibat.

Menurutnya, dua laporan polis yang dibuat itu melibatkan kematian dua pesakit yang menerima rawatan di hospital Orang Asli di Gombak.

Selain itu, katanya, dua laporan lagi ialah mengenai dakwaan berlakunya ugutan terhadap pesakit yang membuat laporan polis mengenai kematian tersebut.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: