JAKARTA: Polis semalam merampas tiba buah kereta mewah milik Pengurus Hubungan Pelanggan di Citibank, Inong Malinda kerana disyaki menyeleweng wang milik pelanggan bank itu hampir AS$1.95 juta (RM5.74 juta), lapor agensi berita Antara semalam.
Polis merampas dua buah kereta Ferrari dan sebuah Mercedes-Benz milik wanita tersebut.
"Polis sedang melakukan usaha untuk merampas aset-aset Inong dan melakukan siasatan dari mana dia memperoleh kereta berkenaan," kata Ketua Detektif Polis Indonesia, Jeneral Ito Sumardi.
Polis turut merancang untuk merampas sebuah kereta Hummer H3 yang dibeli atas nama suami wanita tersebut, Andika Gumilang.
Menurut Ito, polis perlu berhati-hati kerana kemungkinan sebahagian aset Inong diperoleh secara sah di sisi undang-undang.
"Kami meminta sesiapa sahaja yang menjadi mangsa wanita itu membuat laporan polis," katanya.
Setakat ini seramai tiga orang memfailkan laporan polis berhubung jenayah yang dilakukan oleh wanita berkenaan yang melibatkan kerugian hampir AS$1.95 juta.
Ketua Unit Jenayah Polis, Brigedier Jeneral Arif Sulistyo berkata, Inong yang bertugas di bank berkenaan lebih 10 tahun mengambil kesempatan terhadap hubungan baik dengan pelanggan untuk memperdayakan mereka.
Menurutnya, wanita itu memalsukan dokumen pengeluaran wang atau gagal untuk mendepositkan wang ke dalam akaun pelanggannya seperti yang dijanjikan.
Inong kini ditahan di pusat tahanan ibu pejabat polis Indonesia di sini.
-Agensi-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan