"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Integriti, Ustaz Azizan dan Prof Judin


AHMAD LUTFI OTHMAN
Ramai pejuang yang bersedia diasak penderitaan, mampu ditekan kezaliman dan bersabar dikurung elit penguasa. Namun, apabila digoda pangkat dan kedudukan, dihampar khazanah dunia, ditawar kemasyhuran dan prestij, tidak sedikit yang kecundang lemas. Rasuah, salahguna kuasa dan penyakit beriringan, seperti kronisme, mudah merebak bersama arus deras "KUASA".

Integriti, maruah dan kehormatan diri sekadar basahan bibir tetapi sukar dipertahankan, apatah lagi jika ia tercabar semasa diri keseorangan dan tiada mata yang memandang. Malah ada individu yang menduduki singgahsana kuasa, mulanya berpegang dengan prinsip luhur dan etika mulia, tetapi secara perlahan-lahan meleburkan idealisme, dengan seribu satu justifikasi.

Selepas pilihan raya umum 2008, ramai aktivis dan pimpinan Pakatan Rakyat, yang dahulunya berdepan tekanan dan tribulasi daripada pemerintah, kini dikelilingi dugaan lebih mencabar. Sememangnya, akta-akta zalim seperti ISA masih menganga luas dan tetap mengintai mangsanya, tetapi "cubaan" yang datang bersama kuasa memerintah -- walaupun baru di peringkat negeri dan kerajaan tempatan --  cukup menakutkan.

Kuasa menawarkan kedudukan, imbuhan ekonomi dan penghormatan masyarakat. Peluang, dalam bermacam-macam aspek, untuk disambar begitu luas terbuka. Kesempatan itu begitu mengiurkan. Jika seseorang itu mahu bersama-sama berebut sumber, baik daripada segi politik mahupun ekonomi, maka pelbagai alasan boleh diberikan, termasuk yang dikaitkan dengan "kepentingan umum", termasuk parti politik yang diwakilinya.

Sebahagian tindakan itu mungkin tidak tergolong dalam kategori rasuah, yang boleh diserkup SPRM. Ia lebih bergantung kepada integriti dalaman. Seorang pemimpin kerajaan atau ketua jabatan, yang memegang posisi strategik, semasa membuat keputusan penting khususnya berkaitan kewangan, boleh sahaja memihak kepada mana-mana orang atau syarikat, tanpa melanggar mana-mana peruntukan undang-undang. Bagaimanapun nalurinya lebih mengetahui apakah ia bercanggah atau menepati prinsip integriti.

Ada yang menakrifkan integriti individu itu adalah keselarasan di antara apa yang dikatakan oleh individu dengan apa yang dikotakannya; keselarasan di antara tindakannya dengan prinsip moral (akhlak), etika dan undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan individu dengan kepentingan umum. Dan apa yang dilakukan itu pula cepat, tepat dan bermutu. Tindakannya pula konsisten.

Integriti ibarat konsep ihsan dalam Islam:  "Ihsan adalah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia sedang melihat kamu." Maknanya, baik semasa bersendirian dan tiada yang menyaksikan, atau ketika di hadapan publik, menjadi tontonan awam atau diperhatikan CCTV, seseorang itu tetap berkeperibadian unggul. 

Bercakap soal integiti, saya tertarik dengan khabar bahawa Ketua Pengarah Kerja Raya,  Prof Ir Judin Abd Karim, secara tiba-tiba ditukarkan ke CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan), iaitu satu jawatan yang lebih rendah, yang meletakkannya seolah-olah diturun pangkat. Pertukaran ini memeranjatkan banyak pihak khususnya warga Jabatan Kerja Raya kerana  Judin dikenali dengan ketegasannya berdepan kontraktor kroni dan politikus Umno, yang begitu tamakkan projek-projek di JKR.

 Menurut seorang pegawai kanan JKR, Judin mungkin menjadi mangsa keadaan disebabkan menteri dan kontraktor tidak menggemari cara kerjanya yang tidak mudah berkompromi dengan perkara yang tidak mengikut peraturan. Difahamkan, menjelang pilihan raya, projek JKR merupakan di antara sumber utama dana Umno bagi membiayai kempennya nanti.

"Malang sekali apabila JKR kehilangan seorang ketua pengarah yang dikenali dengan sifat warak, solat dhuha dan puasa sunatnya, selain komited dengan amalan profesionalime yang tinggi," tambah pegawai kanan itu. Karier Judin, yang berkelulusan PhD dalam bidang Kejuruteraan Sivil dari University of Southern California, Amerika Syarikat, lebih tertumpu  dalam bidang rekabentuk.

Sikap Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abd Razak lebih mengujakan. Beliau cukup berhemat dalam membelanjakan wang negeri. Posisinya dalam parti dan kerajaan sentiasa dibezakan. Hinggakan ada ahli PAS yang merungut disebabkan parti tidak mendapat apa-apa kelebihan walaupun selepas memerintah. Kedudukan kerusi Pakatan di Kedah mungkin tidak sekukuh Kelantan, Pulau Pinang mahupun Selangor, namun Ustaz Azizan tetap berpegang dengan prinsipnya untuk tidak menyalahgunakan kuasa demi survival parti.


Dalam satu program PAS di Baling baru-baru ini, beliau menegaskan, walaupun sudah mentadbir kerajaan selaku MB, namun beliau tidak membenarkan sama sekali wang kerajaan digunakan untuk parti apatah lagi untuk kepentingan diri sendiri. "PAS sentiasa berdikari dan bergerak atas duit dan sumbangan ahlinya, tidak pernah menggunakan duit kerajaan. Bukan macam parti sebelah sana, yang bergantung kepada harta dan jentera kerajaan untuk apa juga program yang dilakukan," tegasnya.
  
Justeru, gaya pentadbirannya turut dipuji mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin. Sikap sederhana beliau terlihat jelas dalam kehidupan sehariannya, dan menjadi buah mulut rakyat Kedah, termasuk penyokong dan ahli Umno. Kepada pegawai kerajaan negeri, beliau memberi kebebasan sepenuhnya untuk menyokong mana-mana parti politik.


Ketika berucap kepada anak-anak Kedah yang belajar di Mesir (dan ibu bapa mereka), yang menerima bantuan kerajaan negeri untuk kembali selepas revolusi Medan Tahrir, Ustaz Azizan menitipkan kata-kata hikmatnya: Jangan terima kasih kepada Kerajaan Negeri. Ini duit rakyat. Duit cukai." 

Tiada ulasan: