"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AMK kesal polis siasat jam Omega bukan Datuk T


KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) kesal dengan sikap polis yang lebih berminat menyiasat pemilik jam tangan Omega daripada menangkap dalang dan penjenayah sebenar video seks palsu, trio Datuk T.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengulas tindakan polis untuk menyiasat pemilik jam tangan berkenaan, yang disifatkan sebagai bermotif politik bagi mengheret Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu tersebut.
“Siasatan polis jelas bermotifkan politik yang diyakini ada hubung kait dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain bertujuan mengaburi mata rakyat dengan mengaitkan Anwar terlibat dalam video fitnah.
“Polis mesti menyiasat Datuk T yang merupakan penjenayah dalam isu video fitnah, dan bukan sibuk dengan pemilik jam,” kata Shamsul ketika dihubungi Keadilandaily.com.
Katanya, penyiasatan yang menjurus kepada jam tangan tersebut, tanpa menyiasat dalang di sebalik pembikinan video palsu itu menggambarkan polis bersedia menjadi alat kepada pemimpin Umno.
Selain itu katanya, ia memaparkan imej negatif pihak berkuasa tersebut yang sehingga kini masih belum menangkap trio Datuk T- yang terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, Ahli Perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah dan bekas senator, Datuk Shuib Lazim.
“Siasatan ini kita ragui kerana kononnya menjurus kepada pelakon video yang bermotifkan khianat dan jahat terhadap Anwar.
“Polis juga bersedia menjadi alat untuk dipergunakan oleh Umno. Sekiranya perkara ini berterusan, saya bimbang rakyat akan memandang negatif terhadap polis kerana tidak menjalankan tugas dengan adil,” ujarnya.
Sementara itu, beliau mengulas kelembapan pihak polis menyiasat kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, tetapi terlalu ghairah untuk mengesahkan pelakon video palsu berkenaan.
“Umno hanya mahu menyiasat sekiranya ada kepentingan politik terhadap mereka, tambahan pula mangsa adalah rakyat biasa.
“Sekiranya di negara-negara lain, pihak kerajaan akan memandang serius perkara seperti ini kerana melibatkan menteri yang bertanggungjawab di SPRM, tetapi sebaliknya berlaku di negara kita,” katanya.

Tiada ulasan: