"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kartun politik lucah: Jangan jadi ‘kartunis pelacur’- Zunar


KUALA LUMPUR: Kartunis Zunar, atau nama sebenarnya, Zulkiflee Anwar Ulhaque mengecam tindakan segelintir kartunis yang menggadaikan moral mereka dengan melukis karya politik lucah dan berunsur fitnah.
Beliau menyifatkan golongan terbabit sebagai  ‘kartunis pelacur’ kerana sanggup menghasilkan karya yang tidak bertanggungjawab, semata-mata kerana mahu memperoleh habuan daripada pihak-pihak tertentu.
“Kartunis-kartunis yang menghasilkan kartun ini tidak mempunyai tanggungjawab moral kerana tidak berani untuk meletakkan nama sendiri atau nama pena di dalam lukisan mereka.
“Mereka melukis apa saja yang disuruh termasuk kandungan yang mempunyai fitnah dan pembohongan. Bagi saya, kartunis-kartunis seperti ini tidak ada bezanya dengan pelacur,” ujar Zunar dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas isu pengedaran kartun lucah yang disebar di kawasan Lembah Pantai, yang cuba mengaibkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naskah komik setebal 16 muka surat bertajuk Kisah Raja Lawak itu, mengandungi imej lucah watak yang menyerupai Anwar dan dihantar kepada pengundi di sekitar Lembah Pantai.
Menurut Zunar, beliau turut mendapat maklumat bahawa kartunis-kartunis terbabit dibayar sejumlah wang yang banyak bagi menghasilkan kartun mengikut arahan pihak-pihak tertentu.
“Kartunis mesti memahami sesuatu isu dari berbagai perspekstif sebelum mengambil pendirian mereka sendiri dan bukannya mengikut arahan orang lain.
“Kemunculan kartunis-kartunis pelacur ini telah menjatuhkan martabat seni budaya dan merendahkan kemampuan berfikir orang Malaysia,” tegasnya yang cukup dikenali sebagai kartunis politik di dalam dan luar negara.
Justeru itu, Zunar mengingatkan para kartunis supaya lebih bertanggungjawab terhadap karya mereka.
“Saya berpendapat tidak menjadi kesalahan bagi kartunis untuk menyokong agenda mana-mana parti politik dalam kartun mereka, asalkan mereka bertanggungjawab terhadap kandungannya.
“Sesuatu karya yang bertanggungjawab mesti mempunyai tanda tangan pelukis. Nama pena sekiranya hendak digunakan mestilah mempunyai hubung-kait dengan kartunis dan bukan bertujuan mengelirukan identiti pelukis,” tegas beliau.

Tiada ulasan: