"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Fitnah video lucah: Mufti membisu, budayawan sembunyi!

KASSIM MUHAMMAD
Sebuah Ormas, Organisasi Massa SAF namanya, akronim untuk Saf Anti Fitnah hasil gabungan pelbagai ormas telah bangun untuk mengisytiharkan ― dengan lantang dan jelas sekali ― bahawa mereka TIDAK lagi dapat berdiam diri dengan kerja-kerja fitnah yang dilesenkan kepada sesetengah pihak di negara kita.

Pada hari Sabtu 26 Mac 2011, jam 2 petang, SAF telah dilancarkan di Madrasah Tarbiah, Kampung Bandar Dalam, Batu 41/4 Jalan Gombak, Kuala Lumpur. Di antara ormas yang bangun dan bersama-sama menyatakan kebencian mereka terhadap kerja buat fitnah yang jahat lagi menjijikkan ini termasuklah:

Teras, Shura, Paksi, Budayawan Bertindak, Maufakat dan Pemuda Madrasah Tarbiah,  ABIM, SALIMAH, Kelab GADIS-SALIMAH, ISRA (Institut Penyelidikan dan Pengembangan Syariat), MBWM (Majlis Bertindak Wanita Islam Malaysia), Pusat Tassawur Islam Perak, Jaringan Kuliah Dhuha Perak, Muafakat Pertubuhan Islam Kedah (WEHDAH), JAMA’IY, Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak dan Kami.  Kita percaya banyak lagi ormas yang bakal terlibat dengan SAF.

Sehingga blog ini dikemaskini pagi ini, Masjid Batu di Kampung Pertama, Permatang Pauh telah menyatakan hasratnya untuk membawa mesej SAF ke sana.  Mengikut Dinsman tarikh yang dicadangkan ialah pada hari Sabtu, 16 April 2011. 

Sementara Cikgu Azmi dalam pesanan ringkasnya menyatakan bahawa, “ Road show penerangan Fitnah dalam politik dan implikasinya kepada kestabilan negara dan maruah ummah ― penggembelingan ulama dan kebangkitan rakyat, Isnin 28 Mac 2011, jam 8.00 malam, di Masjid Jitra.  Penceramah Ustaz Abd Ghani Shamsuddin dan Cikgu Mohd Azmi Abd. Hamid.”        

ii.

Di antara mesej jelas yang dinyatakan oleh para wakil ormas ialah:

Kenapakah institusi agama yang antara lainnya merangkumi para mufti,  sunyi dan sepi seolah-olah tidak ada apa-apa yang sangat gawat sedang melanda kita semua?  Demikianlah di antara pertanyaan Dinsman kepada khalayak yang walaupun tidak melimpah sehingga menutupi Jalan di Bati Empat Suku Jalan Gombak, di depan Madrasah Tarbiah, tapi mencukupi untuk menyatakan bahawa rakyat prihatin dan peduli dengan suasana yang melanda ummah.

Wakil ABIM, seorang anak muda juga begitu bimbang dengan contoh kelakuan tidak bertingkah para politikwan kita ― mereka kencing berdiri sehingga anak-anak muda, zuriat keturunan negara tercinta ini menjadi keliru yang amat sangat.  Apakah kesudahan kita?  Pelikkah kita dengan segala gejala sosial yang menimpa?

Ustaz Ghani Samsuddin pula menjelaskan betapa buruk dan bahayanya kesan fitnah itu kepada ummah dan kenapa perbuatan ini mesti diperangi dengan bersungguh-sungguh.  Kata beliau, nampaknya kerja awal para ulamak ialah untuk menjelaskan dengan terperinci ‘apakah itu fitnah dan kategorinya’ sepertimana yang terdapat dalam Quran dan hadis.  Biar masyarakat, misalnya lebih mengetahui di manakah duduknya Qazaf dan aspek-aspek hukum hukam lainnya yang terdapat dalam Islam.
      
iii.

Cikgu Azmi Abd Hamid dalam kenyataan media SAF, dengan lantang menyeru:

1.  Fitnah mesti diperangi habis-habisan.

2.  Fitnah yang berkait dengan hukum Qazaf dalam Islam mesti dikuatkuasakan.

3.  Fitnah mesti diberantas dalam semua budaya hidup masyarakat.

4.  Fitnah politik untuk menjatuhkan lawan ditolak dan dibantah sekeras-kerasnya.  

iv.

Pelancaran SAF tidak mungkin menjadi kenyataan jika tidak mendapat sokongan padu Markas Tarbiah, Kampung Bandar Dalam, Jalan Gombak, Kuala Lumpur.  Seluruh kepimpinan Madrasah yang diketuai oleh Cikgu Ishak Surin bersama-sama safnya telah bangun untuk berjuang.  Kita bersyukur dengan penglibatan anak-anak mudanya.  Syukur Alhamdulillah.

Kita telah melihat bagaimana ‘benih yang jatuh ke laut menjadi pulau’  ini mulai bercambah.  Bila lagi agaknya segala surau, masjid dan balaisah yang bertaburan di negara kita ini mahu bangkit dari tidur panjangnya itu? 

Bila lagi?

Wahai para penulis, sasterawan, ilmuan dan budaya, di manakah gerangan kamu bersembunyi?  Tidakkah kalian penat ― membisu sepanjang hidup?

Bila lagi dibuka mulut yang terkunci rapat itu?

Tiada ulasan: